Membina Ekonomi Islam yang Mensejahterakan
Penulis : Muis
Masyarakat di Semenanjung Arab, khususnya Mekah dan Madinah, mempunyai latar belakang ekonomi yang sangat berbeza. Kedua-dua wilayah ini kemudiannya mengalami transformasi mendasar setelah Islam hadir sebagai sebuah sistem yang komprehensif. Pengajaran daripada transformasi tersebut amat relevan pada masa kini. Hal ini demikian kerana negeri-negeri Muslim pada hari ini dicengkam oleh sistem ekonomi kapitalisme yang dari segi substansinya mempunyai persamaan dengan sistem jahiliah pada zaman sebelum kedatangan Islam di Semenanjung Arab.
Ekonomi Mekah dan Madinah Sebelum Islam
Pada awal abad keenam Masihi, Mekah menguasai perdagangan di Semenanjung Arab. Hal ini didorong oleh kedudukannya yang strategik di laluan Hijaz serta status Baitul Haram sebagai tanah suci yang dihormati oleh seluruh kabilah Arab. Faktor ini memberikan jaminan keselamatan kepada kafilah-kafilah dagang. Mekah juga berperanan sebagai perantara yang berkecuali dalam konflik antara Parsi dengan Rom. Keadaan ini membolehkan penduduknya mengumpulkan kekayaan yang besar meskipun tinggal di persekitaran yang kekurangan sumber alam (Syarif, hlm. 171).
Mekah menjadi pusat transit (entrepôt) yang menerima barangan dagangan dari India, Afrika Timur dan Yaman sebelum mengedarkannya semula ke pelbagai wilayah.
Aliran barangan yang besar ini turut menjadikan Mekah sebagai pusat sirafah (penukaran dan peminjaman wang), selain menyediakan jaminan keselamatan terhadap barangan bagi memastikan kelancaran aktiviti kafilah dagang. Perdagangan di Mekah dijalankan secara kolektif dengan penglibatan ramai pemodal, termasuk wanita kaya seperti Khadijah. Skala perdagangan mereka juga cukup besar. Sebuah kafilah boleh terdiri daripada 500 hingga 1,000 ekor unta dengan nilai sekitar 50,000 dinar. Sebagai gambaran, Abu Uhaihah pernah menyumbangkan 30,000 dinar kepada kafilah Abu Sufyan yang menjadi antara sebab berlakunya Perang Badar (Syarif, hlm. 175–180).
Keselamatan laluan perdagangan tidak dapat dipisahkan daripada perjanjian perdagangan (ilaf) yang dimeterai, khususnya oleh putera-putera Abdul Manaf, dengan pusat-pusat perdagangan di sekitar Mekah. Hasyim memperoleh perjanjian (‘ahd) daripada pemerintah Syam bagi menjamin keselamatan perdagangannya ke wilayah tersebut; Abd Syams memperoleh perjanjian dengan Habsyah; al-Muttalib dengan Yaman; manakala Nawfal dengan Parsi (Bathayinah, hlm. 31–32).
Kabilah Quraisy sendiri menetapkan dua perjalanan perdagangan (rihlah) setiap tahun, iaitu perjalanan pada musim panas ke arah utara dan perjalanan pada musim sejuk ke arah selatan, sebagaimana yang disebut dalam Surah Quraisy.
Kegiatan pertanian hampir tidak wujud di Mekah yang tandus. Penduduknya hanya mempunyai kebun di Taif, sebuah kawasan yang subur. Kegiatan perindustrian juga terhad dan sebahagian besarnya diusahakan oleh komuniti asing serta golongan mawali. Oleh sebab kegiatan ekonominya berorientasikan perdagangan, masyarakat Mekah lebih banyak menggunakan alat timbang (mizan). Orang Arab sendiri belum menempa mata wang mereka. Sebaliknya, urus niaga dijalankan menggunakan dinar emas Byzantine dan dirham perak Parsi (Bathayinah, hlm. 183–188; Syarif, hlm. 306–307).
