Mencintai Nabi SAW Sepenuhnya
Oleh: Dr. Wahyudi Ibnu Yusuf
Peristiwa Maulid Nabi SAW adalah momentum penting bagi umat Islam. Tidak lain untuk mengenang kelahiran sosok manusia paling mulia penerang kehidupan. Penerang langit dan bumi. Pembawa rahmat bagi semesta.
Sudah tentu kenangan kelahiran baginda bukan sekadar nostalgia. Justeru momentum ini kita jadikan untuk memupuk rasa cinta, meneladani baginda dalam dakwah, memperkuat ghîrah perjuangan serta semangat jihad dalam menegakkan kalimat Allah SWT. Dengan kembali mengenang kelahiran Rasulullah SAW, akan terbayang bagaimana jerih-payah perjuangan baginda dengan para Sahabat dalam merintis dan menata peradaban Islam.
Hakikat Cinta kepada Nabi SAW
Abu Abdillah al-Qurasyi dalam Ar-Risâlah al-Qusyayriyyah menyatakan:
حَقِيْقَةُ الْمَحَبَّةِ أَنْ تهبَ كُلَّكَ لِمَنْ أَحْبَبْتَ فَلَا يَبْقَى لَكَ مِنْكَ شَيْئٌ
Hakikat cinta adalah engkau memberikan semua yang ada pada dirimu kepada orang yang engkau cintai, tidak tertinggal sedikit pun untuk dirimu (Ar-Risâlah Qusyairiyah, hal. 479).
Inilah hakikat cinta kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW. Ia adalah cinta mutlak yang tak layak dibahagikan. Cinta kepada selain keduanya adalah cinta kerana keduanya. Cinta ibu bapa, anak, isteri, usaha, tempat tinggal dan lain-lain mesti kerana cinta kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW. Mencintai semua itu hukumnya wajib. Berdosa jika dilalaikan apatah lagi diabaikan. Allah SWT berfirman:
قُلۡ إِن كَانَ ءَابَآؤُكُمۡ وَأَبۡنَآؤُكُمۡ وَإِخۡوَٰنُكُمۡ وَأَزۡوَٰجُكُمۡ وَعَشِيرَتُكُمۡ وَأَمۡوَٰلٌ ٱقۡتَرَفۡتُمُوهَا وَتِجَٰرَةٞ تَخۡشَوۡنَ كَسَادَهَا وَمَسَٰكِنُ تَرۡضَوۡنَهَآ أَحَبَّ إِلَيۡكُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادٖ فِي سَبِيلِهِۦ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِيَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَٰسِقِينَ ٢٤
“Katakanlah, ‘Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isterimu, keluarga-keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatirkan kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang disukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang yang fasik.” [TMQ at-Taubah (9): 24]
Ada dua qarînah (indikasi) pada ayat ini yang menegaskan kewajipan mencintai Allah SWT dan Rasulullah SAW di atas yang lainnya. Pertama: Lafaz fatarabbashu hatta ya’tiyallâhu bi amrihi. Lafaz ini bermakna:
فَانْتَظِرُوْا مَاذَا يَحِلُّ بِكُمْ مِنْ عِقَابِهِ وَنِكَالِهِ بِكُمْ
Tunggulah sehingga Allah menghalalkan sekatan dan hukuman bagi kamu (Tafsîr Ibnu Katsîr, 2/841).
Kedua: Allah SWT mensifatkan orang yang lebih mencintai selain Allah SWT dan Rasulullah SAW dengan sifat fasik dan Allah tidak beri hidayah. Wal ‘iyâdzu bilLâh.
Cinta adalah fi’lul qalb (amal hati). Ia tidak dapat dilihat secara langsung. Akan tetapi, cinta boleh dilihat dengan ‘alamat (tanda) dan atsar (jejaknya). Sebagaimana seseorang yang tidak melihat ada unta, namun ada jejaknya. Ini menunjukkan ada unta yang baru melalui kawasan itu. Kerana itu Qadhi ‘Iyadh bin Musa al-Yahshubi menyatakan:
اِعْلَمْ أَنَّ مَنْ أَحَبَّ شَيْئًا آثرهُ وَآثرهُ مُوَافَقَتُهُ. وَإِلاَّ، لَمْ يَكُنْ صَادِقَا فِي حُبَّهِ
Ketahuilah bahawa siapa saja yang mendakwa cinta terhadap sesuatu (termasuk seseorang) maka ada tandanya. Tanda tersebut bersesuaian dengan kadar cintanya. Jika tidak ada buktinya maka tidak benar dakwaan cintanya.
