Iman kepada Allah dalam Al-Quran
Pembahasan tentang Al-Quran Al-Karîm tidak hanya terbatas pada pembuktian keberadaan Sang Pencipta yang menciptakan segala sesuatu, tetapi juga merangkumi akibat daripada sifat-sifat ketuhanan (al-uluhiyyah) seperti Kemaha-Esaan (Wahdâniyyah), Kemahakuasaan (Qudrah), Kemahatahuan (‘Ilm), penafian keserupaan (dengan makhluk), serta nama-nama yang baik (al-Asma’ul Husna) yang digunakan oleh Sang Pencipta ‘Azza wa Jalla untuk menyifati diri-Nya.
Nama-nama tersebut disebutkan dalam ayat-ayat Al-Quran Al-Karîm ratusan kali. Cukuplah kita mengetahui bahawa nama-nama Allah yang tercantum dalam Al-Quran Al-Karîm berjumlah 99, yang bermaksud terdapat 99 ayat yang menyebutkan sifat-sifat bagi Allah ﷻ ini.
Ketika kita mendapati bahawa banyak daripada nama dan sifat ini diulang puluhan kali, kita menyedari betapa pentingnya tema ini, dan bahawa ia merupakan rukun utama dalam keimanan yang dibangun di atas keyakinan rasional yang mutlak serta ketenteraman hati yang sempurna.
Di antara ayat-ayat tersebut misalnya dalam Surah Al-Ikhlas (yang bermaksud):
“Katakanlah: ‘Dialah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah tempat bergantung (kepada-Nya segala sesuatu). Dia tidak beranak dan tidak pula diberanakkan, dan tidak ada seorang pun yang setara dengan-Nya.’” [TMQ Al-Ikhlas (112): 1-4]
Firman-Nya (yang bermaksud):
“Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia Yang Hidup kekal lagi terus-menerus mengurus (makhluk-Nya); tidak mengantuk dan tidak tidur…” [TMQ Al-Baqarah (2): 255]
Firman-Nya (yang bermaksud):
“Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia Yang Hidup kekal lagi terus-menerus mengurus (makhluk-Nya). Dia menurunkan Al-Kitab kepadamu…” [TMQ Ali ‘Imran (3): 2-3]
Dan banyak ayat lainnya. Sedangkan lafaz al-Jalâlah “Allah” itu sendiri disebutkan di dalam Al-Quran Al-Karîm lebih daripada 2500 kali, selain nama-nama dan sifat-sifat-Nya yang lain.
Sumber: Kitab “Nahj al-Qur’ân fi ad-Da’wah” – Syeikh Hafizh Shalih
#NamaAllah #SifatAllah #LafzulJalalah #Iman