Pelayan Rakyat
Oleh: Ustaz Arief B. Iskandar
Malam itu Kota Madinah sunyi. Angin berhembus perlahan di antara rumah-rumah yang sederhana. Namun, ada seorang lelaki yang tidak mampu tidur. Langkahnya terdengar di lorong-lorong gelap. Dia membawa sesuatu di belakangnya. Sesuatu yang lebih berat di dadanya. Lelaki itu adalah Khalifah Umar bin al-Khattab ra.
Tiada lampu yang menerangi. Tiada kamera. Tiada penerbitan. Hanya seorang pemimpin yang takut jika ada seorang pun rakyatnya yang terlepas daripada pelayanannya. Takut jika ada keluhan manusia yang menjadi hujah atas dirinya di hadapan Allah kelak pada Hari Kiamat. Dia menemui seorang ibu yang sedang memasak batu. Bukan makanan. Hanya untuk menenangkan anak-anaknya yang menangis kerana kelaparan. Dada sang Khalifah bergetar. Dia menunduk. Air matanya jatuh. Dia bergegas pergi. Dia segera kembali sambil memikul sendiri sekampit gandum dari Baitul Mal. Ketika Aslam, pelayannya, ingin membantu, Khalifah Umar berkata, “Adakah engkau mahu memikul dosa-dosaku pada Hari Kiamat?”
Khalifah Umar memasak sendiri makanan itu. Dia meniup api hingga asap melekat di janggutnya. Ketika anak-anak itu kenyang dan tertawa, Khalifah Umar baru tersenyum lega dan berkata, “Segala pujian milik Allah yang tidak mencabut nyawaku sebelum melihat mereka kenyang.” (Lihat: Ibnu al-Jauzi, Manâqib ‘Umar ibn al-Khattab, hlm. 159).
Malam itu Madinah tidur tenang. Namun, Khalifah Umar tidak. Sudah tentu kerana pemimpin sejati tidak pernah benar-benar tidur daripada amanah dalam melayani rakyatnya.
*****
Sosok pemimpin teladan lainnya adalah Imam Ali bin Abi Thalib ra. Sebagaimana dinukil dalam Kitab Al-Mushannaf karya Ibn Abi Syaibah, Imam Ali ra. pernah berkata kepada seorang yang mengadu kepada dirinya, “Sesungguhnya aku adalah pemimpin kalian. Aku adalah ayah bagi kalian.” Sebuah kalimat yang memotong jarak antara penguasa dan rakyat. Ayah tidak menindas. Ayah tidak mengambil hak anak-anaknya. Ayah memikul beban agar anak-anaknya tidak merasakan beratnya dunia.
Oleh sebab itu Imam Ali ra. biasa berjalan dalam kegelapan malam. Mengamati keadaan rakyatnya. Menghapus keluh-kesah mereka sebelum menjadi badai. Dia memahami satu prinsip emas bahawa negara hidup dan tegak dengan keadilan. Keadilan tidak lahir dari gaya kepemimpinan. Ia lahir dari ketundukan kepada Allah.
*****
Pemimpin teladan berikutnya adalah Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Dia adalah sosok yang sering disebut khalifah kelima—sering menangis lama di tengah malam. Isterinya bertanya: Mengapa? Khalifah Umar menjawab, “Aku memikirkan anak yatim yang terpukul nasibnya, fakir yang tidak memiliki apa-apa dan orang yang terzalimi. Aku tahu bahawa Rabb-ku kelak akan bertanya kepada aku tentang mereka semuanya.”
Dia tidak takut kepada rakyat. Dia takut hanya kepada Allah. Dia tidak risau kalau imejnya merosot. Dia hanya risau saat Allah kelak meminta pertanggungjawaban dirinya. Oleh sebab itu dia berkata, “Demi Allah, sejak aku memimpin kalian, aku tidak pernah tidur, kecuali jika benar-benar tidak mampu menahan kantuk.” (Lihat: Ibn Abdil Hakam, Sîrah ‘Umar ibn ’Abd al-’Azîz, hlm. 56).
