Jangan Diam! Umat Sedang Memerlukan Perubahan
Oleh: Nabila Zidane
Pernah merasa lelah melihat kerosakan di sekeliling, lalu memilih diam kerana takut dilabel radikal?
Mahu mengingatkan, tetapi bimbang digelar paling suci. Mahu mengkritik dasar polisi, takut dianggap pembangkang. Mahu mengajak kembali kepada Islam secara kaffah, eh, langsung dicurigai macam-macam.
Lah, adakah cinta mesti selalu berbentuk pujian? Tidak mungkin rasa sayang hanya boleh diwujudkan dengan membahagikan kata-kata motivasi dan menghantar emoji hati semata?
Kalau melihat sahabat berjalan menuju jurang, tidak mungkin kita cukup melambaikan tangan sambil berkata, “Semangat ya, bestie! Semoga perjalananmu membahagiakan!”
Ya, jangan begitu! Kalau betul kita peduli, kita perlu berusaha mengingatkannya agar dia tidak tercedera.
Dakwah bukan hobi menguruskan kehidupan orang lain. Dakwah adalah bentuk cinta yang tidak sanggup membiarkan sesama kita terjerumus dalam kerosakan.
Jangan Hanya Sibuk Menyelamatkan Diri Sendiri
Lihatlah keadaan hari ini. Kemiskinan belum tuntas, generasi muda menghadapi pelbagai masalah, keluarga terhimpit tekanan ekonomi, sementara kepentingan rakyat kerap berhadapan dengan kepentingan pemilik modal.
Adakah semua itu cukup dijawab dengan, “Yang penting keluarga saya selamat, dapur saya berasap dan yuran sekolah lunas”?
Alhamdulillah jika keluarga kita baik-baik saja. Namun, adakah kita betul-betul tenang di saat ramai orang sukar memenuhi keperluan hidup? Adakah kita rela melihat generasi seterusnya tumbuh dalam persekitaran yang rosak, kemudian menganggapnya bukan urusan kita?
Islam tidak mengajarkan umatnya hidup dengan prinsip, “Asalkan aku selamat, orang lain terserah!”
Allah SWT berfirman,
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah daripada yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.” [TMQ Ali Imran (3): 104]
Ayat ini menegaskan pentingnya dakwah dan amar makruf nahi mungkar. Menjadi Muslim bukan sekadar memperbaiki ibadah peribadi, tetapi juga memiliki kepedulian terhadap keadaan masyarakat.
Rasulullah SAW juga mengumpamakan masyarakat seperti penumpang sebuah kapal. Jika sebahagian penumpang melubangkan kapal dan yang lain membiarkannya, semuanya berisiko untuk tenggelam. Jika kerosakan itu dicegah, seluruh penumpang dapat selamat. (HR. al-Bukhari).
Begitulah kehidupan bersama. Kerosakan tidak selalu terhenti pada pelakunya. Kesannya boleh menimpa semua orang, termasuk mereka yang merasa tidak ikut campur.
Jadi, jangan cuma sibuk mencari kerusi paling selesa di dalam kapal, sedangkan tubuhnya sudah mulai bocor!
Ketika Dakwah Dilabel Radikal
Ironinya, orang yang mengingatkan kerosakan kadang justeru lebih sibuk dipersoalkan berbanding kerosakannya sendiri.
Ketika generasi muda kehilangan arah, kita diminta untuk memahami zaman. Ketika rakyat dalam kesulitan, mereka disuruh lebih kreatif. Ketika ada yang mengkritik sistem, orangnya malah diberi label radikal.
Tentu, cara berdakwah tetap boleh dikritik. Isi pemikiran masih boleh diuji dengan dalil dan hujah. Dakwah juga tidak boleh dijadikan alasan untuk membenarkan keganasan, kebencian, atau tindakan sewenangnya.
Namun, label bukan pengganti hujah. Sebuah pandangan semestinya dinilai berdasarkan isi dan alasannya, bukan hanya label yang diletakkan kepadanya.
Kalau mengajak mendalami ilmu Islam secara menyeluruh saja terus dicurigai, bilakah umat dapat berdiskusi dengan jernih?
Adakah membicarakan masa depan umat perlu menunggu semua orang selesa terlebih dahulu?