Sementara itu, Madinah merupakan sebuah wilayah agraria. Tanah gunung berapinya yang subur mendapat bekalan air daripada lembah-lembah yang dialiri air banjir, selain telaga dan mata air. Oleh itu, pertanian menjadi sumber mata pencarian utama penduduknya. Mereka juga tidak perlu berhijrah jauh untuk mencari rezeki (Wakil, hlm. 79–80).
Komoditi utama Madinah ialah kurma dan barli. Sistem pengusahaan tanah yang diamalkan ialah muzara‘ah (sewaan tanah), dengan bayaran berupa hasil tuaian, bukannya wang (Syarif, hlm. 293–294).
Oleh sebab ekonominya berasaskan pertanian, masyarakat Madinah lebih banyak menggunakan sukatan (mikyal) dalam urusan perdagangan (Wakil, hlm. 188).
Madinah turut mempunyai pelbagai kegiatan perindustrian, seperti pembuatan minuman daripada kurma, pertukangan kayu, pembuatan alat pertanian oleh tukang besi, serta penghasilan barang kemas, senjata dan baju besi yang diusahakan oleh orang Yahudi. Anak panah Yathrib juga terkenal pada ketika itu (Syarif, hlm. 307–309).
Pasar utama Madinah ialah Pasar Bani Qaynuqa‘, yang kedudukannya menyamai Pasar Ukaz bagi Mekah (Wakil, hlm. 204).
Sebelum kedatangan Islam, Madinah menghadapi tiga masalah serius yang menghalang pertumbuhan ekonominya. Pertama, hasil pertanian tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan penduduk. Oleh itu, Madinah mengimport gandum dan tepung dari Syam. Malah, penduduknya terpaksa berhutang dengan tempoh pembayaran antara satu hingga dua tahun. Kedua, Ekonomi Madinah dikuasai oleh modal dan amalan riba dalam kalangan orang Yahudi. Tanah-tanah paling subur di kawasan al-‘Awali dikuasai oleh orang Yahudi. Golongan kaya mengambil kesempatan daripada kemiskinan orang lain melalui amalan gadaian, muzabanah dan muhaqalah. Akibatnya, jurang antara golongan kaya dengan golongan miskin semakin melebar. Ketiga, Peperangan saudara antara Aus dengan Khazraj. Peperangan ini hampir memusnahkan ekonomi Madinah dan menjadi masalah paling rumit yang dihadapi oleh penduduknya. Permusuhan berpanjangan kerana tiada pemimpin tempatan yang mampu menyatukan kedua-dua kabilah tersebut (Wakil, hlm. 139–140; Syarif, hlm. 294–309).
Sisi Gelap Ekonomi Jahiliah
Golongan atasan masyarakat jahiliah terkenal dengan gaya hidup mewah, yang sangat berbeza dengan kemiskinan masyarakat di sekeliling mereka. Sebagai contoh, Abdullah bin Jud‘an memiliki kekayaan bernilai puluhan ribu dirham. Beliau terbiasa makan menggunakan pinggan emas serta minum daripada bekas yang diperbuat daripada perak atau kristal. Ketika segelintir individu ini menimbunkan emas dan perak tanpa mengeluarkan zakat atau bersedekah, ramai anggota masyarakat hidup dalam serba kekurangan dan bergelut dengan kemiskinan yang melampau (Ali, 7/438–449).
Ketidakseimbangan ekonomi ini berpunca daripada ketiadaan mekanisme untuk mengagihkan kekayaan kepada golongan miskin dan lemah. Golongan elit cenderung menjalani kehidupan yang berorientasikan kemewahan dan keseronokan serta bersikap angkuh. Mereka enggan membantu golongan fakir dan miskin, mengabaikan hak anak yatim, malah merampas harta pusaka mereka. Mereka juga terbiasa melakukan penipuan dalam urusan ekonomi, mengherdik pengemis dan bertindak sewenang-wenangnya terhadap golongan yang dianggap lemah.
Seorang pedagang bernama Zabid, misalnya, telah dizalimi oleh al-‘As bin Wa’il apabila hak pembayarannya ditahan. Akibatnya, beliau nekad menyuarakan tuntutan keadilan dari puncak Gunung Abu Qubais. Tindakannya membangkitkan kesedaran kabilah-kabilah Quraisy sehingga mereka berikrar melalui Hilf al-Fudul. Perjanjian ini bertujuan membela pihak yang tertindas tanpa mengira latar belakang mereka. Usaha tersebut akhirnya berjaya memaksa al-‘As bin Wa’il mengembalikan hak pedagang berkenaan (Ali, 7: 87).