Amanah itu menggetarkan jiwanya. Getaran itu melahirkan pelayanan terbaik untuk rakyatnya.
*****
Berikutnya adalah Khalifah Harun ar-Rasyid. Penguasa besar pada masa Khilafah Abbasiyah. Dia pernah mendengar teguran keras daripada seorang ulama. Teguran itu pedih dan terus menusuk hati. Semua orang menahan nafas. Mereka menunggu kemarahan sang Khalifah. Namun, Khalifah Harun malah menangis. Lalu dia berkata, “Semoga Allah merahmati kamu. Kamu telah memperlihatkan aib-aibku.” (Lihat: Ibn Khallikan, Wafayât al-A‘yân, 2/135).
Demikianlah. Pemimpin yang takut kepada Allah tidak tersinggung sedikit pun oleh nasihat. Dia justeru merasa diselamatkan. Sebab, bagi dirinya, satu nasihat lebih berharga daripada satu wilayah yang ditaklukkan.
*****
Para khalifah dahulu tidak memberikan pelayanan rakyat kerana tekanan dari pandangan umum rakyat. Bukan juga disebabkan dorongan politik. Mereka melayani rakyat semata-mata kerana ketakwaan kepada Allah. Mereka sangat sedar bahawa kekuasaan kelak akan dimintai pertanggungjawaban di hadapan-Nya.
Persoalannya: Mengapa sepanjang kekuasaan Islam, pelayanan kepada rakyat oleh para khalifah itu begitu konsisten? Jawapannya: Pelayanan para khalifah kepada rakyat mereka tidak berdiri di atas karakter personal. Ia ditopang oleh sistem terbaik yang bersumber dari wahyu. Sistem inilah yang mencetak pemimpin yang adil dan rakyat yang berani menegur.
Pertama, kekuasaan tunggal (Imamah) menyatukan umat. Tidak ada negara-bangsa yang saling memusuhi. Tidak ada kepentingan parti. Tidak ada oligarki ekonomi.
Kedua, syariat menjadi undang-undang di atas penguasa, bukan alat untuk menyelamatkan kerusi atau kedudukan. Khalifah terikat dengan syariat. Khalifah bukan penggubal undang-undang. Dia hanyalah pelaksana undang-undang (syariat Allah).
Ketiga, Baitul Mal adalah sumber utama pelayanan rakyat. Zakat, fai’, kharaj, jizyah—termasuk harta-harta yang berasal dari sumber daya alam milik umum—semuanya dikelola untuk rakyat, bukan untuk pegawai-pegawai kerajaan dan oligarki.
Keempat, hisbah dan amar makruf nahi mungkar memberikan ruang muhasabah. Ulama dapat menegur secara langsung penguasa tanpa rasa takut disumbat ke dalam penjara. Rakyat biasa juga dapat mengkritik pemimpinnya tanpa rasa takut dibungkam.
Itulah sebab pelayanan dalam Khilafah Islam bukan satu program. Ia juga bukan janji atas manifesto kempen. Ia adalah mekanisme yang berjalan kerana sistemnya yang benar.
*****
Hari ini, umat Islam merindukan pemimpin seperti para khalifah dahulu. Kita merindukan negara yang melahirkan karakter seperti itu. Kita sangat mengharapkan kekuasaan yang akan menjadikan penguasanya gementar saat mendengar keluhan rakyatnya.
Alhasil, kita sangat merindukan pemimpin yang baik. Kita juga merindukan sistem pemerintahan yang membuat orang baik menjadi kuat dan orang jahat menjadi lemah. Itulah sistem pemerintahan Islam (Khilafah). Sebab, pemimpin yang takut kepada Allah tidak lahir dari sistem sekular. Dia hanya mungkin lahir dari Khilafah yang menegakkan syariah-Nya secara kâffah. Khilafahlah sistem pemerintahan terbaik dan para khalifahlah pelayan rakyat terbaik.
Wa mâ tawfîqî illâ bilLâh.
#khilafah #sistempemerintahanterbaik #tegakkhilafah #pemimpinterbaik #khalifah #pemimpinislam