Dalil Haramnya Rasuah
Allah ﷻ berfirman:
(وَلاَ تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ)
“Dan janganlah kamu makan harta di antara kamu secara batil” (TMQ. al-Baqarah [2]: 188)
Maksudnya, janganlah memakan harta antara satu sama lain tanpa hak yang sepatutnya.
Kemudian Allah ﷻ berfirman:
(وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ)
“Dan (janganlah) kamu membawa harta itu kepada para penguasa.”
Lafaz al-id-lâ` bermaksud menurunkan tali ke dalam perigi untuk mengambil air daripadanya. Dalam ayat ini, perkataan tersebut digunakan sebagai majas, dengan membawa maksud menyerahkan harta untuk mendapatkan sesuatu.
Jadi, maksud ayat ini ialah, “Janganlah kamu memberikan sebahagian harta itu kepada para penguasa yang zalim sebagai suatu bentuk suap (rasuah).”
Lalu Allah ﷻ berfirman:
(لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالإِثْمِ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ)
“Agar kamu dapat memakan sebahagian harta orang lain itu dengan jalan dosa, sedangkan kamu mengetahui”.
Maksudnya ialah untuk merampas harta orang lain tanpa hak yang sebenar, dan supaya keputusan penguasa memihak kepada kamu kerana suapan yang telah diberikan, sedangkan kamu mengetahui bahawa itu bukan hak kamu yang sah.
Barang siapa yang mengetahui bahawa sesuatu itu bukan haknya, namun keputusan hukum diberikan untuk menguntungkannya, maka dia tidak berhak mengambil harta tersebut, bahkan harta itu menjadi sepotong api neraka baginya.
Nabi ﷺ bersabda:
“Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia dan kalian membawa persengketaan kalian kepadaku; barangkali sebahagian daripada kalian lebih pandai mengemukakan hujahnya daripada yang lain. Maka aku memberikan keputusan sesuai dengan apa yang aku dengar daripada mereka. Kerana itu, sesiapa sahaja yang aku berikan keputusan baginya dengan sesuatu yang sebenarnya merupakan hak saudaranya, maka janganlah dia mengambilnya, kerana sebenarnya aku telah memberikan kepadanya sepotong (api) neraka.” (HR. Bukhari dan Muslim).
Sebagaimana yang ditunjukkan oleh ayat dan hadis tersebut, keputusan seorang hakim tidak mampu mengetahui perkara-perkara yang tersembunyi. Oleh itu, tidak halal bagi seseorang untuk mengambil manfaat daripada keputusan tersebut jika dia sendiri mengetahui bahawa harta itu sebenarnya bukan haknya yang sah.
Sumber: “At-Taisir fi Ushul at-Tafsir” – Syeikh ‘Atha’ bin Khalil
#Rasuah #HalalHaram #HartaHaram