[Soal Jawab] Seputar Hukum Hibah daripada Ibu Bapa kepada Anaknya
Oleh: K.H M. Shiddiq Al Jawi
Soalan:
Dalam kehidupan berkeluarga, kedua ibu bapa mempunyai 4 orang anak, 1 perempuan dan 3 lelaki. Semasa hidup, ibu bapa tersebut telah memberikan sejumlah harta kepada anak-anaknya bukan sebagai nafkah namun lebih tepat sebagai hibah.
Mereka telah memberikan sebidang tanah berserta sebuah rumah kepada anak perempuan sebagai anak sulung dan telah berumahtangga terlebih dahulu, sedangkan adik-adiknya belum mendapatkan hibah seperti kakaknya, dan ketiga adiknya telah mengetahui perihal tersebut dan bersetuju. Adakah hibah seperti ini dibenarkan?
Dan saya memahami bahawa keadaan ini dibenarkan syarak, namun dalam beberapa waktu saya mendapat tahu bahawa hibah ibu bapa kepada anaknya perlu adil (jika 1 anak diberi sebidang tanah serta rumah, maka anak yang lain juga mendapatkan hal yang sama). Jika tidak demikian, maka ibu bapa dianggap pilih kasih dan bahkan boleh berlaku zalim. Bagaimana sebenarnya mendudukkan hukum hibah ibu bapa kepada anak-anaknya?
Jawapan:
Hibah daripada ibu bapa kepada anak-anak mereka wajib bersifat adil. Jika tidak adil, maka hibah tersebut haram hukumnya. Contohnya, seorang anak diberi hibah, sedang anak-anak lainnya tidak diberi. Dalam keadaan demikian, hibah tersebut wajib dibatalkan (difasakh) dan dibahagi kepada semua ahli waris sesuai hukum perwarisan Islam.
Jadi penyelesaian syariah untuk pemberian harta daripada ayah atau ibu yang tidak adil di antara anak-anak mereka adalah dengan mengembalikan harta hibah tersebut (fasakh).
Dalilnya adalah hadis daripada Nu’man bin Basyir RA, bahawa setelah Rasulullah SAW tahu bahawa ayah Nu’man bin Basyir RA telah memberikan hibah secara tidak sama di antara anak-anaknya, maka Nu’man bin Basyir RA mengatakan:
فقال له رَسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم: أفعَلْتَ هذا بوَلَدِك كُلِّهم؟ قال: لا. قال: اتَّقوا اللهَ واعدِلوا في أولادِكم. فرجَعَ أبي، فرَدَّ تلك الصَّدَقةَ
“Maka bersabdalah Rasulullah SAW kepadanya, “Adakah kamu memberikan harta yang sama kepada semua anak kamu?” Dia menjawab, “Tidak.” Rasulullah SAW bersabda, “Bertakwalah kamu kepada Allah, dan berlaku adillah kamu di antara anak-anak kamu.” Maka kemudian dia (anak yang diberi) mengembalikan sedekah itu.” (HR. Bukhari no 2587; Muslim 1623).
Berdasarkan hadis tersebut, jelas bahawa penyelesaian untuk hibah yang tidak adil adalah membatalkan hibah tersebut.
Namun, jika saudara-saudara daripada anak yang diberikan hibah tersebut redha atas pembahagian tersebut, tanpa ada paksaan, sedangkan mereka sedar bahawa mereka tidak mendapat hibah yang sama, maka hibah itu boleh diteruskan dan tidak perlu dibatalkan.
Hal ini berdasarkan bolehnya orang yang berhak untuk melepaskan haknya asalkan pelepasan hak itu dilakukan atas dasar keredhaan, iaitu tidak boleh ada paksaan.
Inilah yang dalam fikih Islam disebut dengan tanaazul ‘an al-haq (melepaskan hak) yang dibolehkan dalam syarak, asalkan dilakukan secara sukarela.
Kebolehan tersebut disimpulkan daripada istiqra’ (penelusuran dalil secara induktif) terhadap dalil-dalil syarak, yang daripadanya akan diketahui bahawa tanaazul ‘an al-haq (melepaskan hak) itu boleh menurut syarak, asalkan dilakukan secara sukarela.
Dalil-dalil bolehnya melepaskan hak, antara lain bahawa Islam telah membolehkan pemiutang yang berhak menagih hutang mereka daripada penghutang, untuk memutihkan hutangnya, baik sebahagian atau seluruhnya. [Lihat QS Al-Baqarah (2): 280]
Islam telah membolehkan ahlul maqtuul (keluarga mangsa pembunuhan) dalam kes pembunuhan tanpa sengaja, untuk tidak menuntut diyat (tebusan) daripada si pembunuh. [Lihat QS An-Nisaa’ (4): 92]
Islam telah membolehkan isteri yang mempunyai hak atas seluruh maharnya, memberikan sebahagian maharnya untuk dinikmati suaminya. [Lihat QS An-Nisaa’ (4): 92]
Islam juga telah membolehkan ahlul maqtuul (keluarga mangsa pembunuhan) dalam pembunuhan tanpa sengaja, untuk memaafkan si pembunuh, iaitu tidak menuntut qisas ataupun diyat. [Lihat QS Al-Baqarah (2): 178-179]
Demikianlah banyak dalil syarak yang menunjukkan bolehnya tanaazul ‘an al-haq (melepaskan hak), asalkan dilakukan secara sukarela (tanpa paksaan).
Oleh yang demikian, seperti yang ditanyakan di atas, jika saudara-saudara daripada anak yang diberi hibah itu memang redha atas pembahagian tersebut, maka hibah itu dapat diteruskan dan tidak perlu dibatalkan.
Wallahu a’lam.
#soaljawab #hibah #hukumfikh