Kebenaran mungkin tidak selalunya menyenangkan hati orang. Namun, keteguhan bukan bermaksud keras kepala. Keberanian juga bukan bererti kehilangan adab. Kita perlu menyampaikan kebenaran dengan ilmu, hikmah dan akhlak yang baik.
Dakwah Berideologi: Bukan Sekadar Menasihati Individu
Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani memandang Islam sebagai mabda’, iaitu ideologi yang menjadikan akidah Islam sebagai landasan pemikiran dan peraturan kehidupan.
Dalam kerangka pemikiran beliau, Islam tidak terbatas pada ibadah individual, tetapi juga memberikan peraturan bagi kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
Kerana itu, dakwah tidak cukup berhenti pada nasihat agar seseorang rajin beribadah. Dakwah juga mencakup pembinaan pemikiran, penjelasan hukum-hukum Islam, serta perjuangan mewujudkan kehidupan yang berlandaskan syariat.
Ketika kemiskinan terus terjadi, kita tidak cukup hanya menyuruh orang berjimat tanpa mengkaji akar persoalannya. Ketika generasi muda menghadapi kerosakan, kita tidak cukup hanya menyalahkan mereka tanpa membahas persekitaran dan sistem yang mempengaruhi cara berfikirnya.
Kita perlu mengkaji punca, mengkritik polisi dengan hujah, dan menawarkan penyelesaian berdasarkan Islam.
Bukan sekadar merungut dalam group WhatsApp keluarga dan kemudian mengakhiri perbincangan dengan sticker kucing ketawa.
Perubahan memerlukan pemikiran, perjuangan dan kesabaran. Tujuan yang baik juga mesti ditempuh melalui cara yang benar menurut syariat.
Saudariku, jangan tunggu sempurna untuk berdakwah. Kalau mesti tunggu sempurna, mungkin sampai pencen kita masih sibuk menyusun daftar kekurangan diri sendiri.
Kita berdakwah bukan kerana merasa paling suci, tetapi kerana sama-sama memerlukan petunjuk Allah. Kita mengingatkan bukan kerana tidak pernah keliru, melainkan kerana tidak ingin kesalahan dibiarkan menjadi kebiasaan.
Jika mendapat kritikan yang benar, perbaiki diri. Jika ditolak, tetaplah menjaga akhlak. Jika dilabel buruk, jangan terburu-buru membalas dengan keburukan yang sama.
Namun, jangan pula menjadikan ketakutan terhadap penilaian manusia sebagai alasan untuk meninggalkan kewajipan untuk menyeru kepada kebaikan.
Ingat, dakwah bukan perlumbaan menjadi orang paling lantang suaranya. Dakwah adalah ikhtiar menyampaikan kebenaran, membetulkan kemungkaran dan mengajak masyarakat menuju kehidupan yang diredhai Allah.
Kita boleh sibuk mengurus keluarga, mencari nafkah dan memperbaiki ibadah. Semua itu penting. Tetapi, jangan sampai kesibukan peribadi membuat hati kita kehilangan kepekaan terhadap penderitaan umat.
Jangan diam hanya kerana takut dilabel radikal. Jangan pula asal bersuara tanpa ilmu. Jadilah Muslim yang peduli, teguh dalam prinsip, santun dalam cara dan serius memperjuangkan perubahan. Sebab, ketika kapal mulai bocor, cinta tidak cukup hanya berkata, “Semoga semuanya baik-baik saja.”
Cinta perlu berani mengingatkan. Kepedulian mesti diwujudkan dalam tindakan. Dakwah perlu terus berjalan dengan ilmu, kesabaran serta keyakinan kepada pertolongan Allah.
Umat tidak hanya memerlukan orang yang pandai mengeluhkan keadaan. Umat memerlukan orang-orang yang mahu berfikir, berani menyampaikan kebenaran dan bersungguh-sungguh memperjuangkan perubahan.
Jangan cuma ingin selamat sendiri. Mari istiqamah berikhtiar berdakwah sesuai kamampuan diri agar kapal umat tidak tenggelam.
#DakwahIslamKaffah #Muhasabah #JomDakwah #refleksi #AyuhUmatBangkit