Penulis: M. Taufik NT
Ketika melihat kerosakan dalam kalangan masyarakat, sebahagiannya memilih berdoa sebagai usaha penambahbaikan. Mereka mahu berdoa untuk kebaikan umat, itu bagus, namun yang tidak tepat adalah ketika “meremehkan” usaha kaum Muslimin yang berusaha beramar makruf nahi mungkar, menjelaskan penyimpangan yang berlaku seterusnya menjelaskan bagaimana sepatutnya Islam mengatasinya. Kadang usaha tersebut dipandang sinis, seolah-olah yang berusaha tersebut lalai dalam berdoa kepada Allah SWT.
Ada beberapa perkara yang perlu difahami terkait dengan doa, serta hubungannya dengan perubahan.
Pertama, doa adalah ibadah, bahkan merupakan inti ibadah.(HR at-Tirmidzi). Allah sangat mencintai hambaNya yang berdoa kepadaNya.
Kedua, Allah telah menjelaskan agar kita berdoa kepadaNya, disertai dengan memenuhi seruanNya, terikat dengan syariatNya, dan mengikuti RasulNya. Allah berfirman,
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِي إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” [TMQ al-Baqarah (2): 186]
Ketiga, keberadaan doa sebagai suatu ibadah tidak bermaksud bahawa kita boleh meninggalkan hukum sebab akibat. Sirah Rasulullah SAW adalah bukti yang nyata akan hal ini.
Sebagai contoh, Rasulullah SAW telah mempersiapkan pasukan untuk Perang Badar. Baginda mengatur pasukan masing-masing di tempatnya. Baginda juga telah menyiapkan mereka dengan persiapan yang baik. Kemudian setelah itu baginda masuk ke bangsalnya sementara meminta pertolongan kepada Allah. Baginda berdoa dengan banyak sekali pada ketika itu sehingga Abu Bakar berkata, “Wahai Rasulullah!, sebahagian daripada doamu ini telah cukup.”
Ketika Rasulullah SAW diperintahkan untuk berhijrah dari Mekah ke Madinah, baginda telah melakukan sebab-sebab yang mungkin dilakukan, yang boleh membawa kepada keselamatan. Pada masa yang sama, baginda juga berdoa kepada Allah untuk kekalahan kafir Quraisy, agar Allah memalingkan mereka daripada baginda dan menyelamatkannya daripada makar mereka, serta menyampaikannya ke Madinah dengan selamat.
Pada ketika itu Rasulullah SAW memilih untuk menghadap ke arah selatan berbanding ke arah utara menuju Madinah. Kemudian baginda bersembunyi di Gua Tsur bersama Abu Bakar ra.
Di Gua Tsur itu baginda sentiasa menerima berita daripada Abdurrahman bin Abu Bakar tentang kaum Quraisy, rencana-rencana mereka, dan apa-apa yang mereka rancangkan untuk mencelakai baginda SAW. Kemudian ketika Abdurrahman bin Abu Bakar kembali ke Mekah, dia diperintahkan untuk berjalan sambil menuntun kambing di belakangnya. Tujuannya agar bekas kaki kambing tersebut menghapus bekas kaki Abdurrahman bin Abu Bakar dan tidak dapat dikesan kafir Quraisy.
Rasulullah SAW tinggal di Gua Tsur selama tiga hari sampai usaha pencarian baginda tidak dilakukan lagi dengan gencar. Setelah itu baginda meneruskan perjalanan ke Madinah. Rasul SAW melakukan semua itu, meskipun yakin bahawa baginda akan sampai ke Madinah dengan selamat. Hal ini boleh dibuktikan daripada jawapan baginda kepada Abu Bakar yang merasa khuatir ditangkap oleh kafir Quraisy ketika mereka ada di hadapan gua Tsur. Abu Bakar berkata,
يَا رَسُولَ اللهِ، لَو أنَّ أحَدَهُم نَظَرَ تَحتَ قَدَمَيهِ لأبصَرَنَا
“Jika salah seorang daripada mereka melihat tempat berpijak kedua kakinya, nescaya dia akan melihat kita.” Maka Rasulullah SAW berkata,
مَا ظَنُّكَ يَا أبَا بَكْر باثنينِ اللهُ ثَالِثُهُمَا
“Apa perkiraan engkau wahai Abu Bakr, (terhadap keadaan) dua orang (dimana) Allah adalah yang ketiganya (dalam memberi pertolongan)?” (HR al-Bukhari)
“Adakah orang-orang ini berani berkata kepada Rasulullah, jika mereka yakin bahawa Allah akan menolong mereka, mengapa mereka bersembunyi di dalam gua?”
Apa yang dilakukan Rasulullah itu menjelaskan kepada kita bahawa usaha menggunakan kaedah kausaliti (sebab dan akibat) dalam perjuangan adalah wajib, ketika sudah berdoa tidak bererti boleh meremehkan usaha dengan menjalani kaedah kausaliti, doa itu mesti selalu diiringi setiap usaha secara berterusan mengikuti kaedah kausaliti.
Maka, siapa sahaja yang menginginkan tegaknya kembali Khilafah dalam waktu terdekat ini, dia tidak boleh merasa cukup dengan hanya berdoa untuk mewujudkan keinginannya itu. Melainkan dia mesti beramal bersama orang-orang yang sedang berusaha untuk mewujudkannya. Dia juga perlu berdoa kepada Allah, memohon pertolongan untuk mewujudkan Khilafah dan mempercepat penegakannya. Dia pun mesti terus-menerus berdoa dengan ikhlas, dengan tetap berpegang pada kaedah kausaliti.
Keempat, Allah pasti akan mengabulkan setiap doa orang yang berdoa, dan akan mengabulkan orang yang terdesak dengan keperluannya ketika dia berdoa kepadaNya. Hanya sahaja perlu difahami bahawa ijabah doa mempunyai pengertian syarie tersendiri (hakikat syarieyah) yang telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW.
Baginda bersabda:
مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إثمٌ وَلاَ قَطِيعَةُ رَحِمٍ، إِلاَّ أَعْطَاهُ اللهُ بها إِحْدَى ثَلاَثٍ خِصَالٍ: إِمَّا أَنْ يُعَجِّلَ اللهُ لَهُ دَعْوَتَهُ، وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ، وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهَا، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِذًا نُكْثِرُ قَالَ: اللَّهُ أَكْثَرُ
“Tiada seorang Muslim pun yang berdoa kepada Allah dengan suatu doa yang di dalamnya tiada dosa dan memutuskan silaturrahim, kecuali Allah akan memberinya salah satu daripada tiga perkara, iaitu boleh jadi Allah akan mempercepat terkabulnya doa itu ketika di dunia; atau Allah akan menyimpan terkabulnya doa di akhirat kelak, dan boleh jadi Allah akan memalingkan keburukan daripadanya sesuai dengan kadar doanya. Para sahabat berkata, “Kalau begitu kami akan memperbanyak doa.” Rasulullah SAW bersabda, “Allah akan lebih banyak lagi (mengabulkannya).” (HR Ahmad, al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad). Allahu a’lam.