[Siri Ayuh Umat Bangkit] Kaedah Rasulullah SAW Dalam Mengubah Masyarakat (Bahagian 2/4)
Berikut merupakan perincian bagi setiap fasa tersebut.
Fasa Pertama: Fasa Pembinaan
Fasa ini berlangsung selama tiga tahun. Dalam tempoh ini, Rasulullah SAW menanamkan akidah Islam secara mendalam dalam diri para sahabat RA. Baginda mengukuhkan keimanan mereka melalui pelbagai dalil dan bukti yang dapat difahami oleh akal serta bersifat pasti. Selain itu, Baginda mengajarkan hukum-hukum Islam kepada mereka dan membina keperibadian mereka dengan tsaqafah Islam, di samping mengemukakan pelbagai dalil serta bukti tentang kerosakan akidah, pemahaman dan peraturan masyarakat jahiliah.
Baginda juga mendorong mereka untuk sentiasa berzikir kepada Allah SWT dan berfikir tentang kejadian alam semesta bagi meningkatkan keyakinan serta ketaatan kepada Allah. Suasana kerohanian dalam diri mereka diperkukuhkan melalui pelaksanaan solat, pembacaan al-Quran dan tahajud. Pada masa yang sama, Baginda menyingkirkan sepenuhnya perasaan jahiliah daripada pemikiran mereka, seperti sikap membela atas dasar jahiliah dan fanatisme kesukuan, serta menggantikannya dengan pemahaman Islam yang benar dalam diri mereka.
Rasulullah SAW mengembalikan kesetiaan mereka kepada Allah, Rasul dan kaum mukminin, serta mengharamkan mereka daripada memberikan kesetiaan kepada syaitan dan para pengikutnya, walaupun mereka terdiri daripada ahli keluarga sendiri.
Baginda juga menanamkan dalam diri mereka tujuan yang jelas untuk menegakkan kebenaran dan menghancurkan kebatilan, sehingga mereka mencapai suatu tahap di mana mereka tidak lagi mempertahankan kebatilan sebagai ideologi dalam diri mereka. Akidah Islam bergelora dalam jiwa mereka, pemahaman yang benar memenuhi pemikiran mereka, dan mereka menyedari realiti kerosakan yang berlaku dalam masyarakat jahiliah, termasuk persepsi yang rosak terhadap kepuasan hidup, adat resam, kepercayaan dan peraturan yang keji dan buruk. Mereka juga menyaksikan pelbagai bentuk kezaliman dan kerosakan seperti penindasan golongan lemah, penguburan bayi perempuan hidup-hidup, penipuan dalam timbangan, pembunuhan manusia melalui riba, serta peperangan yang tercetus akibat fanatisme jahiliah.
Kesedaran terhadap realiti tersebut mendorong mereka untuk berhadapan dengannya serta berusaha memperbetulkannya.
Rasulullah SAW tetap berjalan dalam fasa ini sehingga Baginda berjaya membentuk sebuah kutlah yang terdiri daripada para sahabat yang telah matang dalam tsaqafah Islam. Hasilnya, terbentuk dalam diri mereka aqliyah Islamiyah (pola pemikiran Islam) dan nafsiyah Islamiyah (pola jiwa Islam). Dengan itu, Baginda berasa tenang kerana telah berjaya melahirkan sekumpulan individu yang memiliki keperibadian Islam yang matang, sentiasa berhubung dengan Allah SWT, serta tidak lagi terikat dengan nilai-nilai masyarakat jahiliah. Baginda juga yakin bahawa kutlah tersebut telah bersedia untuk menjelaskan dakwah serta berhadapan dengan masyarakat yang masih dipenuhi unsur kejahiliahan.
Sumber: Diolah daripada `Dasar-Dasar Kebangkitan’ oleh Sheikh Ahmad Al-Qashash
#AyuhUmatBangkit #MasyarakatMuslimIdeal #ThariqahDakwahRasul #TrueVision4Change #VisiSejatiDemiPerubahan #SistemIslam #Khilafah