Penulis: Ustaz Yuana Ryan Tresna
Harus diakui, pandemik Covid-19 telah banyak mengubah pola dan perilaku manusia, tak terkecuali kaum muslim, termasuk para aktivis dakwah. Kebersamaan dengan masyarakat dan dengan sesama da’i menjadi “jauh”. Terpisah jarak kerana ikhtiar menjaga protokol kesihatan. Kerana secara sains, Covid-19 itu ada dan menjangkiti. Pada situasi seperti inilah ukhuwah perlu dikukuhkan. Urgensi ukhuwah Islamiyah itu paling tidak, dapat dijelaskan melalui beberapa keutamaan: pertama, ukhuwah menciptakan persatuan (wihdah); kedua, ukhuwah menciptakan kekuatan (quwwah); dan ketiga, ukhuwah menciptakan kasih sayang (mahabbah).
Persatuan, kekuatan dan kasih sayang ini merupakan perkara yang amat vital pada saat ini. Beberapa ayat Al-Quran seperti dalam surah Ali Imran ayat 103, Al-Zukhruf ayat 67, Al-Anfal ayat 63, dan termasuk Al-Hujurat ayat 10, memberikan pesan kepada kita yang men-tadaburi-nya, betapa ukhuwah itu sangat berharga dalam Islam. Ia adalah asas kuat sekaligus ‘mercusuar’ umat. Ia adalah nikmat sekaligus perkara yang harus dirawat. — Di antara perkara utama dari ukhuwah Islamiyah ini adalah bahawa ia merupakan modal kebangkitan umat.
Jika kita lihat sejarah 1400 tahun silam, tampak jelas bagaimana Islam menghimpun orang-orang arab yang saling membanggakan diri, kemudian menghimpun bangsa arab dan non arab, kemudian non arab dengan non arab, dan mereka melebur dalam bingkai yang satu. Maka dari mereka terbentuklah umat yang memimpin dunia lebih dari seribu tahun. Islam juga menyatukan manusia secara intelektual dan emosi, dan menjadikan manusia sebagai saudara yang mencintai untuk saudaranya sesuatu yang dia cintai untuk dirinya sendiri. Setiap Muslim mengetahui hak saudaranya, sehingga dia tidak akan menzaliminya. Allah subhanahu wa taala berfirman,
وَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ لَوْ أَنْفَقْتَ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مَا أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ إِنَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
“Dan yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana.” [TMQ al-Anfal (8): 63]
Ketika umat Islam bersatu, kaum muslim telah menjadi satu umat yang kuat, yang disegani oleh semua pihak. Kaum muslim ketika itu sangat tangguh kerana keperkasaan Rabb mereka, dan sangat mulia kerana menerapkan agama mereka.
Jika mereka mengeluarkan satu kata, maka kata-kata itu pasti menggema di seluruh pelosok dunia; jika mereka melakukan aksi, maka aksi itu pasti akan menimbulkan rasa gentar di hati orang-orang kafir. Perwujudan ukhuwah dalam kehidupan umat Islam bentuknya sangatlah banyak. Diantara perwujudan tersebut adalah: Pertama, menjaga darah, kehormatan, dan harta sesama muslim; Kedua, tidak boleh saling menzalimi; Ketiga, tidak boleh membiarkan muslim dizalimi; Keempat, tidak boleh membuka aib (keburukan) saudaranya; Kelima, tidak boleh berprasangka buruk; Keenam, tidak boleh mengadu-domba dan ghibah; Ketujuh, membebaskan saudaranya dari kesulitan dan kemiskinan; dan Kelapan, larangan memutuskan tali persaudaraan.
Secara konkrit, kita harus saling membantu, saling memotivasi, dan meringankan beban hidup. Kita tidak boleh saling mencela, mencaci, menyakiti, membiarkan saudara kita berjuang sendiri dalam sulitnya kehidupan, dan membiarkannya sendiri ketika sakit.
Jangan menganggap orang yang tidak percaya covid-19 dengan cacian kasar. Juga tidak boleh ada yang ambil ringan dan menyebar informasi palsu tentang covid-19, sedangkan pada saat yang sama ada ribuan saudara kita terjangkiti virus tersebut, sebahagian dari mereka dalam keadaan kritikal, dan sebahagiannya lagi telah meninggal dunia.
Jika itu terjadi, sungguh ini sangat menyakitkan. Padahal kita sudah memiliki panduan umum yang jelas.