Masih menurut Qadhi ‘Iyadh, bukti paling nyata atas pengakuan cinta kepada Rasulullah SAW adalah:
اْلاِقْتِدَاءُ بِهَ وَاسْتِعْمَالُ سُنَّتِهِ وَاِتِّبَاعُ أَقْوَالِهِ وَأَفْعَالِهِ وَامْتِثَالُ أَوَاْمِرِهِ وَاجْتِنَابُ نَوَاهِيْهِ وَالتَّأَدَّبُ بِآدَابِهِ
”Meneladani baginda, mengamalkan sunnah baginda, mengikuti ucapan dan perbuatan baginda menjalankan perintah baginda, menjauhi larangan baginda dan beradab dengan adab baginda.” (As-Syifâ bi Ta’rîf bi Huqûq al-Musthafa, 2/16)
Kerana itu Imam Syafie juga pernah menyatakan:
لَوْ كانَ حُبُّكَ صَادِقاً لأَطَعْتَهُ # إنَّ الْمُحِبَّ لِمَنْ يُحِبُّ مُطِيعٌ
”Jika cintamu benar, tentu engkau akan mentaati baginda Nabi SAW. Sungguh orang yang mencintai akan mentaati orang yang dicintai.”
Imam Ibnu Katsir, saat mentafsirkan firman Allah SWT dalam QS Ali ‘Imran ayat 31, menyatakan:
هَذِهِ اْلآيَةُ الْكَرِيْمَةُ حَاكِمَةٌ عَلَى كُلِّ مَنْ اِدَّعَى مَحَبَّةَ اللهِ، وَلَيْسَ هُوَ عَلَى الطَّرِيْقَةِ الْمُحُمَّدِيَّةِ فَإِنَّهُ كَاذِبٌ فِي دَعْوَاهُ فِي نَفْسِ اْلأَمْرِ، حَتَّى يَتَّبِعَ الشَّرْعَ الْمُحَمَّدِيَّ وَالدِّيْنَ النَّبَوِّيَّ فِي جَمِيْعِ أَقْوَالِهِ وَأَحْوَالِهِ
”Ayat yang mulia ini menjadi pemutus bagi siapa saja yang mendakwa cinta pada Allah, namun tidak mengikuti jalan hidup (tharîqah) Nabi SAW, sesungguhnya ia adalah pendusta atas dakwaan cintanya pada perkara ini sehingga dia mengikuti syariah dan agama yang dibawa Nabi Muhammad SAW dalam seluruh ucapan dan keadaannya.”
Mewujudkan Cinta kepada Nabi SAW Ketika Ini
Ada beberapa hal yang mesti kita wujudkan saat ini sebagai bukti cinta kita kepada Nabi Muhammad SAW.
Pertama: Mencintai apa dan siapa yang dicintai oleh Nabi SAW dan membenci apa dan siapa yang dibenci oleh Nabi SAW Terkait hal ini Qadhi ‘Iyadh bin Musa al-Yahshubi menyatakan:
وَمِنْهَا مَحَبَّتُهُ لِمَنْ أَحَبَّ النَّبِيُّ ﷺ وَمَنْ هُوَ بِسَبَبِهِ مِنْ آلِ بَيْتِهِ وَصَحَابَتِهِ مِنَ الْمُهَاجِرِيْنَ وَاْلأَنْصَارِ وَعَدَاوَةُ مَنْ عَادَاهُمْ وَبُغْضُ مَنْ أَبْغَضَهُمْ وَسَبَّهُمْ
Di antara tanda dan bukti cinta kepada Nabi SAW adalah mencintai apa dan siapa saja yang baginda cintai seperti keturunan baginda, para sahabat baginda dari kalangan Muhajirin dan Ansar; memusuhi, membenci dan mencela siapa saja yang baginda musuhi, yang baginda benci dan yang baginda cela (Asy-Syifâ’, hal. 50).
Dalam konteks sekarang, kita mesti mencintai sesama Muslim, di mana pun mereka berada, walau berbeza negara. Kerana persaudaraan Islam, kita mesti turut empati dan simpati serta membantu kesusahan yang mereka alami. Di sisi lain kita mesti memusuhi dan membenci siapa pun yang memusuhi, menindas dan menjajah kaum Muslim. Seperti para penjajah dari entiti Yahudi dan penyokong setianya, Amerika Syarikat.
Para pencinta Nabi SAW semestinya mencintai para pejuang Islam. Tidak selayaknya menuduh, memfitnah, menganiaya serta membubarkan pengajian dan organisasinya.
