Cara Mengetahui Nasakh
طَرِيْقُ مَعْرِفَةِ النَّسْخِ
Oleh: Ustaz Yahya Abdurrahman
Mengetahui tentang nasakh, yakni mengetahui hukum yang di-nasakh dan yang me-nasakh sangat penting. Hal ini agar kita tidak salah mengamalkan hukum yang sebenarnya telah di-nasakh, yakni dicabut atau dibatalkan; atau sebaliknya, tidak mengamalkan hukum yang sebenarnya masih berlaku kerana tidak di-nasakh. Oleh sebab itu cara mengetahui nasakh menjadi sangat penting.
Tentang bagaimana mengetahui tentang nasakh, Imam Ibnu Qudamah (w. 621 H) di dalam Rawdh an-Nâzhir wa Jannah al-Munâzhir menyatakan, “Tentang bagaimana nasakh itu diketahui maka ketahuilah bahawa nasakh tidak diketahui dengan dalil akal dan tidak pula dengan al-qiyâs, tetapi hanya dengan dalil an-naql.”
Alasannya dijelaskan oleh Abdul Karim bin Ali bin Muhammad an-Nimlah di dalam Al-Muhadzdzab fî ‘Ilmi al-Ushûl al-Fiqhi al-Muqâran. Beliau menyatakan, “Tidak diketahui an-nâsikh daripada al-mansûkh melalui jalan akal dan tidak pula melalui jalan al-qiyâs. Hal itu kerana disebabkan oleh beberapa perkara:
Pertama, nasakh itu merupakan pembatalan hukum syarie atau penjelasan jangka waktu berakhirnya pengamalan suatu hukum. Kedua-duanya tidak boleh diketahui oleh dan tidak ada ruang bagi akal dalam hal itu.
Kedua, andai akal mempunyai jalan untuk mengetahui nasakh tanpa naqli, nescaya akal juga mempunyai jalan mengetahui tentang pembuktian hukum tanpa naqli. Sudah tentu tidak demikian.
Ketiga, nasakh tidak ada kecuali dengan fakta bahawa yang me-nasakh (an-nâsikh) harus hendaklah lebih akhir zamannya daripada yang di-nasakh (al-mansûkh). Dalam hal ini tidak ada ruang bagi akal dan tidak pula bagi al-qiyâs untuk mengetahui yang mana lebih dahulu dan yang lebih akhir itu.
Al-‘Allamah asy-Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani di dalam Asy-Syakhshiyyah al-Islâmiyyah Jilid 3 menjelaskan: Dalil yang me-nasakh hendaklah didasarkan pada hujjah syar’iyyah bahawa itu me-nasakh. Jika tidak maka tidak dinilai sebagai yang me-nasakh. Semata-mata kelihatan kontradiksi di antara dua dalil tidak bermakna bahawa yang satu me-nasakh yang lain. Hal ini kerana, keduanya kadang mungkin dikompromikan sehingga di situ tidak ada sebarang kontradiksi. Nasakh adalah pembatalan hukum dan pengabaian nas. Menghimpun (mengkompromikan) di antara dua dalil adalah lebih utama daripada nasakh dan pengabaian salah satunya. Ini kerana, pengabaian dan nasakh itu menyalahi hukum asal. Apa yang menyalahi hukum asal mesti ada buktinya. Jika tidak ada hujjah atas hal demikian maka tidak ada nilainya. Atas dasar itu, pembatalan hukum yang lebih dahulu itu bergantung pada adanya hujjah syar’iyyah yang menunjukkan bahawa hukum itu di-nasakh (mansûkh).
Para ulama ushul menyebutkan beberapa jalan atau cara untuk mengetahui nasakh. Secara garis besar jalan atau cara yang sahih dapat diklasifikasikan kepada tiga cara.