Membina Kehangatan
Kehangatan dalam dakwah dapat kita wujudkan dengan mewujudkan lima hal yang paling utama: Pertama, hendaknya kita semua menjadi hamba-hamba Allah yang bersaudara. Kita saling mencintai kerana Allah. Hati kita terpaut satu sama lainnya. Sebagaimana sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam,
إِنَّ الْمُؤْمِنَ يَأْلَفُ، وَلَا خَيْرَ فِيمَنْ لَا يَأْلَفُ وَلَا يُؤْلَفُ
“Sesungguhnya orang mukmin terpaut hatinya. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak menautkan hatinya, dan tidak terpaut hatinya.” (HR al-Hakim)
Begitu juga dengan sabda Rasulullah yang lain,
الْمُؤْمِنُ مَأْلَفَةٌ، وَلَا خَيْرَ فِيمَنْ لَا يَأْلَفُ وَلَا يُؤْلَفُ
“Orang mukmin menjadi tempat terpautnya hati. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak menautkan hatinya, dan tidak terpaut hatinya.” (HR Ahmad dan Ath-Thabarani)
Kedua, hendaknya kita menyampaikan nasihat dengan cara yang baik, dan mendorong mereka untuk menjalankan nasihat tersebut kerana ketaataan kepada Allah Subhanahu wa Taala, serta meneladani Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam. Sehingga dorongan mereka untuk melaksanakannya kerana dorongan takwa, bukan kerana rasa takut. Begitulah seharusnya, kita menyampaikan nasihat dengan ucapan yang baik, dan mengingat firman Allah Subhanahu wa Taala:
فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ
“Dengan kasih sayang dari Allah, hendaknya kamu bersikap lembut kepada mereka. Kalau kamu bersikap keras dan berhati kasar, maka mereka akan menyingkir dari sekitarmu.” [TMQ Ali Imran (3): 159]
Agama kita adalah nasihat. Saat kita meluruskan apa yang nampak keliru dari saudara kita, maka sampaikan dengan rasa kasih sayang. Bukan atas dasar kebencian. Rasakan di hati kita. Jika ada rasa kebencian dan rasa dengki, maka lebih baik diam.
Ketiga, dalam perkara-perkara yang mubah, hendaknya kita memperbanyak musyawarah dengan orang-orang yang mempunyai pandangan yang lurus. Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
مَا خَابَ مَنِ اسْتَخَارَ، وَلَا نَدِمَ مَنِ اسْتَشَارَ، وَلَا عَالَ مَنِ اقْتَصَدَ
“Tidak ada kerugian bagi orang yang melakukan istikharah, dan tidak penyesalan bagi orang yang meminta pandangan, dan tidak akan sombong orang yang sederhana.” (HR. at-Thabarani)
Keempat, kita tidak boleh putus asa terhadap rahmat (kasih sayang) Allah, kerana jalan ini memang terbentang panjang.
Allah berfirman:
إِنَّ رَحْمَتَ اللَّهِ قَرِيبٌ مِنَ الْمُحْسِنِينَ
“Sesungguhnya rahmat Allah sangat dekat dari orang-orang yang baik.” [TMQ Al-A’raf (7): 56]
Saudaraku, jika Allah Subhanahu wa Taala memutuskan sesuatu perkara, maka Allah akan memudahkan jalannya. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam telah pergi untuk mencari nusrah dari beberapa kabilah sendiri. Mereka pun membalasnya, dan menetapkan syarat kepada baginda shallallahu ‘alaihi wa sallam dan mereka tidak memenuhi permintaan baginda. Namun, ketika Allah Subhanahu wa Taala memutuskan keputusan-Nya, justeru baginda shallallahu ‘alaihi wa sallam didatangi oleh enam orang yang mereka menanyakan hal ehwal Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam. Terjadilah kemudian Baiat Aqabah Pertama, kemudian terwujudlah pertolongan itu pada Baiat Aqabah Kedua. Akhirnya terwujudlah negara Islam yang pertama.
Tiap ajal (tempoh waktu) telah ditetapkan (di Luh al-Mahfuzh).
إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا
“Sesungguhnya Allah Maha Kuasa untuk menyampaikan urusan-Nya. Allah benar-benar telah menetapkan untuk segela sesuatunya memiliki kadar (ketentuan).” [TMQ At-Thalaq (65): 3]
Kelima, Allah Subhanahu wa Taala telah menetapkan bahawa pertolongan itu perlu dijemput dengan usaha. Kita tidak boleh hanya duduk-duduk saja. Kita wajib berjuang, bersungguh-sungguh dan serius. Kunci dalam perjuangan yang terbentang panjang adalah kejujuran dan keikhlasan. Kita hendaklah yakin dengan janji Allah bagi orang yang beriman dan beramal soleh. Begitulah, janji itu diperoleh dengan dua perkara, iaitu iman dan amal soleh.
وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ.
“Allah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kalian, dan beramal soleh, bahawa Dia sungguh-sungguh akan memberikan Khilafah kepada mereka di muka bumi.” [TMQ An-Nur (24): 55]
Semuanya itu jelas di dalam Sirah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam. Bagaimana Nabi berjuang, dan bagaimana baginda shallallahu ‘alaihi wa sallam mendapatkan penganiayaan. Akhirmya pertolongan Allah Subhanahu wa Taala datang menghampiri baginda shallallahu ‘alaihi wa sallam. Baginda Nabi menolong (menegakkan agama) Allah, maka baginda shallallahu ‘alaihi wa sallam pun ditolong oleh Allah. Ini ketentuan Allah Subhanahu wa Taala:
سُنَّةَ اللَّهِ الَّتِي قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلُ وَلَنْ تَجِدَ لِسُنَّةِ اللَّهِ تَبْدِيلًا
“Ketentuan Allah yang telah berlalu sebelumnya, dan kamu sekali-sekali tidak menemukan perubahan sedikit pun bagi ketentuan Allah itu.” [TMQ Al-Fath (48): 23]
Begitulah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam berjuang, begitulah para shahabat meneladaninya, dan begitulah seharusnya kita. Pertolongan akan datang, tidak ada sedikitpun keraguan, dengan izin Allah Subhanahu wa Taala. Oleh kerana itu, kita tidak boleh berputus asa dari kasih sayang Allah. Jalan ini, meski panjang, sungguh hampir sampai di penghujungnya.
Pertolongan Allah bagi hamba-hamba-Nya itu sudah dekat. Pertolongan tersebut juga untuk kita yang Allah tolong. Allah Subhanahu wa Taala mengaitkan pertolongan untuk Rasul dengan pertolongan untuk orang-orang yang beriman, serta pertolongan di dunia dan akhirat,
إِنَّا لَنَنْصُرُ رُسُلَنَا وَالَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ يَقُومُ الْأَشْهَادُ
“Sesungguhnya kami benar-benar akan menolong para utusan kami, dan orang-orang yang beriman di dalam kehidupan di dunia, dan hari di mana para saksi bangkit memberikan kesaksian.” [TMQ Al-Mukminun (23): 51]
Memandang ke Hadapan
Kita hendaklah membina soliditi dan kekuatan meski di tengah kondisi yang sangat terbatas. Membina fokus dakwah dalam melakukan perubahan sistem kehidupan, dari sistem hidup sekular menuju sistem hidup Islam. Pandemik ini perlu dijadikan momentum dalam melakukan ‘great reset’ (pengaturan ulang secara global) menuju sistem Islam. Di saat ketidakpercayaan umum meningkat tajam kepada rejim yang berkuasa. Itu semua memerlukan fokus pada tujuan, pengendalian pada realiti yang terjadi, dan soliditi. Aspek soliditi inilah yang hari ini kita perlu bangunkan kembali, mengenangkan sudah lebih dari satu tahun kita dipisahkan secara fizik. Kita harus menjadi ruh yang terhimpun dalam kesatuan yang kukuh. Nabi Muhammad shallallahu ‘alahi wa sallam bersabda,
الأَرْوَاحُ جُنُودٌ مُجَنَّدَةٌ مَا تَعَارَفَ مِنْهَا ائْتَلَفَ وَمَا تَنَاكَرَ مِنْهَا اخْتَلَفَ
“Ruh-ruh itu (seperti) pasukan yang dihimpun dalam kesatuan-kesatuan; yang saling mengenal di antara mereka akan mudah tertaut; dan yang saling mengingkari di antara mereka akan mudah berselisih.” (HR Muslim, Abu Dawud, Ahmad)
Dalam syarahnya, Imam an-Nawawi menjelaskan bahawa ruh-ruh itu saling mengenal kerana suatu perkara yang Allah menciptakan mereka di atasnya. Sebab isi dunia ini hanyalah keimanan atau keingkaran; mereka yang taat pada Allah akan mudah dipertautkan dengan sesama hamba yang taat, dan dipisahkan dengan yang durhaka. Ya Allah, kuatkan ikatan kami, kekalkan cinta kami, istikamahkan kami di atas jalan yang lurus. Ya Allah, penuhi pertautan kami dengan cahaya-Mu yang tiada pernah padam. Ya Rabb, bimbinglah kami. Ya Allah, sesungguhnya Engkau tahu bahawa hati ini telah berpadu, berhimpun dalam naungan cinta-Mu, bertemu dalam ketaatan, bersatu dalam perjuangan, menegakkan syariat-Mu.