Eksploitasi dan penindasan terhadap golongan rentan juga menjadi amalan yang lazim. Hamba, yang ditempatkan pada kedudukan sosial yang rendah, diperlakukan dengan sangat kejam. Para majikan sering menggaji buruh untuk melakukan pekerjaan berat tanpa membayar upah. Mereka turut menyeksa hamba agar bekerja melampaui kemampuan demi memperoleh keuntungan. Malah, hamba perempuan dipaksa melacurkan diri (al-bigha’) bagi meraih kekayaan.
Dalam kalangan masyarakat Arab Badwi pula, kemiskinan yang melampau dan ketakutan terhadap kebuluran (imlaq) mendorong sebahagian daripada mereka menanam anak perempuan hidup-hidup bagi mengelakkan beban ekonomi (Ali, hlm. 445–447).
Dalam hal pewarisan harta, perempuan dan anak lelaki yang belum berkemampuan untuk berperang tidak diberikan hak pusaka. Sebaliknya, harta tersebut dikuasai oleh anggota keluarga lelaki yang paling tua (Hamsyari, hlm. 57–61).
Amalan riba begitu berakar umbi dalam masyarakat jahiliah. Orang Yahudi telah dikenali secara meluas dengan amalan riba, sebagaimana amalan tersebut juga masyhur dalam kalangan penduduk Mekah, Taif, Najran dan sesiapa sahaja yang mempunyai lebihan harta lalu ingin mengaut keuntungan daripadanya (Ali, hlm. 426).
Para pemilik modal bertindak secara melampau dengan mengenakan riba yang sangat tinggi (riba fahsy), menuntut pembayaran semula modal berserta faedah secara ketat, serta tidak memberikan kelonggaran kepada peminjam yang menghadapi kesulitan, kecuali dengan menaikkan kadar faedah sekali lagi. Pada penghujung tahun, mereka akan memasukkan faedah terkumpul ke dalam hutang pokok sekiranya peminjam gagal membuat pembayaran. Dengan demikian, faedah bagi tahun berikutnya dikira secara kompaun, iaitu berdasarkan jumlah hutang yang terus meningkat akibat pengenaan faedah ke atas faedah.
Penduduk Yathrib juga lazim meminjam wang dan bahan makanan daripada orang Yahudi dengan kadar riba yang sangat tinggi. Diriwayatkan bahawa seorang lelaki Ansar pernah meminjam 80 dinar daripada seorang Yahudi dan diwajibkan membayar riba sebanyak 50% bagi tempoh pinjaman selama setahun sahaja (Ali, 7/422).
Masyarakat jahiliah turut mengamalkan monopoli dan penimbunan harta. Dalam hal monopoli, kelompok al-Hums daripada Quraisy, yang mendakwa diri mereka sebagai penjaga Tanah Haram, mewajibkan para jemaah dari luar kawasan Haram supaya tidak memakan bekalan makanan yang dibawa bersama mereka. Mereka juga diwajibkan bertawaf dengan mengenakan pakaian Hums. Sesiapa yang tidak memiliki pakaian tersebut terpaksa bertawaf dalam keadaan telanjang atau membeli pakaian baharu. Keadaan ini mewujudkan pasaran yang sangat sibuk di Mekah untuk penjualan pakaian dan makanan pada musim haji (Hamsyari, hlm. 59–61).
Amalan memintas kafilah dagang dan menipu para pendatang juga menjadi perkara biasa. Para pedagang di bandar akan menemui pemilik barangan sebelum mereka tiba di pasar. Mereka kemudiannya membeli barangan tersebut pada harga yang rendah kerana penjual belum mengetahui harga pasaran sebenar, sebelum memanipulasi harga bagi mendapatkan keuntungan. Sebahagian pedagang pula membeli barangan keperluan orang ramai, kemudian menyimpannya sehingga bekalan di pasaran menjadi terhad, lalu menjualnya pada harga yang tinggi.
