Penulis: M. Taufik N. T.
Imam al-Qurthubi [w. 671 H] dalam tafsirnya menceritakan bagaimana kegigihan syaitan dalam menggoda keluarga Nabi Ibrahim AS supaya tidak menjalankan perintah Allah untuk menyembelih puteranya sendiri, Ismail.
Syaitan menyerupai seorang lelaki, lalu mendatangi Hajar, ibunya Ismail, dan berkata,
أَتَدْرِينَ أَيْنَ يَذْهَبُ إِبْرَاهِيمُ بِابْنِكِ
“Adakah kau tahu ke mana Ibrahim pergi bersama puteramu?”
Hajar menjawab, “Laa (Tidak!)”
Syaitan berkata,
إِنَّهُ يَذْهَبُ بِهِ لِيَذْبَحَهُ
“Dia pergi hendak menyembelih puteramu.”
Hajar menjawab,
كَلَّا هُوَ أَرْأَفُ بِهِ مِنْ ذَلِكَ
“Tidak mungkin, dia sangat sayang dengan puteranya.”
Syaitan berkata,
إِنَّهُ يَزْعُمُ أَنَّ رَبَّهُ أَمَرَهُ بِذَلِكَ
“Dia menyangka Tuhannya memerintahkan hal tersebut.”
Hajar menjawab,
فَإِنْ كَانَ رَبُّهُ قَدْ أَمَرَهُ بِذٰلِكَ، فَقَدْ أَحْسَن أَنْ يُطِيْعَ رَبَّهُ
“Jika memang Tuhannya memerintahkan demikian, maka yang paling baik bagi Ibrahim ialah mentaatinya.”
Kemudian syaitan mendatangi Ismail dan berkata,
أَتَدْرِي أَيْنَ يَذْهَبُ بِكَ أَبُوكَ؟
“Adakah kau tahu ke mana bapamu membawamu pergi?”
Ismail menjawab, ”Laa. (Tidak!)”
Syaitan berkata,
فَإِنَّهُ يَذْهَبُ بِكَ لِيَذْبَحَكَ
“Dia pergi bersamamu untuk menyembelih dirimu.”
Ismail, “Wa lima? (Kenapa?)”
Syaitan berkata,
زَعَمَ أَنَّ رَبَّهُ أَمَرَهُ بِذَلِكَ.
Dia menyangka Tuhannya memerintahkan demikian.”
Ismail menjawab,
فَلْيَفْعَلْ مَا أَمَرَهُ اللّٰهُ بِهِ، سَمْعًا وَطَاعَةً لِأَمْرِ اللّٰهِ
“(Kalau benar itu perintah Tuhan) maka hendaklah dia mengerjakan apa yang diperintahkan Allah, mendengar dan taat kepada perintah Allah.”
Setelah gagal dua kali, akhirnya syaitan mendatangi Ibrahim dan berkata,
أَيْنَ تُرِيدُ؟ وَاللّٰهِ إِنِّي لَأَظُنُّ أَنَّ الشَّيْطَانَ قَدْ جَاءَكَ فِي مَنَامِكَ، فَأَمَرَكَ بِذَبْحِ ابْنِكَ.
“Ke mana kau hendak pergi? Demi Allah aku yakin bahawa syaitan datang dalam mimpimu, kemudian memerintahmu untuk menyembelih puteramu.”
Namun, Nabi Ibrahim AS tahu bahawa lelaki tersebut ialah syaitan, kemudian beliau mengusirnya. [Al-Jâmi’ li Ahkâmil Qur’an, 15/105-106].
Keluarga Nabi Ibrahim memberi teladan kepada kita bahawa ketika perintah dan hukum Allah datang, tak kira bila dan di mana pun, maka apapun mesti sanggup dikorbankan untuk menjalankannya, sekalipun nyawa sebagai taruhannya.
Kisah tersebut juga memberikan pengajaran bahawa syaitan, baik dari kalangan jin mahupun manusia, akan sentiasa berusaha menghalang-halangi manusia dari ketaatan kepada Allah.
Untuk meraih tujuannya, syaitan tidak segan-segan menggunakan penyamaran palsu (iaitu menyerupai manusia), tidak segan-segan bersumpah atas nama Allah, sebagaimana dia katakan, “Wallaahi (demi Allah).”
Juga tidak segan-segan menyebarkan fitnah, bahkan fitnah kepada dirinya sendiri, sebagaimana perkataan syaitan, “Inni la-adzunnu annas-syaithaana qad jaa-aka fii manaamika fa-amara bidzab-hi ibnika. (Aku yakin bahawa syaitan datang dalam mimpimu, kemudian memerintahkanmu untuk menyembelih puteramu).”
Pada zaman sekarang, agaknya syaitan dari jenis jin sudah boleh “beristirehat sejenak”[1], tidak perlu lagi dia mengubah rupa menjadi manusia, kerana bukan sedikit manusia yang secara sukarela menggantikan peranan syaitan dengan sangat baik.
Seandainya perintah kepada Nabi Ibrahim itu datang sekarang, kemungkinan besar akan terdapat ramai dari kalangan para tokoh, pembela HAM, penggiat sosial media mahupun TV yang akan menggantikan peranan syaitan tersebut untuk menghalangi Ibrahim dari menyembelih Ismail.
Tidak ketinggalan sebahagian “ulama” pun akan melakukan perkara yang sama, mencari dalil, alasan, dan kaedah agar Ibrahim tidak melaksanakan perintah Tuhannya.
Kaedah dar-ul mafâsid muqaddamun ‘ala jalbil mashâlih ‘menolak bahaya (tersembelihnya Ismail) mesti didahulukan daripada meraih kemaslahatan’, apalagi dengan disembelihnya Ismail, tidak ada kemaslahatan yang diperoleh, tidak akan menurunkan harga barang, juga tidak akan meningkatkan nilai pertukaran mata wang, kaedah ini tentu akan popular di television.
Jika semuanya gagal, mereka masih boleh menawarkan banyak kebaikan, “Perintah Allah kan banyak, tidak perlu dilaksanakan semuanya, ambil yang mudah-mudah saja,” atau, “Ya, perintah Allah itu bagus, tetapi, perintah yang ini tidak boleh dilaksanakan kerana bertentangan dengan adat di sini.” Cadangan-cadangan kebaikan pun akan disenaraikan bagi menunggu persetujuan, semuanya hanya mempunyai tujuan yang satu, agar Ibrahim tidak melaksanakan perintah Tuhannya.
Al Hasan bin Salih rahimahullah berkata,
إن الشَّيْطَان ليفتح للعبد تسعة وتسعين بابا من الخير يريد به بابا من الشر
“Sesungguhnya syaitan boleh membukakan 99 pintu kebajikan untuk menuju 1 pintu keburukan yang dia inginkan.” [al Muntaqa an Nafis min Talbis Iblis, hal 63]
Jika semuanya gagal, boleh jadi Ibrahim akan dianiaya atau bahkan dilemparkan ke penjara sebelum sempat dia mengajak Ismail pergi. Wallahu a’lam.
[1] ‘Hebatnya’, syaitan itu walau sudah ‘berjaya’, dia tidak pernah puas, tidak pernah beristirehat menggoda manusia, bahkan berusaha agar teman-temannya dari kalangan manusia tetap teguh meniti jalan syaitan tersebut.