Al-‘Allamah asy-Syaikh Taqiyuddin an-Nabhani rahimahulLâh di dalam Asy-Syakhshiyyah al-Islâmiyyah Jilid 3 menyebutkan dua di antaranya. Beliau menyatakan bahawa hujjah yang menunjukkan nasakh ini:
Pertama, adakalanya berupa nas yang lebih kemudian menyatakan secara lafaz atau secara dalâlah bahawa ia me-nasakh nas yang lebih dahulu.
Kedua, kadangkala di antara dua nas itu ada kontradiksi yang tidak mungkin dikompromikan di antara keduanya, kemudian diketahui mana nas yang lebih dahulu dan mana yang lebih kemudian. Sudah tentu nas yang lebih kemudian me-nasakh nas yang lebih dahulu.
Dalam hal ini, Imam Abu Bakar al-Jashshash (w. 370 H) dalam Al-Fushûl fî al-Ushûl menyatakan, “Sesungguhnya banyak faktor untuk mengetahui nasakh. Di antaranya, dinyatakan oleh lafaz yang mengandung pengertian bahawa penyebutan nas yang me-nasakh (an-nâsikh) dan yang di-nasakh (al-mansûkh) sekaligus disertai penyebutan târîkh (waktu kemunculan) keduanya. Dengan itu tidak ada kekaburan bagi yang mendengar keduanya bahawa nas yang kedua me-nasakh nas yang pertama.
Jalan atau cara ketiga adalah al-ijmak. Hal itu sebagaimana dinyatakan oleh Imam Abu Bakar al-Jashshash (w. 370 H) dalam Al-Fushûl fî al-Ushûl, Imam al-Ghazali (w. 505 H) dalam Al-Mustashfâ, Imam Ibnu Qudamah (w. 621 H) dalam Rawdh an-Nâzhir wa Jannah al-Munâzhir, Imam al-Amidi (w. 630 H) dalam Al-Ihkâm fî Ushûl al-Ahkâm, dan lainnya.
Pertama: Nas menyatakan secara lafaz atau dalâlah atas nasakh. Secara lafaz yakni lafaz nas yang lebih kemudian secara literalnya menunjukkan bahawa ia me-nasakh hukum (nas) yang lebih dahulu. Contohnya adalah sabda Rasul SAW:
«نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ، فَزُورُوهَا، وَنَهَيْتُكُمْ عَنْ لُحُومِ الْأَضَاحِيِّ فَوْقَ ثَلَاثٍ، فَأَمْسِكُوا مَا بَدَا لَكُمْ، وَنَهَيْتُكُمْ عَنِ النَّبِيذِ إِلَّا فِي سِقَاءٍ، فَاشْرَبُوا فِي الْأَسْقِيَةِ كُلِّهَا، وَلَا تَشْرَبُوا مُسْكِرًا»
“Dahulu aku melarang kalian menziarahi kubur. Sekarang berziarahlah ke sana. Aku pernah melarang kalian memakan daging korban lebih daripada tiga hari. Sekarang simpanlah yang kalian perlukan. Aku pernah melarang kalian minum an-nabidz kecuali dalam bekas air yang diperbuat daripada kulit. Sekarang minumlah dalam semua jenis bekas (wadah) air, tetapi jangan kalian minum minuman yang memabukkan.” (HR Muslim no. 977 dan 1977, Ahmad no. 22958, an-Nasai no. 2032 dan Ibnu Hibban no. 5391).
Secara lafzhiyyah (lafaz) hadis ini jelas menyatakan bahawa ketiga hal itu dahulu dilarang oleh Rasul SAW, lalu di-nasakh dan dibenarkan.