Pihak yang menerima barang gadaian sebagai cagaran bagi hutang yang diberikan juga boleh menguasai barang tersebut sekiranya peminjam gagal melunaskan hutang pada waktu yang ditetapkan, meskipun nilai barang gadaian itu melebihi jumlah hutang berkenaan (Hamsyari, hlm. 62–64).
Pelbagai bentuk penipuan oleh para pedagang turut mewarnai kegiatan perdagangan pada zaman tersebut. Ketika membeli, mereka menuntut hak mereka secara berlebihan, tetapi apabila menjual, mereka pula mengurangkan sukatan atau timbangan. Sebahagian daripada mereka memotong atau mengikir bahagian tepi dinar dan dirham untuk mengurangkan beratnya. Ada juga yang membasahkan gandum dengan air supaya bijirin tersebut mengembang dan bertambah berat, serta membiarkan susu terkumpul dalam kantung susu haiwan untuk memperdaya pembeli tentang jumlah susu yang dihasilkan (Hamsyari, hlm. 64–65).
Urus niaga jual beli pada zaman jahiliah juga sarat dengan unsur ketidakpastian dan penipuan (gharar). Antaranya ialah amalan najsy, iaitu tindakan rakan niaga penjual yang berpura-pura membuat tawaran harga tinggi, bukan dengan niat untuk membeli, tetapi untuk memperdaya pembeli lain supaya turut menawarkan harga yang lebih tinggi.
Termasuk juga dalam amalan tersebut ialah pengiklanan palsu yang disertai sumpah dusta bagi memperdaya pembeli. Selain itu, terdapat pelbagai bentuk gharar yang lain seperti bay‘ al-hashah, al-munabazah dan al-mulamasah, serta penjualan buah-buahan sebelum jelas kematangannya. Semua bentuk urus niaga ini dilarang kerana mengandungi unsur ketidakpastian dan penipuan (Hamsyari, hlm. 65–66).
Pada zaman jahiliah, turut diamalkan al-maks, iaitu pungutan liar atau cukai pasaran yang dikenakan secara paksa terhadap para pedagang di pusat perdagangan, seperti Pasar Ukaz, serta di pos kawalan sempadan. Sistem pungutan ini berasaskan nilai barangan yang dijual. Setiap barangan yang terjual dikenakan bayaran sebanyak satu dirham, manakala jumlah pungutan dinaikkan apabila nilai barangan meningkat.
Oleh sebab sifatnya yang eksploitatif, amalan ini kemudiannya dikecam keras dalam Islam. Malah, terdapat hadis yang menyebut ancaman bahawa pemungut cukai yang melakukan kezaliman tidak akan masuk syurga.
Transformasi Ekonomi Selepas Hijrah
Hijrah merupakan tonggak awal pelaksanaan Islam secara praktikal dan menyeluruh. Ketika tiba di Madinah, Nabi Muhammad SAW bertindak sebagai ketua negara yang menerapkan seluruh wahyu yang diturunkan kepada baginda, sama ada dalam bentuk al-Quran mahupun as-Sunnah. Pelbagai bentuk transaksi antara individu diatur dan dilaksanakan secara langsung. Dengan demikian, terbentuklah sebuah sistem ekonomi yang dibina berasaskan tiga tonggak utama, iaitu pengaturan pemilikan, pengembangan pemilikan dan pengagihan kekayaan. Sistem ini turut disokong oleh sistem fiskal dan monetari.
- Tonggak Pertama: Pengagihan Kekayaan
Peristiwa Hijrah pada peringkat awalnya menambah beban ekonomi Madinah. Hal ini demikian kerana kebanyakan kaum Muhajirin tidak membawa harta yang mencukupi untuk menjalani kehidupan baharu mereka. Malah, sebahagian daripada mereka langsung tidak membawa sebarang harta. Oleh itu, langkah pertama yang diambil oleh Nabi Muhammad SAW ialah mempersaudarakan kaum Muhajirin dengan kaum Ansar (mu’akhah). Pada awalnya, mereka saling mewarisi harta antara satu sama lain sebagai saudara angkat. Namun, setelah turunnya Surah al-Anfal ayat 75, hak pewarisan tersebut dikembalikan kepada kaum kerabat yang mempunyai pertalian darah (Bathayinah, hlm. 9–10).
