Pertama kali kes menghina agama dikaitkan dengan kandungan dakwah Islam yang membincangkan ajaran agama lain. Malah sekarang, para pendakwah yang mengupas pandangan Islam mengenai agama lain dianggap telah melakukan penghinaan agama dan boleh didakwa dengan undang-undang kerana menghina agama. Adakah benar bahawa mendakwahkan ajaran Islam mengenai perbandingan agama adalah menghina agama lain? Bukankah dalam al-Quran ada banyak ayat yang menyatakan bantahan terhadap kepercayaan umat lain? Bukankah setiap muslim wajib mempercayai bahawa hanya Islam agama yang benar dan agama lain adalah batil?
Islam Agama Dakwah
Allah SWT telah menjadikan Islam sebagai agama dakwah. Ajaran Islam wajib disampaikan kepada semua manusia. Sudah tentu ia untuk mengubah kepercayaan mereka supaya memeluk agama Islam. Allah SWT berfirman;
“Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik serta berdebatlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik.” [TMQ an-Nahl (16): 125]
Seorang muslim yang berdakwah kepada orang lain sehingga orang itu meyakini Islam dan meninggalkan kepercayaannya yang lama akan mendapat pahala yang besar. Rasulullah SAW bersabda; “Sesungguhnya Allah memberi hidayah kepada seseorang melalui dirimu adalah lebih baik daripada apa yang diterangi oleh matahari atau ketika tenggelam.” [HR at-Thabarani]
Kewajipan berdakwah ini telah mendorong umat Islam untuk menyebarkan risalah ini ke seluruh penjuru dunia. Mereka berjaya mengubah para penganut agama lain—sama ada dari kalangan paganis/penyembah berhala, majusi, kaum zindik, dan ahli kitab; Yahudi atau pun Nasrani—berbondong-bondong memeluk Islam. Sikap umat Islam terhadap pemeluk akidah dan agama lain adalah menyeru mereka untuk masuk Islam; membongkar kebatilan kepercayaan dan ajaran mereka; sekaligus menyampaikan kebenaran dan kemuliaan ajaran Islam. Bukan malah mengembangkan fahaman pluralisme seperti yang sering berlaku akhir-akhir ini. Allah SWT telah berfirman,
“Katakanlah (Muhammad), “Wahai Ahli Kitab! Marilah (kita) menuju pada satu kalimat (pegangan) yang sama antara kami dan kamu, bahawa kita tidak menyembah selain Allah dan kita tidak mempersekutukan Dia dengan sesuatu pun; bahawa kita tidak menjadikan satu sama lain tuhan-tuhan selain Allah.” [TMQ Ali Imran (3): 64]
Imam as-Sa’di dalam tafsirnya menjelaskan bahawa ayat ini menyeru kaum Ahli Kitab menuju tauhidullah dalam beribadah dan tidak menyembah selain Allah, kemudian memberikan ketaatan hanya kepada Allah dan Rasul-Nya, bukan kepada makhluk (As-Sa’di, Taysir al-Manan fi Tafsir al-Quran, 1/224). Rasulullah SAW juga menegaskan bahawa umat di luar Islam berada dalam kekufuran sehingga mereka melepaskan akidah dan agama mereka dan memeluk Islam. Sabda baginda, “Demi jiwa Muhammad yang ada dalam genggaman-Nya, tidaklah salah seorang dari umat ini, baik Yahudi atau Nasrani, mendengar aku, kemudian dia mati dan tidak mengimani apa yang dengan itu aku diutus, melainkan termasuk penghuni neraka.” [HR Ahmad]
Berdakwah Kepada Non-muslim
Al-Quran mengandungi ayat-ayat yang berisi ajakan kepada umat Islam untuk meneguhkan keyakinan mereka terhadap Islam. Al-Quran juga memuat seruan kepada penganut agama lain untuk memeluk Islam dan pada masa yang sama menolak kepercayaan mereka. Ayat-ayat tersebut menyeru akal manusia dengan membuktikan kebatilan agama mereka. Dakwah kepada mereka dilakukan tanpa mencela atau menghina agama mereka, tetapi dilakukan secara ilmiah, berhujah, dan menggugah akal [Lihat: Surah an-Nahl (16): 125].
Ketika berhadapan dengan penyembah-penyembah berhala, Allah SWT menurunkan ayat yang mengingatkan mereka akan lemahnya berhala berbanding kekuasaan-Nya,
“Sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah sekali-kali tidak dapat mencipta walau seekor lalat pun walaupun mereka bersatu untuk menciptakannya. Jika lalat itu merampas sesuatu dari mereka, mereka pun tidak akan dapat merebutnya kembali dari lalat itu. Amat lemah yang menyembah dan amat lemah (pula) yang disembah.” [TMQ al-Hajj (22): 73] Ayat ini bukan menghina keyakinan penyembah berhala, tetapi mengajak mereka untuk berfikir dengan jernih adakah layak sesuatu yang lemah, tidak mampu mencipta lalat, bahkan tidak mampu menjaga sesuatu dari lalat, dijadikan Tuhan oleh manusia. Padahal ada Allah Yang Maha Pencipta yang telah menciptakan pelbagai makhluk dari yang paling kecil hingga yang paling besar, juga menciptakan alam semesta.
