Pandangan Islam Terhadap Bahan Api
Hubungan pemerintah dengan rakyat dalam masalah bahan api sebagai produk sektor awam bukanlah hubungan antara penjual dan pembeli, melainkan hubungan antara yang mengurus urusan rakyat dan rakyatnya yang berhak menikmati harta kekayaan milik umum tersebut dengan percuma atau harga murah.
Bahan api adalah termasuk barang yang sangat diperlukan oleh masyarakat. Islam menetapkan bahan api dalam kelompok barang milkiyyah ‘ammah, yakni dimiliki oleh umum atau masyarakat disbebakan oleh jumlahnya yang banyak.
Menurut Syaikh Taqiyuddin an-Nabhani dalam Nizham Al-Iqtishodi Fi Al-Islam, eksplorasi mahupun eksploitasi bahan galian yang banyak ini mestilah dilakukan oleh Negara atas nama rakyat kaum Muslim sebagai pemiliknya, untuk dikelola dalam rangka mensejahterakan kehidupan rakyat.
Dalam Islam, konsep kepemilikan umum seperti bahan api dinyatakan dalam sabda Nabi SAW:
“Manusia bersyarikat (mempunyai bahagian) dalam tiga perkara, iaitu air, padang rumput, dan api, harga penjualan ketiga-tiganya adalah haram.” (HR Ibn Majah)
Maksudnya, sumber-sumber kehidupan bagi suatu negeri seperti air bersih, laut, sumber tenaga, dan hutan bukanlah milik individu atau badan tertentu, akan tetapi setiap individu rakyat berhak untuk memanfaatkannya. Pemerintah hanya mendapat mandat untuk mengusahakan atau mengelolanya agar manfaat itu benar-benar sampai ke seluruh rakyat secara adil dan merata.
Nabi SAW pernah memberikan hak perlombongan garam kepada Abyadh bin Hamal, tapi ketika Nabi mengetahui bahawa lombong tersebut cukup besar, bagaikan air yang terus mengalir, maka Nabi SAW mencabut pemberian itu. Oleh kerana dengan kandungannya yang sangat besar itu, lombong tersebut dikategorikan sebagai milik umum yang tidak boleh dikuasai oleh individu.
Yang menjadi fokus dalam hadis di atas tentu saja bukan “garam”-nya, melainkan lombongnya. Penarikan kembali pemberian Nabi SAW adalah illat dari larangan sesuatu yang menjadi milik umum termasuk dalam hal ini barang galian atau hasil bumi yang kandungannya sangat banyak untuk dimiliki individu.
Sumber: ”Isu-Isu Kontemporer Ekonomi & Kewangan Islam” – Zulhelmy bin Mohd. Hatta, Ph.D
#EkonomiIslam #BahanApi #KepemilikanUmum