Kesempitan hidup pada peringkat awal ini dirakamkan dalam al-Quran melalui pujian terhadap sikap ithar yang ditunjukkan oleh kaum Ansar: “Mereka mengutamakan (orang lain) atas diri mereka sendiri sekalipun mereka sendiri dalam kesusahan.” [TMQ al-Hasyr (59): 9]
Nabi Muhammad SAW juga membantu dan mendorong kaum Muslimin agar mampu berdikari. Mereka yang tidak mempunyai tempat tinggal ditempatkan di serambi masjid dan dikenali sebagai Ahlus Suffah, di samping usaha menjaga maruah golongan fakir. Mereka turut dididik dengan semangat untuk berusaha. Hal ini dapat dilihat melalui teladan Abdurrahman bin ‘Auf yang menolak tawaran untuk menerima separuh daripada harta saudaranya, sebaliknya memilih untuk menjalankan perniagaan (Bathayinah, hlm. 9; Wakil, hlm. 170).
Nabi Muhammad SAW juga menggalakkan umat Islam bekerja dengan menyediakan akses kepada peluang pekerjaan dan modal. Kaum Muhajirin diberikan peluang untuk bekerja di tanah pertanian milik kaum Ansar. Ketika pengusiran Bani Nadir berlaku, harta yang diperoleh daripada mereka diagihkan khusus kepada kaum Muhajirin yang fakir bagi memastikan pengagihan kekayaan yang lebih baik. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah al-Hasyr ayat 7.
Kedudukan ekonomi kaum Muhajirin semakin kukuh selepas penaklukan Khaibar pada tahun ketujuh Hijrah. Dengan itu, mereka berupaya mengembalikan pemberian yang pernah diterima daripada kaum Ansar (Wakil, hlm. 173; Bathayinah, hlm. 59).
Pengagihan kekayaan turut dilaksanakan secara saksama dan adil melalui pelbagai mekanisme, termasuk zakat dan pengaturan pewarisan harta. Zakat berperanan memindahkan sebahagian kekayaan daripada golongan yang mempunyai lebihan harta kepada lapan golongan penerima yang berhak, sebagaimana yang ditetapkan dalam Surah at-Taubah ayat 60.
Hukum pewarisan pula menjadi instrumen pengagihan semula kekayaan dengan menetapkan bahagian yang adil kepada anggota keluarga yang berhak. Harta milik individu yang belum mencapai tahap kematangan atau keupayaan untuk mengurus hartanya juga dilindungi, sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah an-Nisa’ ayat 6.
Negara turut berperanan sebagai penanggung dan pelindung bagi warga yang lemah. Nabi Muhammad SAW menjamin pelunasan hutang orang yang meninggal dunia tanpa meninggalkan harta untuk melunaskannya. Baginda bersabda, “Aku lebih utama terhadap orang-orang Mukmin daripada diri mereka sendiri…” (Wakil, hlm. 146, 177–180; Bathayinah, hlm. 50–59)
- Tonggak Kedua: Pemilikan
Islam meneguhkan hak pemilikan individu melalui banyak ayat al-Quran, antaranya Surah an-Nisa’ ayat 32. Namun, hak pemilikan ini tertakluk pada beberapa batasan, seperti larangan menjadikan arak, babi, bangkai dan berhala sebagai objek pemilikan serta perdagangan.
Selain pemilikan individu, Islam turut menetapkan pemilikan umum, iaitu sumber-sumber yang menjadi hak bersama masyarakat. Antaranya ialah sumber-sumber penting seperti air, api yang digunakan untuk penerangan dan memasak, serta padang rumput yang menjadi tempat ternakan mencari makanan. Sumber galian yang melimpah ruah juga diletakkan di bawah penguasaan negara.
Nabi Muhammad SAW turut menetapkan kawasan hima demi kepentingan umum. Hal ini berbeza daripada amalan hima pada zaman jahiliah yang bersifat persendirian.