Ketika berhadapan dengan kaum yang meyakini bahawa Tuhan memiliki anak, ayat-ayat al-Quran mengajak mereka merenung keyakinan mereka supaya mereka memahami sendiri kebatilan akidah mereka [Lihat: Surah al-Mu’minun (23): 91]. Allah SWT juga menyangkal dakwaan kaum Nasrani yang menyatakan bahawa Isa bin Maryam adalah anak Tuhan. Allah SWT berfirman,
“Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata, ‘Sesungguhnya Allah ialah Al-Masih putera Maryam.’ Padahal al-Masih (sendiri) berkata, ‘Wahai Bani Israil, sembahlah Allah Tuhanku dan Tuhan kamu.’” [TMQ al-Maidah (5): 72]
Selain itu, fakta bahawa Bani Israil telah memalsukan kitab-kitab suci mereka, Taurat dan Injil, juga telah dinyatakan oleh Allah SWT, “Celakalah orang-orang yang menulis kitab dengan tangan mereka (sendiri), kemudian berkata, ‘Ini dari Allah,’ (dengan maksud) untuk menjualnya dengan harga yang murah.”[TMQ al-Baqarah (2): 79] Apa yang al-Quran nyatakan tentang pemalsuan ayat-ayat yang terkandung dalam kitab-kitab kaum Yahudi dan Nasrani adalah kenyataan, bukan penghinaan. Kemudian, pada tahun 1994, di San Francisco, Amerika Syarikat, telah diterbitkan sebuah buku yang bertajuk, The Five Gospels: What Did Jesus Really Say? Buku ini adalah hasil seminar oleh 76 orang pakar dari pelbagai disiplin ilmu yang meneliti kesahihan Injil. Mereka mendapati bahawa 82 peratus isi kandungan injil sebenarnya bukan berasal dari Jesus. Penemuan ini menguatkan firman Allah SWT bahawa terdapat perubahan ayat dalam kitab-kitab suci terdahulu.
Berhenti ‘Menjenayahkan’ Dakwah
Oleh itu, berdakwah kepada orang-orang kafir adalah salah satu perintah Allah yang agung. Umat Islam telah diwajibkan untuk menyampaikan dakwah Islam kepada seluruh umat manusia. Sudah tentu mesti dibezakan antara menyampaikan kebenaran Islam kepada umat di luar Islam dengan menghina agama atau keyakinan mereka. Menghina agama umat lain adalah haram. Allah SWT berfirman,
“Janganlah kamu mencela sembahan yang mereka sembah selain Allah kerana mereka nanti akan mencela Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan.” [TMQ al-An’am (6): 108]
Namun, bukan termasuk menghina agama ketika seorang muslim menerangkan kebatilan dan kerosakan akidah umat lain. Ia bahkan merupakan kewajipan yang telah Allah tetapkan. Umat Islam juga mesti mempunyai kepercayaan tersebut sebagaimana yang telah diajar oleh Kitabullah dan Sunnah Nabi SAW. Bukan malah menyatakan bahawa semua agama adalah benar dan kemudian menyeru pluralisme dan sinkretisme. Sikap seperti ini telah diperingatkan oleh para ulama, “Sesiapa yang tidak mengkafirkan orang yang beragama selain Islam seperti Nasrani, atau meragukan kekafiran mereka, atau membenarkan doktrin/ajaran mereka, maka dia telah kafir walaupun pada masa yang sama dia menampakkan dirinya Muslim dan meyakininya” (An-Nawawi, Rawdhah at-Thalibin, 3/444). Kerukunan dan toleransi antara umat beragama tidak dilakukan dengan menganggap semua agama itu benar, kemudian menyembunyikan ayat-ayat al-Quran yang telah membincangkan kebatilan ajaran dan agama di luar Islam. Kerukunan umat beragama diwujudkan dengan menjamin perlindungan harta, keselamatan, kehormatan, dan nyawa. Atas sebab ini, negara mesti menerapkan syariat Islam secara kaffah. Bukan dengan menutup kebenaran ayat-ayat suci [Lihat: Surah al-Baqarah (2): 42]. Adalah ironi jika dakwah dianggap sebagai menghina agama dan tindakan jenayah. Padahal ia adalah kewajipan agama yang pelakunya dijanjikan pahala yang besar oleh Allah SWT. Menganggap dakwah Islam yang mendedahkan kebatilan agama lain sebagai menghina agama dan tindakan jenayah adalah sama seperti menjenayahkan ayat-ayat al-Quran. Na’uzubillah min zalik!
Hikmah
Allah SWT berfirman, “Dialah (Allah) yang telah mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (Islam) agar Dia memenangkan agama itu atas semua agama yang ada walaupun kaum musyrik membencinya.” [TMQ at-Taubah (9): 22].
Sumber: Buletin dakwah Kaffah No. 208 (25 Muharam 1443 H/3 September 2021 M)