Bunga Bank Hukumnya Haram Berdasarkan Nas
Bunga bank atau faedah, sama ada pada kadar yang rendah mahupun berlipat ganda, adalah termasuk dalam kategori riba yang diharamkan (iaitu riba nasî’ah secara khusus). Pengharamannya ditegaskan oleh al-Quran, as-Sunnah, dan Ijmak Sahabat. Tidak ada perbezaan antara perkara yang diharamkan oleh al-Quran atau as-Sunnah; semua yang diharamkan hukumnya tetap haram.
Bunga bank termasuk dalam perkara yang dianggap haram dan tidak diperselisihkan oleh mana-mana pihak. Tidak ada percanggahan dalam nas mengenai pengharamannya, dan pandangan yang mengharuskannya atas apa jua alasan dianggap bercanggah dengan dalil syarak, baik daripada al-Quran, as-Sunnah, Ijmak, mahupun Qiyas.
Adapun riwayat yang menyebut tentang perbezaan pendapat dalam kalangan sahabat hanya terbatas pada isu riba fadhl, iaitu lebihan dalam pertukaran dua barang sejenis yang dilakukan secara langsung dalam satu majlis akad, atas sebab-sebab tertentu, seperti perbezaan kualiti. Tidak terdapat riwayat daripada para sahabat yang menunjukkan adanya perbezaan pendapat mengenai keharaman riba nasî’ah, iaitu tambahan yang diambil sebagai kompensasi terhadap penangguhan waktu/tempoh pembayaran atau penyerahan. Bahkan, mereka telah bersepakat (Ijmak) mengenai pengharamannya.
Selain itu, diriwayatkan secara sahih bahawa Ibnu Abbas RA telah menarik balik pendapatnya yang pada mulanya mengharuskan riba fadhl. Pelbagai riwayat telah mengesahkan perubahan pendapat Ibnu Abbas tersebut. Walau bagaimanapun, adanya perbezaan pendapat mengenai riba fadhl tidak boleh dijadikan alasan untuk membolehkan riba nasî’ah.
Hukum haram riba merupakan hukum yang telah ditetapkan dan tidak mempunyai ‘illat (ghairu mu’allal), maka hukumnya tidak bergantung kepada ‘illat (alasan) tertentu sama ada wujud atau tidak sesuatu ‘illat tersebut, sebaliknya pengharaman riba ialah hukum yang kekal dan tidak akan berubah.
Di mana sahaja disyaratkan adanya tambahan dalam pertukaran dua harta ribawi yang sejenis, atau di mana pun berlaku penangguhan penyerahan dalam pertukaran dua harta ribawi tersebut, maka riba telah berlaku. Perkara ini berlaku tanpa mengambil kira apa jua tujuan di sebalik transaksi tersebut dan pada bila-bila masa transaksi itu dilakukan.
Sumber : “Radd ‘Alâ Muftarayât Hawla Hukm Ar-Ribâ” – Syeikh Ahmad Da’ur
#RibaHaram #SistemEkonomiIslam #HalalHaram