Akhir sekali, terdapat juga pemilikan negara, antaranya satu perlima harta rampasan perang (khumus) dan harta fai’, yang pengagihannya bergantung pada ijtihad Khalifah (Wakil, hlm. 146–147; Bathayinah, hlm. 12–22).
- Tonggak Ketiga: Pengurusan Pemilikan
Tonggak ini bertujuan menggerakkan sektor ekonomi sebenar dan memastikan pasaran berfungsi dengan sihat. Sebagai alternatif kepada Pasar Bani Qaynuqa‘, Nabi Muhammad SAW mendirikan sebuah pasar khusus bagi umat Islam yang bebas daripada cukai dan monopoli tempat perniagaan. Baginda bersabda, “Inilah pasar kamu. Janganlah ia dimonopoli dan janganlah dikenakan cukai.
”
Nabi Muhammad SAW juga mengatur perjalanan pasaran agar selaras dengan prinsip Islam melalui pengawasan pasaran (hisbah), yang kemudiannya dipertanggungjawabkan secara khusus kepada qadi hisbah. Segala bentuk transaksi jahiliah yang menzalimi pihak lain dihapuskan, termasuk amalan najsy, mulamasah, bay‘ al-hasah dan al-munabazah, penjualan buah-buahan sebelum jelas kematangannya, penipuan dalam sukatan dan timbangan, serta penimbunan barangan (ihtikar) (Wakil, hlm. 207; Syarif, hlm. 299).
Pelbagai bentuk amalan riba yang menjadi jalan memperoleh keuntungan melalui faedah pinjaman tanpa menanggung risiko turut diharamkan. Sebagai gantinya, umat Islam diarahkan kepada aktiviti produktif dan usaha yang nyata. Islam menetapkan akad-akad yang sah bagi menyokong peredaran dan perkembangan pengeluaran, antaranya jual beli bertangguh, akad salam (tempahan) dengan kuantiti dan tempoh penyerahan yang jelas, gadaian (rahn) yang adil, kerjasama modal melalui akad syirkah, serta kewajipan mencatat hutang sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah al-Baqarah, ayat 282 (Bathayinah, hlm. 40–42).
Sokongan terhadap kegiatan pengeluaran turut diperkukuh melalui peningkatan akses kepada tanah dan produktiviti pertanian. Sektor pertanian Madinah kembali berkembang selepas konflik dalaman dipadamkan. Penduduk diberikan tanah dan digalakkan mengusahakan tanah terbiar yang tidak dimiliki atau dimanfaatkan (ihya’ al-mawat). Hasil pertanian Khaibar pula dibahagikan antara penduduk Khaibar dengan kaum Muslimin (Bathayinah, hlm. 27–30).
Dari sudut belanjawan negara, negara Islam di Madinah membangunkan sumber-sumber pendapatan negara yang sebelum itu tidak wujud dalam sistem ekonomi berasaskan kabilah. Antaranya ialah harta rampasan perang (ghanimah), cukai tanah (kharaj), jizyah, cukai perdagangan (‘usyur) dan zakat (Wakil, hlm. 148–167).
Perbelanjaan negara pula disalurkan kepada pelbagai pos, termasuk pembiayaan jihad dan pentadbiran negara, serta bantuan sosial kepada rakyat yang memerlukan, seperti golongan fakir dan miskin serta mereka yang dibebani hutang.
Pada zaman Nabi Muhammad SAW, mata wang sendiri belum dicetak. Sebaliknya, dinar emas Byzantine dan dirham perak Parsi diterima sebagai piawaian monetari. Mata wang emas dan perak mula dicetak secara tersendiri pada zaman Khalifah Abdul Malik bin Marwan, sekitar tahun 75–76 Hijrah. Sistem sukatan dan timbangan pula menggunakan piawaian yang diterima pakai di Mekah dan Madinah (Bathayinah, hlm. 188–190; Wakil, hlm. 187–188; Syarif, hlm. 306–307).
Dasar monetari yang lebih substantif, iaitu larangan menimbun emas dan perak, kewajipan mengeluarkan zakat ke atasnya, serta pengharaman riba, mendorong wang beredar dengan lebih aktif dalam kegiatan ekonomi. Keadaan ini seterusnya membantu merangsang pertumbuhan ekonomi dan mempercepat pengagihan kekayaan secara lebih meluas dan saksama.