Contoh lain tentang nikah mut’ah. Sabrah al-Juhaniy menuturkan, Rasul SAW bersabda:
«يَا أَيُّهَا النَّاسُ، إِنِّي قَدْ كُنْتُ أَذِنْتُ لَكُمْ فِي الِاسْتِمْتَاعِ مِنَ النِّسَاءِ، وَإِنَّ اللهَ قَدْ حَرَّمَ ذَلِكَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ، فَمَنْ كَانَ عِنْدَهُ مِنْهُنَّ شَيْءٌ فَلْيُخَلِّ سَبِيلَهُ، وَلَا تَأْخُذُوا مِمَّا آتَيْتُمُوهُنَّ شَيْئًا»
“Wahai manusia, sesungguhnya dahulu aku membenarkan kalian menikahi wanita secara mut’ah. Sesungguhnya Allah telah mengharamkan hal itu hingga Hari Kiamat. Oleh sebab itu siapa saja yang ada daripada kalangan wanita yang menjadi isterinya secara mut’ah, maka hendaklah dia lepaskan dan janganlah kalian mengambil sedikit pun apa yang telah kalian berikan kepada mereka.” (HR Muslim no. 1406 dan ad-Darimi no. 2241).
Hadis ini secara lafaz jelas menyatakan bahawa dahulu Rasulullah SAW membenarkan nikah mut’ah, kemudian ia dicabut (di-nasakh) dan nikah mut’ah diharamkan selamanya. Para ulama menyebutkan bahawa pengharaman nikah mut’ah selamanya itu terjadi pada Fathu Makkah.
Contoh lain, Qabishah bin Du’aib menuturkan:
« مَنْ شَرِبَ الْخَمْرَ فَاجْلِدُوهُ ثُمَّ إِذَا شَرِبَ فَاجْلِدُوهُ ثُمَّ إِذَا شَرِبَ فَاجْلِدُوهُ ثُمَّ إِذَا شَرِبَ فِى الرَّابِعَةِ فَاقْتُلُوهُ ». فَأُتِىَ بِرَجُلٍ قَدْ شَرِبَ الْخَمْرَ فَجَلَدَهُ ثُمَّ أُتِىَ بِهِ فَجَلَدَهُ ثُمَّ أُتِىَ بِهِ فَجَلَدَهُ ثُمَّ أُتِىَ بِهِ فِى الرَّابِعَةِ فَجَلَدَهُ فَرَفَعَ الْقَتْلَ عَنِ النَّاسِ وَكَانَتْ رُخْصَةً فَثَبَتَتْ
“Siapa saja yang meminum khamar maka cambuklah (sebatlah) dia. Jika dia mengulangi maka cambuklah dia. Jika dia meminum khamar lagi maka cambuklah dia. Jika dia meminum khamar lagi untuk keempat kalinya maka bunuhlah dia.” (Qabishah berkata), “Lalu didatangkan seorang lelaki yang telah minum khamar maka beliau mencambuknya. Dia didatangkan lagi (kerana minum khamar lagi, —baca.) dan beliau mencambuknya. Dia didatangkan lagi (kerana minum khamar lagi,—baca.) dan beliau mencambuknya. Dia didatangkan lagi (kerana minum khamar lagi,—baca.) untuk keempat kalinya dan beliau mencambuknya. Jadi beliau mencabut (me-nasakh) hukuman mati daripada orang-orang dan itu merupakan rukhshah.” (HR asy-Syafi’i, Musnad asy-Syâfi’î, no. 291; Abdu ar-Razaq no. 13549; Abu Dawud no. 4485; at-Tirmidzi no. 1444; al-Baihaqi di Sunan al-Kubrâ, no. 17505).
Lafaz hadis ini [ فَرَفَعَ الْقَتْلَ عَنِ النَّاسِ ] secara lafaz jelas menunjukkan bahawa hukuman mati itu di-nasakh.
Adapun nas yang menunjukkan nasakh secara dalâlah, bukan secara lafaz (lafzhiyah), yakni makna nas itu menunjukkan atas nasakh, yakni menunjukkan bahawa hukum (nas) yang lebih kemudian me-nasakh hukum (nas) yang lebih dahulu.
Contohnya firman Allah yang menunjukkan nasakh arah kiblat. Firman Allah SWT
۞سَيَقُولُ ٱلسُّفَهَآءُ مِنَ ٱلنَّاسِ مَا وَلَّىٰهُمۡ عَن قِبۡلَتِهِمُ ٱلَّتِي كَانُواْ عَلَيۡهَاۚ ١٤٢
“Orang-orang yang kurang berakal di antara manusia akan berkata, “Apakah yang memalingkan mereka (umat Islam) dari kiblat (Baitul Maqdis) yang dahulu mereka menghadap kepadanya?” (TMQ al-Baqarah [2]: 142).
