Belasungkawa atas Kembalinya ke Rahmatullah
Tokoh Muballighah Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia
Ustazah Ummi Hani Ab Rahman @ Ummu Hajar (1962–2026)
Allah SWT berfirman:
[وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ * الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ * أُولَئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ]
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.” (TMQ al-Baqarah [2]: 155–157)
Pada 24 Oktober 2026, keluarga besar Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM) menerima khabar duka atas pemergian seorang saudari yang amat kami kasihi, Ustazah Ummi Hani Ab Rahman, atau lebih mesra dikenali sebagai Ummu Hajar dalam kalangan sahabat dan mereka yang mengenali beliau.
Setelah melalui ujian kesihatan yang berpanjangan, beliau menghembuskan nafas terakhir pada usia 64 tahun, jam 6.20 pagi di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.
Inna lillahi wa inna ilaihi raji‘un.
Ustazah Ummu Hajar mula mengenali Hizbut Tahrir sekitar tahun 1998. Sejak membersamai perjuangan dakwah, beliau dikenali sebagai seorang yang bersungguh-sungguh, sentiasa komited, tegas dan istiqamah dalam melaksanakan amanah yang dipikul.
Sebagai aktivis dakwah Muslimah HTM, beliau sering tampil sebagai penceramah dalam pelbagai acara muslimat. Beliau juga aktif menyampaikan seruan Islam secara langsung kepada masyarakat, termasuk dalam aktiviti dakwah di lapangan (street dakwah) dan demonstrasi aman muslimah. Dengan keberanian dan keteguhan yang dimilikinya, beliau menyampaikan mesej-mesej Islam kepada masyarakat tanpa gentar.
Latar belakang beliau sebagai guru agama turut memperlihatkan kecintaannya terhadap ilmu dan pendidikan Islam. Beliau terus mengajar durus kepada muslimat di masjid-masjid, berkongsi ilmu di kelas agama, dan membimbing mereka yang berada di sekelilingnya sehingga ke hujung hayatnya.
Kesungguhan beliau terhadap al-Quran bahkan terserlah melalui penglibatannya sebagai penulis ruangan tafsir dalam Majalah Fikratul Ummah, terbitan Muslimah HTM suatu ketika dulu. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Ahli Lajnah Muballighah MHTM, dan turut terlibat sebagai pentadabbur dalam siri Tadabbur Ayat Pilihan yang diterbitkan secara berkala menerusi laman rasmi Facebook Muslimah HTM. Beliau seterusnya memegang amanah sebagai Naqibah bagi muslimah di Seremban.
Meskipun usia semakin bertambah dan keadaan kesihatan semakin menurun, semangatnya untuk berdakwah tidak pernah memudar. Selagi terdaya, beliau terus berusaha berkongsi ilmu, membimbing dan menggalas amanah dakwah yang dipercayakan kepadanya.
Sebagai seorang ibu, Ummu Hajar turut meninggalkan teladan yang menjadi inspirasi bagi kami. Beliau berusaha mendidik anak-anaknya agar bukan sekadar memahami tsaqafah Islam, tetapi turut memiliki keberanian untuk membawa dan menyampaikan aspirasi Islam dalam masyarakat.
Beliau telah meninggalkan suami tercinta, tujuh orang anak dan empat belas orang cucu. Semoga Allah SWT merahmati seluruh keluarga beliau, mengurniakan kepada mereka kesabaran dan ketabahan, serta menjadikan anak-anak dan keturunannya sebagai generasi yang soleh dan solehah, yang terus membawa kebaikan bagi umat, dan meneruskan amal jariah serta legasi perjuangan ibu dan nenda yang mereka cintai.
Pemergian Ummu Hajar pastinya meninggalkan kesan mendalam, khususnya bagi keluarga, sahabat seperjuangan, anak-anak didik dan ahli komuniti yang pernah mengenali serta menerima sentuhan dakwah beliau. Namun, jejak kehidupan seseorang tidak hanya diukur sepanjang hayatnya. Ilmu yang pernah disampaikan, manusia yang pernah dibimbing dan kebaikan yang ditinggalkan akan terus menjadi saksi terhadap perjalanan hidupnya.
Kami memohon kepada Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Perkasa agar menjadikan segala kesakitan yang pernah dilaluinya sebagai penghapus dosa, menerima seluruh amal solehnya, serta melimpahkan rahmat dan keampunan-Nya yang luas kepada beliau.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepadanya sebaik-baik tempat kembali, meninggikan darjatnya di sisi-Nya, menghimpunkannya bersama para solihin dan mengurniakan syurga sebagai tempat tinggalnya.
Semoga Allah juga mengurniakan kesabaran yang indah dan ketabahan kepada seluruh ahli keluarga, sahabat serta mereka yang menyayanginya, lillahi Ta`ala.
Sesungguhnya hati kami berdukacita dan mata kami mengalirkan air mata atas perpisahan ini. Namun kami tidak mengucapkan melainkan apa yang diredhai oleh Tuhan kami,
إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
Sesungguhnya kita milik Allah, dan kepada-Nya jualah kita akan kembali.
Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia
24 Oktober 2026 | Sabtu