Kedua: Menerapkan Islam secara kâffah. Bukti sebenar kecintaan terhadap Nabi SAW adalah menerapkan Islam secara kâffah. Sebab, syariah Islam itulah yang dibawa oleh Nabi SAW. Kerana syariah Islam yang baginda bawa itulah, baginda dituduh dengan beragam tuduhan, dihina, diusir sehingga diancam bunuh.
Tidak sempurna iman kita jika tidak menjadikan Nabi SAW sebagai pemutus dalam segala persoalan hidup kita. Bukan hanya soal ibadah mahdhah; tetapi juga persoalan ekonomi, politik, pendidikan, budaya, hukum dan semua aspek kehidupan.
Imam Ibnu Atha’illah dalam Kitab At-Tanwîr fî Isqâth at-Tadbîr (hal. 31-32) memberikan penjelasan tentang kewajipan tunduk pada semua keteta Allah SWT dan Rasul-Nya. Allah SWT berfirman (yang bermaksud): ”Demi Tuhanmu. Mereka tidak beriman sehingga mereka menjadikan engkau (Muhammad) sebagai hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan sehingga tidak ada rasa keberatan dalam hati mereka terhadap keputusan yang engkau berikan dan mereka menerima dengan sepenuhnya.” [TMQ an-Nisaa’ (4): 65]
Beberapa poin penting daripada QS an-Nisaa’ ayat 65 adalah sebagai berikut:
- Kewajipan berhukum (bertahkim) kepada Rasulullah SAW dalam perkara yang diperselisihkan.
- Kewajipan melenyapkan keberatan (haraj) dalam hati. Maksudnya, ada kesediaan ber-tahkim kepada Rasulullah zahir dan batin.
- Berserah diri (taslîm) sepenuhnya pada semua perkara. Bukan hanya pada perkara yang sedang diperselisihkan saja.
Jadi, tidak ada ruang lagi bagi manusia untuk menentang ketetapan hukum Allah dan Rasul-Nya yang ditetapkan kepada manusia. Jangankan menentang, ada keberatan saja pun tidak boleh. Jangankan keberatan, tidak pasrah pada semua urusan pun tidak boleh.
Ketiga: Meneladani jalan dakwah Nabi SAW. Dakwaan cinta kepada Nabi SAW juga mesti diwujudkan dalam meneladani jalan dakwah baginda. Kehidupan Nabi SAW adalah hayâtud-da’wah. Sejak awal diutus sehingga wafat, baginda selalu berdakwah. Bahkan diamnya Nabi SAW juga adalah dakwah (dalam istilah ilmu ushul fiqh disebut taqrîr [persetujuan] Nabi SAW).
Meneladani jalan dakwah Nabi SAW termasuk dalam meneladani baginda sebagai qudwah/uswah hasanah. Kerana itu tidak benar dakwaan yang menyatakan bahawa zaman Nabi SAW berbeza dengan zaman kita sehingga tidak wajib meneladani jalan dakwah baginda. Jawapan atas dakwaan ini boleh kita jawab: Uslûb (cara/teknik) dakwah boleh saja berbeza, sesuai dengan situasi dan keadaan zaman. Akan tetapi, jalan (tharîqah/manhaj) dakwah wajib sepenuhnya mencontohi Nabi SAW. Ini kerana, jalan (tharîqah/manhaj) adalah perkara tetap yang tidak berubah dengan berubahnya waktu dan tempat. Ciri amal dakwah Nabi SAW adalah jalan (tharîqah/manhaj) dakwahnya yang tidak pernah berubah; apapun risikonya dan apapun respon daripada objek dakwahnya (Taysîr Wushûl Ilaa al-Ushûl, hal. 21). Contohnya, thalab an-nushrah. Di antara jalan (tharîqah/manhaj) dakwah Nabi SAW adalah dakwah berjamaah. Baginda mengkoordinasi segala potensi yang ada pada para Sahabat baginda untuk meraih tujuan dakwah.
Dalam keadaan kita saat ini, apapun cabaran daripada dakwah berjamaah semestinya kita tetap berusaha untuk istiqamah dalam jamaah, kerana ini adalah bahagian daripada bukti cinta kita kepada Nabi SAW. Betapa banyak sekali pun godaan untuk keluar daripada jamaah, semoga Allah SWT mengistiqamahkan kita. Âmîn
Keempat: Membebaskan negeri-negeri Islam yang ditindas dan dijajah. Di antara wujud cinta kita kepada Nabi SAW adalah berjuang untuk membebaskan negeri-negeri Islam yang ditindas dan dijajah. Inilah amalan Nabi SAW. Siang dan malam baginda berjuang membebaskan Jazirah Arab daripada kemusyrikan. Puncaknya adalah pembebasan Mekah (tahun 8 H). Mekah adalah entiti penjaga kemusyrikan. Ketika Mekah dibebaskan, kemusyrikan dihapuskan. Masuk Islamlah masyarakat berbondong-bondong. Baginda kemudian memperluaskan medan dakwah. Baginda mengutus surat kepada para raja di luar Jazirah Arab. Baginda menyerukan Islam. Aslim taslam (Masuk Islamlah, maka engkau selamat). Baginda juga memimpin pasukan untuk membuka barisan hadapan dengan Empayar Romawi.