Lalu firman Allah SWT:
قَدۡ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجۡهِكَ فِي ٱلسَّمَآءِۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبۡلَةٗ تَرۡضَىٰهَاۚ فَوَلِّ وَجۡهَكَ شَطۡرَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِۚ وَحَيۡثُ مَا كُنتُمۡ فَوَلُّواْ وُجُوهَكُمۡ شَطۡرَهُۥۗ ١٤٤
“Kami melihat wajahmu (Muhammad) sering mendongak ke langit, maka akan Kami palingkan engkau ke kiblat yang engkau senangi. Maka hadapkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram. Dan di mana saja engkau berada, hadapkanlah wajahmu ke arah itu.” (TMQ al-Baqarah [2]: 144).
Dua ayat ini secara dalâlah menunjukkan bahawa sebelum diperintahkan menghadap kiblat ke Masjid al-Haram, sudah ada kiblat sebelumnya, yang dalam banyak hadis iaitu ke arah Baitul Maqdis. Ayat 144 menunjukkan perintah untuk mengalihkan arah kiblat ke Masjidil Haram dari kiblat sebelumnya. Ini menunjukkan nasakh.
Contoh lainnya, firman Allah SWT:
أُحِلَّ لَكُمۡ لَيۡلَةَ ٱلصِّيَامِ ٱلرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَآئِكُمۡۚ هُنَّ لِبَاسٞ لَّكُمۡ وَأَنتُمۡ لِبَاسٞ لَّهُنَّۗ عَلِمَ ٱللَّهُ أَنَّكُمۡ كُنتُمۡ تَخۡتَانُونَ أَنفُسَكُمۡ فَتَابَ عَلَيۡكُمۡ وَعَفَا عَنكُمۡۖ فَٱلَٰۡٔنَ بَٰشِرُوهُنَّ وَٱبۡتَغُواْ مَا كَتَبَ ٱللَّهُ لَكُمۡۚ وَكُلُواْ وَٱشۡرَبُواْ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ ٱلۡخَيۡطُ ٱلۡأَبۡيَضُ مِنَ ٱلۡخَيۡطِ ٱلۡأَسۡوَدِ مِنَ ٱلۡفَجۡرِۖ ١٨٧
“Dihalalkan bagimu pada malam hari bulan puasa (Ramadhan) menggauli isterimu. Mereka adalah pakaian bagimu. Dan kamu adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawa kamu mengkhianati diri kamu sendiri (dengan melakukan persetubuhan di malam-malam hari bulan puasa sedangkan ianya dilarang bagi kamu), Tetapi Dia menerima taubatmu dan memaafkanmu. Maka sekarang gaulilah mereka dan carilah apa yang telah Allah tetapkan bagimu. Makan dan minumlah sehingga jelas bagimu (perbezaan) diantara benang putih dan benang hitam, iaitu fajar.” (TMQ al-Baqarah [2]: 187).
Lafaz [ فَتَابَ عَلَيْكُمْ وَعَفَا عَنكُمْ فَالْآنَ بَاشِرُوهُنَّ ] secara dalâlah menunjukkan bahawa hal itu, yakni makan, minum dan berhubungan suami-isteri pada malam Ramadhan sebelumnya dilarang, lalu dalam ayat ini, ia dibenarkan sehingga fajar. Riwayat al-Bara‘ bin ‘Azib dan Muadz bin Jabal menyatakan bahawa dahulu makan, minum dan berhubungan suami-isteri pada malam Ramadhan dilarang jika orang telah tidur.
Demikianlah nas yang menyatakan atau menunjukkan secara lafaz atau secara dalâlah atas nasakh.
WalLâh a’lam wa ahkam.
#nasakh #hukumsyarak