Hijrah Moden
Transformasi Semenanjung Arab daripada sistem jahiliah kepada sistem Islam di bawah kepimpinan Nabi Muhammad SAW diteruskan pada zaman Khulafa’ ar-Rasyidin dan para khalifah selepas mereka.
Namun begitu, menjelang kejatuhan Khilafah Uthmaniyah pada tahun 1924 Masihi, umat Islam kembali berpecah kepada negara-negara bangsa. Mereka meninggalkan syariah Islam dan menerima pakai sistem selain Islam, termasuk sistem ekonomi kapitalisme. Sedangkan menurut al-Quran, sistem ini tidak lain merupakan sistem jahiliah dalam wajah yang baharu. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT, “Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki?” [TMQ al-Ma’idah (5): 50]
Ibnu Kathir menyatakan bahawa ayat ini merupakan kecaman terhadap sesiapa sahaja yang berpaling daripada hukum Allah yang sempurna kepada pendapat, hawa nafsu dan peraturan buatan manusia yang tidak mempunyai sandaran daripada syariahNya.
Persamaan antara ekonomi jahiliah dengan kapitalisme kontemporari merupakan suatu realiti empirikal. Riba yang dahulunya menjadi senjata golongan kaya di Semenanjung Arab untuk menjerut kehidupan ekonomi masyarakat kini berubah menjadi asas kepada keseluruhan sistem kewangan global, termasuk faedah bank, bon, instrumen derivatif dan hutang negara.
Penimbunan harta oleh golongan elit Quraisy pada masa dahulu kini dilembagakan melalui sistem perbankan dan pasaran modal yang menyedut wang daripada sektor ekonomi sebenar. Monopoli terhadap sumber-sumber penting seperti air, tenaga dan tanah, yang pada zaman jahiliah dikenali sebagai hima untuk kepentingan peribadi, kini disahkan dari segi undang-undang melalui penswastaan oleh syarikat-syarikat korporat.
Eksploitasi terhadap golongan lemah yang dahulunya berlaku melalui perhambaan kini muncul dalam bentuk upah rendah, kontrak pekerjaan yang eksploitatif dan belenggu hutang yang menjerat golongan berpendapatan rendah serta kelas menengah bawahan. Komoditi arak dan pelacuran yang dahulunya berleluasa pula kini berkembang menjadi industri yang dibenarkan di sisi undang-undang dan menjadi sumber pendapatan cukai.
Kesimpulannya, keperluan mendesak untuk melakukan hijrah pada era moden menuntut peralihan daripada sistem jahiliah kepada sistem Islam, termasuk sistem ekonomi Islam, melalui institusi negara Islam (Khilafah Islamiyah). Tanpa institusi negara Islam yang berdaulat, pelaksanaan syariah tidak dapat dilaksanakan secara sempurna. Oleh itu, menegakkan semula sebuah negara yang menerapkan syariah Islam merupakan kewajipan syar‘ie yang mendesak untuk direalisasikan.
Wallahu a‘lam bis-sawab.
Rujukan
Ali, Jawad. Al-Mufassal fi Tarikh al-‘Arab Qabla al-Islam. Edisi kedua. Beirut: Dar al-Saqi, 2001.
Bathayinah, Muhammad Dayfullah. Al-Hayah al-Iqtishadiyyah fi al-‘Usur al-Islamiyyah al-Ula. Dar Tariq, tt.
Hamsyari, Mustafa. An-Nizam al-Iqtishadi fi al-Islam min ‘Ahd Bi‘thah ar-Rasul ila Nihayah ‘Asr Bani Umayyah. Riyadh: Dar al-‘Ulum, 1985.
Syarif, Ahmad Ibrahim. Makkah wa al-Madinah fi al-Jahiliyyah wa ‘Ahd ar-Rasul SAW. Kaherah: Dar al-Fikr al-‘Arabi, 2003.
Wakil, Muhammad Sayyid. Al-Madinah al-Munawwarah ‘Asimah al-Islam al-Ula. Jeddah: Dar al-Mujtama‘, 1986.
#iqtishadiyah #sistemekonomiislam #ekonomi