Saat ini, negeri-negeri Islam dijajah oleh ideologi kapitalisme dan sosialisme. Kaum Muslim dijajah secara fizikal seperti yang terjadi di Palestin. Kerana itu, manifestasi rasa cinta dan meneladani Nabi SAW adalah dengan berjuang melenyapkan ideologi penjajah dan penjajahan itu daripada negeri-negeri umat Islam.
Kelima: Mendirikan negara sepertimana yang pernah didirikan oleh Nabi SAW. Selain mewariskan al-Quran dan as-Sunnah, Nabi SAW juga mewariskan negara. Nabi kita adalah nabi dan rasul sekaligus ketua negara. Negara Islam yang didirikan sekaligus diketuai oleh Rasulullah SAW ini diteruskan secara berlanjutan oleh Khulafaur Rasyidin dalam bentuk Khilafah Islam. Khilafah Islam ini kemudian diteruskan oleh para khalifah sesudahnya. Sayangnya, Khilafah Islam akhirnya diruntuhkan pada 28 Rejab 1342 H/3 Mac 1924.
Nabi SAW juga secara khusus berwasiat agar kaum Muslim berpegang teguh pada sunnah baginda dan sunnah Khulafaur-Rasyidin al-Mahdiyyin. Inilah Daulah Islam atau Khilafah Islam. Negara inilah yang akan mewujudkan kecintaan dan keteladanan sepenuhnya kepada Nabi SAW. Dengan Negara Islam inilah syariah Islam akan dapat diterapkan secara kâffah. Dengan Negara Islam inilah dakwah Islam akan tersebar di seluruh penjuru dunia. Dengan Negara Islam ini juga negeri-negeri umat Islam akan disatukan dan dibebaskan daripada penindasan dan penjajahan. Dengan Negara Islam ini juga kebenaran akan datang dan kebatilan akan sirna. Allah SWT berfirman:
وَقُلۡ جَآءَ ٱلۡحَقُّ وَزَهَقَ ٱلۡبَٰطِلُۚ إِنَّ ٱلۡبَٰطِلَ كَانَ زَهُوقٗا ٨١
“Katakanlah, Kebenaran telah datang dan sirnalah kebatilan. Sesungguhnya kebatilan pasti akan sirna.” [TMQ al-Isra’ (17): 81]
Dengan Negara Islam (Khilafah Islam) yang menerapkan syariah Islam dan mengemban dakwah dan jihad ke penjuru alam, Islam akan tersebar dan manusia akan masuk Islam beramai-ramai. Allah SWT berfirman:
إِذَا جَآءَ نَصۡرُ ٱللَّهِ وَٱلۡفَتۡحُ ١ وَرَأَيۡتَ ٱلنَّاسَ يَدۡخُلُونَ فِي دِينِ ٱللَّهِ أَفۡوَاجٗا ٢
“Jika telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, engkau menyaksikan manusia masuk ke dalam agama Allah (Islam) secara beramai-ramai.” [TMQ an-Nasr (110): 1-2]
Orang yang mengaku cinta kepada Nabi SAW tidak akan redha dengan sistem kenegaraan selain Khilafah Islam. Dia tidak akan redha dengan sistem monarki (kerajaan) kerana Khilafah bukan kerajaan. Dia juga tidak akan redha dengan sistem demokrasi dengan beragam variasinya kerana Khilafah berbeza dengan negara demokrasi dalam asas dan cabangnya. Pencinta Nabi SAW juga tidak redha dengan sistem negara empayar kerana Khilafah bukan negara empayar. Khilafah Islam adalah sistem pentadbiran yang khas yang diwariskan oleh Baginda Nabi SAW.
Khilafahlah yang di-bisyârah-kan oleh Nabi kita yang akan tegak di akhir zaman. Berjuang menegakkan Khilafah adalah bukti cinta kita pada Nabi SAW. Berjuang menegakkan Khilafah adalah jalan mewujudkan cinta kepada Nabi SAW sepenuhnya.
Semoga kita dimampukan untuk mewujudkan kembali Khilafah Islam. Âmîn.
WalLâhu a’lam bish ash-shawâb.
#CintaNabi #TegakIslamKaffah #TegakKhilafah