[Siri Ayuh Umat Bangkit] Kaedah Rasulullah SAW Dalam Mengubah Masyarakat (Bahagian 4/4)
Fasa Ketiga: Fasa penerapan Islam secara praktikal melalui penubuhan negara Islam
Apabila Islam tersebar secara meluas dan sebahagian besar masyarakat Mekah memeluknya, maka secara semula jadi mereka akan menerapkan pemikiran-pemikiran Islam dan jiwa mereka dipenuhi dengan perasaan-perasaan Islam. Dengan itu, kebiasaan umum akan terbentuk berasaskan Islam, walaupun secara umum, yang seterusnya melahirkan pandangan umum yang diwarnai oleh nilai-nilai Islam sama ada dari segi sikap mahupun pemikiran.
Namun begitu, keadaan tersebut belum memadai untuk mewujudkan masyarakat Islam secara sempurna sekiranya tidak disertai dengan penerapan hukum-hukum Islam melalui kekuasaan dan pemerintahan. Dalam hal ini, prosesnya boleh berlaku sama ada melalui masyarakat yang memeluk Islam lalu menegakkan pemerintahan Islam sendiri, ataupun melalui penerapan Islam secara kekuatan setelah pandangan umum masyarakat menjadi Islami sehingga mereka berkeinginan untuk hidup menurut Islam. Oleh itu, Mekah pada ketika itu merupakan embrio awal bagi pembentukan masyarakat Islam.
Walau bagaimanapun, perkara tersebut tidak dapat direalisasikan oleh Rasulullah SAW di kota Mekah. Walaupun jumlah orang Mekah yang memeluk Islam semakin bertambah pada fasa tersebut, mereka masih belum mencapai tahap di mana kebiasaan umum dan pandangan umum masyarakat Mekah menjadi Islami. Kebiasaan umum yang wujud masih berteraskan jahiliah, begitu juga pandangan umum mereka yang masih mencerminkan pemikiran jahiliah.
Keadaan yang dihadapi oleh Rasulullah SAW di Mekah akhirnya sampai kepada satu tahap di mana masyarakat seakan-akan membatu sehingga tidak lagi berlaku interaksi yang aktif antara dakwah dan masyarakat. Hal ini berpunca daripada tindakan keganasan dan tekanan yang dilancarkan oleh para pembesar Quraisy terhadap Islam serta sesiapa sahaja yang memeluk agama tersebut.
Situasi ini mendorong Rasulullah SAW untuk mencari masyarakat baru yang memungkinkan Baginda meneruskan usaha penyebaran Islam. Masyarakat tersebut diharapkan dapat menggantikan Mekah sebagai pusat tumpuan dakwah dan menjadi tempat untuk menumpukan usaha dakwah, seterusnya membolehkan peralihan daripada fasa dakwah kepada fasa penerapan Islam secara praktikal melalui institusi pemerintahan. Oleh itu, Baginda mula menemui pelbagai kabilah yang datang ke Mekah sehingga akhirnya Allah SWT mengurniakan penghormatan kepada penduduk kota Yathrib untuk menjadi penolong Islam dan Rasulullah SAW.
Peristiwa ini bermula apabila satu delegasi dari Madinah memeluk Islam di hadapan Rasulullah SAW pada salah satu musim haji. Mereka kemudian kembali ke Madinah untuk mengajak kaum mereka memeluk Islam dan seterusnya kembali lagi pada musim haji berikutnya bersama orang-orang lain yang telah terbuka hati menerima hidayah Islam. Mereka kemudiannya berbai’ah kepada Rasulullah SAW di Aqabah.
Selepas itu, Rasulullah SAW mengutus seorang sahabat Baginda yang terkenal dengan ketampanan dan kepakarannya dalam berdakwah, iaitu Mus’ab bin Umair RA, untuk menyertai mereka. Tugas beliau adalah mengajarkan serta menjelaskan ajaran Islam kepada penduduk Madinah dan menyebarluaskan dakwah Islam di sana. Dalam tempoh kurang daripada setahun, Mus’ab bin Umair berjaya menyaksikan sebahagian besar penduduk Madinah memeluk Islam.
Dengan itu, kebiasaan umum yang berteraskan Islam mula terbentuk di Madinah dan merangkumi dua pilar utama masyarakat Islam, iaitu pemahaman dan perasaan Islam yang dibina di atas akidah Islam. Keadaan ini tidak dibiarkan begitu sahaja; Rasulullah SAW segera berhijrah ke Madinah untuk menerapkan hukum-hukum yang terpancar daripada akidah Islam melalui institusi kekuasaan dan pemerintahan. Maka terbentuklah masyarakat Islam yang pertama dalam sejarah.
Hijrah Rasulullah SAW ke Madinah dengan demikian merupakan langkah pembentukan masyarakat Islam. Sejak ketibaan Baginda di sana, Baginda terus menerapkan hukum-hukum Islam dalam seluruh aspek kehidupan, termasuk dalam bidang pemerintahan, ekonomi, hubungan antara lelaki dan wanita, pendidikan, sistem hukuman serta politik dalam dan luar negara. Dengan itu, Baginda SAW telah memasuki fasa ketiga, iaitu fasa penerapan Islam secara praktikal melalui institusi pemerintahan dan kekuasaan, atau dengan kata lain melalui institusi negara.
Sumber: Diolah daripada `Dasar-Dasar Kebangkitan’ oleh Sheikh Ahmad Al-Qashash
#AyuhUmatBangkit #MasyarakatMuslimIdeal #ThariqahDakwahRasul #TrueVision4Change #VisiSejatiDemiPerubahan #SistemIslam #Khilafah