[Siri Ulama Wajib Meluruskan Pemimpin]
Teladan Ulama
Sejarah Islam memberikan pengajaran bahawa nasihat dan teguran kepada pemimpin bukanlah perkara asing dalam tradisi ulama salaf. Bahkan ketika para pemimpin melaksanakan syariah Islam, kewajipan amar makruf nahi mungkar tetap berjalan. Pelaksanaan syariah Islam oleh pemimpin tidak menghapuskan keperluan terhadap pengawasan, teguran dan nasihat. Hal ini kerana pemimpin juga manusia yang tetap berkemungkinan melakukan kesilapan dan penyelewengan.
Antara kisah yang sering dikemukakan ialah riwayat tentang seorang wanita Muslimah yang menegur dasar Khalifah Umar bin al-Khattab RA berhubung pembatasan mahar yang dianggapnya tidak tepat (Al-Qurthubi, Al-Jami‘ li Ahkam al-Qur’an, 5/95; tafsir QS an-Nisa’ [4]: 20).
Terdapat banyak lagi kisah seumpamanya. Antaranya ialah kisah Imam Hasan al-Basri rahimahullah. Beliau merupakan salah seorang ulama yang sangat besar rasa takutnya kepada Allah SWT. Namun demikian, beliau tidak pernah gentar berhadapan dengan pemimpin dunia yang zalim. Beliau berani menentang Hajjaj bin Yusuf ats-Tsaqafi, pemimpin Iraq yang zalim pada zamannya. Beliau berani mendedahkan keburukan perilaku pemimpin tersebut di hadapan rakyat serta menyampaikan kebenaran secara langsung kepadanya. Beliau sangat terkenal dengan ucapannya, “Sesungguhnya Allah telah mengambil perjanjian daripada para ulama agar menjelaskan ilmu yang mereka miliki kepada manusia dan tidak menyembunyikannya.”
Demikian juga dengan Sufyan ats-Tsauri rahimahullah. Rasa takut beliau kepada Allah SWT sangat besar. Namun, keberaniannya berhadapan dengan pemimpin yang zalim juga tidak diragukan. Beliau pernah menegur Abu Ja‘far al-Mansur apabila pemimpin tersebut membelanjakan sejumlah wang yang sangat besar untuk dirinya dan para pengikutnya ketika menunaikan ibadah haji di Baitul Haram. Hal ini kerana dana tersebut diambil daripada Baitulmal milik kaum Muslimin.
Dalam riwayat lain disebutkan bahawa pada suatu ketika, Khalifah Muawiyah hendak memulakan ucapannya. Ketika itu, Abu Muslim al-Khaulani segera berdiri dan menyatakan bahawa beliau tidak mahu mendengar dan mentaati Khalifah. Apabila ditanya sebabnya, beliau menjawab, “Kerana engkau telah berani menghentikan bantuan kepada kaum Muslimin, sedangkan harta itu bukan hasil titik peluhmu dan bukan pula harta milik ibu bapamu.” (Lihat: Al-Badri, Al-Islam bayna al-‘Ulama’ wa al-Hukkam, hlm. 101).
[Buletin Dakwah Kaffah – Edisi 462]
#MuhasabahPemimpin #Ulama #UlamaTiangPeradabanIslam #Kepimpinan #Dakwah #AmarMakrufNahiMungkar