Penulis: Ustaz Hafidz Abdurrahman
Dalam konteks Islam sebagai agama dan mabda, waktu ini memang tidak diterapkan lagi oleh mana-mana negara sehinggakan kesan peninggalan Islam yang nyata dan komprehensif langsung tidak kelihatan. Tetapi, kenyataan ini tidak membuktikan bahawa Islam tidak layak untuk menjadi agama dan mabda alternatif. Sebab, perlu dipisahkan antara realiti yang terjadi pada agama Islam saat ini dengan muatan ajarannya. Jika realiti yang terjadi pada agama Islam saat ini digunakan untuk menentukan kebenaran atau kesalahan muatan ajarannya, tentu saja ia merupakan tindakan yang menyesatkan. Lebih-lebih lagi di saat ketiadaan aturan Islam dalam realiti kehidupan masyarakat dan negara saat ini yang disebabkan oleh usaha orang-orang kafir yang sengaja menghancurkan Islam dengan mewujudkan berbagai gerakan destruktif dalam Khilafah Islam waktu itu. Kerana itulah, untuk menentukan sah atau kelayakannya saat ini tidak boleh dilihat dari realiti Islam ketika ini, tetapi perlu dikembalikan kepada asas agama itu sendiri.
Perlu difahami bahawa asas akidah Islam adalah keimanan kepada Allah SWT, Malaikat, Kitab, Rasul, Hari Kiamat serta Qada dan Qadar. Islam sebagai agama dan mabda mengakui adanya Pencipta kepada alam, manusia dan kehidupan. Sang Pencipta itu juga diakui sebagai Zat Yang Maha dalam segalanya kerana Dia tidak akan boleh disamakan dengan apa pun dalam kehidupan mereka.
Islam juga mengakui fitrah manusia yang lemah dan bersifat terbatas. Kerana itu, manusia tidak boleh memisahkan diri mereka dengan Allah SWT dalam keadaan apa pun. Inilah yang melahirkan kesedaran mengenai perlunya aturan kehidupan dari Allah dan bukan dari sumber yang lain baik dalam bidang ibadah, ekonomi, politik, sosial, pendidikan, pemerintahan, hukuman dan sebagainya.
Inilah dia bentuk penghargaan Islam kepada fitrah manusia. Fitrah tersebut tidak dibunuh atau manusia dibiarkan memenuhi keperluannya sendiri tanpa bantuan, tetapi semuanya diatur dengan baik oleh Islam sehingga segala keperluannya dapat dipenuhi secara baik dan sistematik. Ini membuktikan bahawa dalam konteks spiritual ataupun politik, Islam tidak bertentangan dengan fitrah manusia. Islam dibina berdasarkan akal dan bukannya kebendaan ataupun jalan kompromi. Ia dapat dilihat dalam konsep tauhid iaitu konsep yang mengajarkan bahawa Allah adalah Zat Yang Maha Esa dari segi uluhiyyah mahupun rububiyyah. Konsep tauhid uluhiyyah adalah konsep pengesaan Allah sebagai satu-satunya Zat Yang Disembah (wahdaniyyaah Al-Ibadah). Inilah makna ilah iaitu al-ma’bud (Zat yang disembah). Tauhid rububiyyah pula mengajarkan pengesaan Allah sebagai satu-satunya Zat Yang Maha Pencipta dan Pengatur (wahdaniyah al-khalq wa at-tadbir) seluruh makhluk yang ada. Konsep tauhid ini berangkat dari konsep pengesaan Zat Allah bahawa tidak ada Zat lain yang berhak disebut sebagai Tuhan.
Dengan demikian, konsep ketuhanan ini secara rasional dapat dibuktikan :
Pertama : dari aspek monoteis, ketika Islam mengajarkan bahawa Allah adalah Zat yang Maha Esa yang secara logiknya, jika ada Tuhan lain selain Allah, dunia ini pasti akan hancur. Dengan begitu, konsep monoteisme (bahawa Allah adalah Zat yang Maha Esa) adalah konsep yang rasional dan tidak bertentangan dengan realiti.
Kedua : dari segi Zat, bahawa Tuhan adalah azali dan Zat Yang Azali itu bermaksud tidak bergantung (ghayr almuhtaj) pada yang lain dan tidak mempunyai keterbatasan (ghayr almahdud). Secara fakta yang nyata, semua yang tampak pada penciptaan alam, manusia dan kehidupan itu tidak ada satu pun yang mempunyai karakteristik azali. Kerana itu, tidak ada satu pun yang ada di dunia ini berhak untuk dijadikan Tuhan baik itu manusia, alam ataupun kehidupan. Kerana tiada yang lain, Dialah satu-satunya Zat yang azali, maka Dialah yang berhak dipertuhankan. Konsep tauhid ini juga menyatakan bahawa tidak ada yang berhak menciptakan mahupun mengatur manusia, alam dan kehidupan ini kecuali Allah SWT. Inilah dia konsep tauhid ajaran Islam.
Kerana itu, Allah bukan hanya di-Esakan ketika sedang melakukan ibadah, tetapi juga perlu di-Esakan dalam interaksi sosial, ekonomi, politik, pemerintahan dan sebagainya. Kerana itu Islam anti kepada sekularisme dan juga ateisme. Pandangan hidup seorang Muslim perlu dibentuk dengan dasar akidah yang memandang bahawa segala sesuatu yang menyangkut perbuatan dan benda yang digunakan untuk melakukan perbuatan adalah berdasarkan standard halal dan haram atau perintah serta larangan Allah. Cara untuk merealisasikan perkara tersebut pula adalah dengan terikat pada hukum Allah SWT.
Sumber : https://www.muslimahnews.com/2021/08/30/potensi-islam-sebagai-agama-dan-mabda-alternatif/