[Doa Pilihan] Doa Ketika Sakit
أَعُوذُ بِاللَّهِ وَقُدْرَتِهِ مِنْ شَرِّ مَا أَجِدُ وَأُحَاذِرُ
“Aku berlindung kepada Allah dan kekuasaanNya dari derita penyakit yang sedang aku rasakan dan yang aku khuatirkan.” (HR Muslim)
===
Setiap penyakit ada ubatnya, demikianlah yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW. Oleh kerana itu orang yang mengalami sakit dianjurkan untuk berubat. Rasulullah SAW juga mengajarkan doa-doa untuk penyakit tertentu.
عَنْ عُثْمَانَ بْنِ أَبِي الْعَاصِ الثَّقَفِيِّ، أَنَّهُ شَكَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَجَعًا يَجِدُهُ فِي جَسَدِهِ مُنْذُ أَسْلَمَ . فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم “ ضَعْ يَدَكَ عَلَى الَّذِي تَأَلَّمَ مِنْ جَسَدِكَ وَقُلْ بِاسْمِ اللَّهِ . ثَلاَثًا . وَقُلْ سَبْعَ مَرَّاتٍ أَعُوذُ بِاللَّهِ وَقُدْرَتِهِ مِنْ شَرِّ مَا أَجِدُ وَأُحَاذِرُ ” .
Dari Uthman bin Abi Al-As RA mengisahkan, bahawa dia mengadukan kepada Rasulullah SAW tentang penyakit yang telah dideritanya sejak dia masuk islam. Maka SAW berkata kepadanya: “Letakkan tanganmu pada bahagian tubuhmu yang terasa sakit. Bacalah olehmu “Bismillah” sebanyak tiga kali. Sesudah itu, bacalah tujuh kali “أَعُوذُ بِاللَّهِ وَقُدْرَتِهِ مِنْ شَرِّ مَا أَجِدُ وَأُحَاذِرُ”. (Aku berlindung kepada Allah dan kekuasaanNya dari derita penyakit yang sedang aku rasakan dan yang aku khuatirkan).” [HR Muslim]
Demikianlah tatacara yang diajarkan oleh Rasulullah ketika berdoa untuk memohon kesembuhan daripada Allah. Sesungguhnya Islam itu lengkap dan sempurna, bukan sahaja mengajarkan tatacara untuk berubat dan berdoa, malah setiap aturan dalam kehidupan kita Islam telah ajarkan. Tatacara untuk beribadah, menjalankan ibadah haji, muamalat sehingga untuk mengatur urusan negara, Islam telah ajarkan tatacaranya.
Oleh itu, untuk menyelesaikan segala permasalahan kehidupan yang ada pada hari ini, sudah sewajibnya kita semua kembali menyedari tentang hubungan diri kita kepada Pencipta kita iaitu Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT telah pun menurunkan cahaya-Nya sebagai petunjuk agar manusia mampu menjalani kehidupan di dunia dengan baik dan sejahtera.