Ketika hidayah datang menerpa, seorang kaki mabuk juga boleh berubah 180 darjah. Inilah kisah taubat seorang pemuda yang gemar meminum arak dan akhirnya menjadi seorang perawi bernas. Keilmuannya menjadi tunas tumbuhnya para ulama hadis. Beliau adalah al-Qa’nabi. Nama lengkapnya adalah Abdullah bin Maslamah bin Qa’nab al-Haritsi. Beliau merupakan salah satu tokoh ahli hadis terkemuka dalam Islam. Merupakan salah seorang murid utama dari Imam Malik bin Anas dan guru kepada Imam Bukhari, Imam Muslim, Abu Dawud dan ramai lagi. Beliau meriwayatkan kitab Muwatha’ karya Imam Malik dan riwayat yang ia bawa merupakan riwayat yang paling kuat menurut sebahagian ulama. Imam Adz-Dzahabu menyebutkannya sebagai seorang imam yang tsabit (kukuh dalam periwayatan hadis.
Siapa sangka, ulama yang terkenal sebagai ahli hadis yang terpercaya, murid istimewa Imam Malik, bahkan disebut-sebut kerana melebihi kehebatan gurunya ini memiliki masa lalu yang kelam. Masa lalunya dipenuhi dengan kemaksiatan. Dia terkenal sebagai kaki mabuk. Di kalangan orang Bashrah, al- Qa’nabi terkenal dalam perkara dunia malam. Semua akan tunduk padanya. Ibnu Qudamah al-Maqdisi dalam Kitab al-Tawwabin menceritakan bahawa, satu ketika, beliau mengadakan pesta arak secara besar-besaran di kediamannya. Berbagai jenis arak disediakan. Semuanya bersedia untuk memuaskan hasrat beliau dan rakan-rakannya.
Selepas selesai mempersiapkan majlis, beliau mula membuka botol arak dan duduk bersantai di depan rumahnya sementara menunggu kehadiran tetamunya. Ketika sedang meneguk segelas khamr, seseorang melintasi di hadapannya. Kedatangannya dianggap mengganggu pandangan. Orang itu tidak pernah dilihat oleh al-Qa’nabi. Melihat dari wajahnya, orang itu bukanlah berasal dari penduduk sekitar. Ternyata, dia juga tidak datang sendirian. Di belakang itu, terdapat segerombolan manusia. Kerana merasa terganggu beserta rasa ingin tahu, al-Qa’nabi pun bertanya pada rakannya, “Siapa orang yang baru datang itu?” “Dia adalah Syu’hah Ibnul Hajjaj,” balas rakannya. “Syu’bah? Siapakah dia? Aku baru mengenal namanya,” tanya al-Qa’nabi lagi. “Dia adalah seorang ahli hadis yang terkenal,” jawab rakannya. Mendengar perkara itu, maka berlarilah al-Qa’nabi menuju ke Syu’bah. Dengan wajah kesal, dia berkata, “Sampaikan kepadaku satu hadis dari Rasulullah SAW!” Melihat keadaan diri al-Qa’nabi, Syu’bah menolaknya dan berkata, “Engkau bukanlah orang yang layak mendengar hadis dari Rasulullah SAW!” Mendengar jawapan tersebut, al-Qa’nabi berasa semakin kesal dan berniat ingin membunuh Syu’bah dengan menghunuskan pedangnya ke leher Syu’bah. Rakan-rakan Syu’bah hanya boleh berdiam diri melihat keadaan itu. Al-Qa’nabi menegaskan kembali kepada Syu’bah, “Sampaikan kepadaku atau lehermu akan putus!” Kerana tidak ada pilihan lain, Syu’bah pun menyampaikan satu hadis kepadanya,
حَدَّثَنى مَنصور عَنْ ربعى عَنْ أَبِى مسعود قال: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِذَا لَمْ تَسْتَحْيِ ، فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ
Diriwayatkan dari Manshur dari Rib’i, dari Abi Mas’ud ra. ia berkata: Rasulullah SAW bersabda, “Jika engkau tidak punya rasa malu, maka berbuatlah sesuka hatimu!”
Seketika, pedang yang ia pegang erat itu pun terjatuh kerana luluh mendengar hadis yang disampaikan oleh Syu’bah. Beliau teringat akan segala dosa-dosa yang telah lakukan sesuka hati tanpa ada rasa malu kepada Allah SWT. Relung hati yang selama ini kosong tidak tersentuh, tiba-tiba ia seakan terisi penuh. Hanya satu hadis boleh menjadi pencetus taubatnya.
Kemudian dia kembali semula ke rumahnya dan membuang semua arak yang telah dia sediakan tanpa memperdulikan berapa wang yang telah dia keluarkan untuk menjayakan majlis itu. Kemudian dia bertemu sang ratu hati, ibunya dan meluahkan segala apa yang dia alami. Dia mencurahkan segala penyesalannya dan memberitahu niatnya untuk merantau ke Madinah demi mengubah jalan hidupnya. Sang ibu merestui niat anaknya dan beliau meminta kepada ibunya untuk memberitahu kepada rakan-rakannya bahawa al-Qa’nabi sudah bertaubat.
Kemudian beliau berhijrah dan menuntut ilmu dengan Imam Malik bin Anas. Al-Qa’nabi mempelajari dasar-dasar agama di hadapan Imam Malik. Seorang al-Qa’nabi yang dahulunya seorang kaki mabuk, berubah menjadi ulama besar yang meriwatkan sekian banyak hadis. Kisah al-Qa’nabi mengingatkan kita kepada satu hadis Nabi SAW tentang manisnya iman. Rasulullah SAW bersabda, “Ada tiga perkara yang apabila perkara tersebut ada pada seseorang, maka dia telah mendapatkan manisnya iman iaitu (1) barangsiapa yang Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai dari selain keduanya, (2) apabila ia mencintai seseorang, ia hanya mencintainya kerana Allah, (3) ia benci untuk kembali kepada kekufuran setelah Allah SWT menyelamatkannya sebagaimana dia benci untuk dilemparkan ke neraka.” (HR Muslim)
Nikmat iman dan Islam telah dirasakan oleh al-Qa’nabi kerana penghijrahannya dari seorang kaki mabuk kepada ahli hadiss. Dia mengamalkan ilmu yang dimilikinya dengan melahirkan ramai ulama perawi hadis yang tsiqoh (terpecaya). Sejarah telah mencatat lembaran kisah-kisah teladan agar menjadi pengajaran dan hikmah bagi mereka yang akan dan sedang mengharungi jalan hijrah, jalan yang penuh onak duri. Banyak tentangan yang akan menghalang, tetapi kekuatan iman boleh meneguhkan langkah kaki menuju redha-Nya. Al-Qa’nabi telah memilih pilihan hidup yang tidak mudah. Tetapi, beliau bahagia dengan pilihannya iaitu dengan berada di jalan Allah sehingga ke akhir hayat. Al-Qa’nabi wafat pada tahun 221 H. Begitulah jejak yang ditinggalkan para ulama. Semoga kita dapat meneladani langkah mereka dengan berbagai amal soleh yang mampu menggugah kesedaran umat akan pentingnya menjadikan iman dan ketaatan kepada Allah SWT. sebagai bekal kehidupan.
Sumber : https://www.muslimahnews.com/2021/09/06/al-qanabi-dari-pesta-miras-jadi-ahli-hadis-berkelas/