Strategi AS di Pentas Antarabangsa: Pengepungan Empat Dimensi dan Hegemoni yang Goyah
Oleh: Ustaz Badruddin bin Abdullah
Selepas kembali ke Rumah Putih, Trump segera mengambil langkah-langkah yang tegas, adakalanya bersifat provokatif dan tidak dijangka dalam dasar luar negaranya. Apa yang kelihatan pada zahirnya sebagai langkah-langkah yang terpisah atau dibuat secara terburu-buru, pada hakikatnya merupakan manifestasi daripada doktrin geopolitik yang bersepadu dan agresif, yang bertujuan untuk mengekalkan hegemoni global AS serta membina semula benteng keselamatannya. Strategi ini dilaksanakan melalui empat paksi geopolitik utama:
- Benua Amerika: Doktrin Monroe yang Diperbaharui dan Lingkaran Keselamatan Pertama
Dalam rangka melindungi kepentingan-kepentingan pentingnya, AS berusaha membersihkan benua Amerika, yang merupakan lingkaran keselamatan pertamanya, khususnya daripada pengaruh kuasa-kuasa asing. Doktrin Monroe (Amerika untuk rakyat Amerika), yang telah mengalami kemerosotan pengaruh untuk suatu tempoh yang agak lama, kini kembali mendapat momentumnya:
- Penguasaan Terusan Panama: Laluan penting bagi perdagangan global dan pergerakan strategik ini telah diambil semula daripada pengaruh syarikat-syarikat China dan dikembalikan sepenuhnya ke bawah kawalan Washington. Hal ini merupakan tamparan hebat terhadap pengaruh logistik Beijing di rantau Amerika Latin.
- Pengawalan Rejim dan Penyusunan Pemerintahan di Amerika Latin: Melalui tekanan secara terbuka, percaturan ketenteraan dan politik, serta rampasan kuasa tentera terhadap rejim-rejim yang menentangnya, AS mula membentuk pemerintahan yang melaksanakan arahannya tanpa sebarang keraguan. Amalan membeli kesetiaan dan melibatkan para pemimpin tentera tempatan telah mencetuskan kekeliruan serta kebimbangan yang mendalam dalam kalangan elit ketenteraan di seluruh dunia. Keadaan ini memaksa banyak negara melaksanakan penggiliran dan pertukaran anggota secara tergesa-gesa dalam angkatan tentera masing-masing.
- Menamatkan Pengaruh Britain: Melalui sokongan terbukanya terhadap Javier Milei di Argentina, Washington memanfaatkannya untuk membangkitkan semula isu Kepulauan Falkland (Islas Malvinas) yang berada di bawah kawalan Britain. Begitu juga, tuntutan ekonomi dan politik yang dikenakan terhadap Kanada bukanlah sekadar aspirasi serantau, sebaliknya merupakan langkah-langkah yang bertujuan untuk mencabut pengaruh serta kesan sejarah Britain di benua ini hingga ke akar umbi.
- Tembok Sempadan dan Tekanan Domestik: Tembok di sempadan selatan dan larangan imigresen bukanlah sekadar tindakan terhadap para pelarian. Sebaliknya, kedua-duanya merupakan sebahagian daripada dasar yang tersusun, yang bertujuan untuk menundukkan sepenuhnya umat Islam yang ikhlas di Amerika kepada sistem tersebut, serta memberikan tekanan kepada mereka yang enggan mematuhinya, sama ada dengan mengetatkan sekatan ataupun mengusir mereka keluar dari negara itu.
Ringkasnya, AS berusaha memperkukuh hegemoni mutlaknya ke atas benua ini. Matlamat tersebut dicapai dengan menyingkirkan China dari Panama, melemahkan kepentingan ekonomi Rusia dan China di benua berkenaan, serta mengehadkan pengaruh Britain.
- Paksi Eropah: Mengukuhkan Semula Hegemoni dan Lingkaran Keselamatan Kedua
Kemasukan modal dan teknologi China secara meluas ke Eropah mula membayangi hegemoni mutlak AS di Benua Lama itu. Demi menghidupkan semula dominasinya, Washington mengambil langkah dengan menggerakkan instrumen-instrumen yang menentukan:
- Ugutan Strategik: Tuntutan terbuka terhadap Greenland telah mencetuskan kegusaran dalam kalangan ahli politik Eropah. Tujuan sebenar tuntutan ini bukanlah untuk memperoleh wilayah, sebaliknya untuk memeras ugut Eropah dan memaksanya memutuskan segala hubungan dengan Rusia dan China.
- Membebankan Kos Kewangan: Dengan memaksa Eropah menanggung perbelanjaan pakatan NATO, AS berjaya menjamin “lingkaran keselamatan kedua” bukan dengan menggunakan perbelanjaannya sendiri, tetapi dengan menggunakan wang pihak Eropah.
- Dasar Anti-China: Mengekang Potensi Pesaing Melalui Laluan Darat dan Laut
Oleh sebab AS melihat China sebagai pesaing terbesarnya dari segi kekuatan material, yang mengingatkannya kepada kekuatan ekonomi dan perindustrian AS sendiri yang sedang berkembang pesat sebelum Perang Dunia Kedua, AS telah memulakan usaha untuk mengasingkan China di pentas antarabangsa:
- Memecahbelahkan Pakatan: Demi melemahkan perkongsian strategik antara China dan Rusia, Rusia telah diperangkap dalam kemelut di Ukraine sehingga kekuatannya semakin terkuras. Rancangan tersebut bertujuan untuk memerangkap Beijing dalam kemelut yang serupa melalui isu Taiwan.
