Ilmu Fardhu Ain
Penulis : Ahmad al-Mahmud
Berkaitan dengan hukum syariah bagi seorang mukalaf, hukumnya adalah wajib bagi setiap Muslim yang baligh dan berakal untuk memahami agama (tafaqquh fid-dîn) dalam perkara-perkara yang mutlak diperlukan baginya dalam hidup. Ini kerana dia diperintahkan agar memastikan segala perbuatannya selari dengan perintah dan larangan Allah SWT. Dan tidak ada cara lain untuk mencapai perkara tersebut kecuali dengan mengetahui hukum-hukum syariah yang berkaitan dengan perbuatannya.
Oleh itu, memahami agama berkenaan hukum-hukum yang diperlukan oleh seorang Muslim dalam kehidupannya, hukumnya ialah fardhu ain, bukan fardhu kifayah. Sementara itu, sebarang ilmu yang melebihi tahap ini, maka hukumnya adalah mustahab (sunnah) baginya.
Maka, jika dia ingin menunaikan solat, adalah wajib baginya untuk mengetahui tata caranya. Jika hartanya telah mencapai nisab dan telah berlalu setahun (haul) sehingga dia wajib membayar zakat, maka dia wajib mengetahui apa yang perlu dibayar dan jumlahnya mengikut jenis dan jumlah harta yang dimilikinya. Jika kekayaannya terdiri daripada emas atau perak, dia wajib belajar cara membayarnya dan kepada siapa zakat itu perlu dibayar. Walau bagaimanapun, dia tidak berdosa jika dia tidak mengetahui hukum zakat yang berkaitan dengan buah-buahan atau ternakan. Meskipun demikian, jika dia mengetahuinya, dia akan meningkatkan amal solehnya dan akan mendapat pahala.
Begitu juga, jika seseorang berusaha untuk mendirikan negara Islam, maka dia wajib mempelajari mengenai segala-galanya yang diperlukan bagi menegakkan kembali negara tersebut. Oleh itu, setiap kewajipan yang berkaitan dengan tanggungjawabnya secara automatik memerlukan ilmu pengetahuan tentang kewajipan tersebut. Setelah seorang Muslim memenuhi kewajipan-kewajipan tersebut, dia akan merasakan ketenangan mengenai kebenaran imannya dan kelurusan komitmennya.
Jika niatnya suci murni dan ikhlas kerana RabbNya dan dia mendapat petunjuk untuk melakukan amal soleh, nescaya dia pasti akan mendapati Rabb Yang Maha Pemurah yang akan menerima amalannya serta menyelamatkannya pada Hari Kiamat dengan rahmatNya.
Sumber: “Ad-Da’wah ila al-Islam”