- Mengganggu Rantaian Bekalan: Satu siri tindakan telah disasarkan terhadap laluan perdagangan global China. Terusan Panama telah ditutup daripada pengaruh China, manakala aliran bekalan tenaga dari Amerika Latin serta pakatan Tehran-Moscow turut dihalang. Pelbagai usaha sedang dilakukan untuk memperlahankan jentera ekonomi China dengan memutuskan akses kilang-kilang penapisan dan kemudahan pemprosesan, yang direka khusus untuk mengendalikan jenis bahan mentah tertentu, daripada bekalan bahan-bahan tersebut.
- Strategi terhadap Negeri-negeri Islam: Membendung Ancaman Ideologi yang Sebenar
Namun begitu, ancaman terbesar, paling asas dan bersejarah terhadap AS bukanlah datang daripada China ataupun Rusia. Selepas AS mengambil alih kepimpinan antarabangsa daripada Britain, AS turut mewarisi panji-panji peperangan terhadap Islam. Pada hari ini, AS menganggap bahawa syarat penting untuk mengekalkan kedudukannya yang semakin goyah adalah dengan menghalang kembalinya Islam ke dalam kehidupan masyarakat dan pusat pemerintahan:
- Perang Salib yang Berterusan: Penghancuran Afghanistan pada tahun 2001, Iraq pada tahun 2003, serta kemudiannya Somalia dan negeri-negeri umat Islam yang lain, semata-mata bertujuan untuk menghalang kebangkitan negeri-negeri Islam.
- Memadamkan Kebangkitan: Gelombang kebangkitan rakyat (Arab Spring) yang tercetus pada tahun 2011 telah diselewengkan melalui slogan-slogan demokrasi palsu dan gerakan-gerakan yang memperdayakan. Revolusi di Mesir, Tunisia dan Libya bertukar menjadi revolusi balas di tangan ejen-ejen Barat. Sementara itu, rakyat Syria yang enggan tunduk kepada kuasa-kuasa penjajah telah dihujani ribuan tan peluru berpandu daripada NATO dan Rusia.
- Mencetuskan Penindasan Global: AS telah memberikan lampu hijau kepada negara-negara lain untuk menindas umat Islam secara kejam, dengan tujuan menundukkan mereka dan mematahkan keazaman mereka. Pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik Uyghur di China, pemusnahan masjid-masjid di India, pembunuhan beramai-ramai di Myanmar, serta penindasan secara sistematik di Rusia dan Eropah, semuanya merupakan sebahagian daripada dasar yang lebih luas untuk menghancurkan umat Islam dan menekan mereka dari segenap arah.
- Genosid di Gaza dan Perisai Zionis: Kekejaman yang dilakukan oleh entiti Yahudi di Palestin bukanlah sekadar langkah untuk menjamin keselamatannya. Sebaliknya, tindakan tersebut merupakan pembunuhan beramai-ramai yang diuruskan dan ditaja secara langsung oleh Washington, dengan tujuan untuk menakut-nakutkan umat Islam di rantau tersebut, menghalang penyatuan mereka di bawah satu pelindung Islam, iaitu Khilafah, serta meruntuhkan kesedaran dan keazaman umat Islam.
- Kad Iran dan Konflik yang Direkayasa: Selepas keteguhan luar biasa rakyat Gaza mencetuskan gelombang kekaguman dan minat terhadap Islam di seluruh dunia, AS bertindak menggerakkan isu Iran untuk mengalihkan perhatian masyarakat umum. Washington mendorong rancangan ini demi mencapai dua matlamat: pertama, menguasai minyak dan laluan perairan Iran bagi menghalang China; dan kedua, menanamkan ilusi mengenai “Israel Raya” dalam kalangan entiti Yahudi, sambil terus menjadikan entiti tersebut sekadar alat dan ejen di bawah kawalannya.
Kesimpulan
Tindakan agresif AS yang tidak menentu pada masa ini tidak mencerminkan kekuatan mutlaknya. Sebaliknya, keadaan ini merupakan bukti nyata bahawa AS semakin kehilangan kawalan terhadap tatanan global serta sedang berdepan dengan krisis mendalam yang melanda sistem negara tersebut.
Permasalahan yang dihadapi oleh umat Islam pada hari ini bukanlah sekadar berkaitan dasar sesebuah rejim tertentu, tetapi melibatkan pergolakan dan kematian seluruh tatanan kapitalis, yang dibelenggu ketakutan terhadap kebangkitan Islam.
Satu-satunya jalan untuk mematahkan pengepungan empat dimensi ini terletak pada tindakan umat Islam meninggalkan sempadan-sempadan dan ilusi geopolitik yang dicipta oleh Barat, serta bersatu padu untuk membina perisai sebenar mereka, iaitu Khilafah Rasyidah ‘ala minhājin nubuwwah (Khilafah Rasyidah yang berlandaskan manhaj kenabian).
Sumber: alraiah.net, 21 Oktober 2026.