Kembimbangan terhadap isu pendidikan kanak-kanak disuarakan oleh pelbagai pihak baik ibu bapa, penjaga mahupun guru-guru. Pendidikan kanak-kanak dilihat terancam bila mana sekolah ditutup untuk tempoh masa yang lama dan kaedah pembelajaran berubah secara mendadak. Antara kesan yang dihadapi oleh kanak-kanak adalah masalah penurunan pencapaian dalam pendidikan, dan keciciran pelajaran. Misalnya, kanak-kanak awal usia mengalami dilema masalah pendidikan asas 3M (membaca, mengira, menulis). Asas 3M dalam pendidikan prasekolah yang merupakan proses penting dalam pembelajaran ini terjejas bilamana metod dan tempoh pembelajaran berkesan terhenti bila sekolah ditutup. Tanpa bimbingan dan sokongan yang sepatutnya sepanjang tempoh lockdown’ dilaksanakan, kanak-kanak akan cenderung hilang fokus dan tidak mendapat pelajaran yang sewajarnya. Bimbingan dan sokongan ini bukanlah sekadar dari aspek pendidik berkelayakan, bahkan melibatkan alat bantu mengajar yang bersesuaian.
Cabaran menjadi lebih parah apabila wujud jurang perbezaan pendidikan yang ketara mengikut kawasan akibat perubahan norma baru ke arah digitalisasi dunia pendidikan. Hal ini berikutan wujudnya masalah ketidaksamaan pendidikan. Misalnya di Malaysia, peralihan kepada sistem pendidikan digital mewujudkan dasar PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah) bagi mengelakkan terbantutnya sistem pendidikan. Walau bagaimanapun, akses yang tidak sama rata kepada pendidikan dan hasil yang tidak sama rata untuk pelajar yang terjadi disebabkan oleh beberapa faktor sosio-ekonomi yang kebanyakannya sudah lama wujud sebelum COVID-19 lagi. Justeru, perubahan berkaitan pandemik di sekolah menjejaskan semua kanak-kanak, terutamanya populasi pelajar yang kurang bernasib baik.
Menurut Hazhari Ismail, seorang pensyarah daripada Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris: “Menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) jumlah keciciran pelajar sedia akan meningkat enam kali ganda jika tiada langkah pencegahan diambil sekali gus meningkatkan jurang sistem sosio ekonomi negara. Melihat daripada hasil kajian #untukMalaysia, 79.5 peratus atau lapan daripada 10 kanak-kanak yang dikenal pasti sebagai mereka yang tercicir adalah golongan B40. Jurang ekonomi yang tinggi, menyebabkan peluang mereka kepada akses pendidikan dipinggirkan. Inilah gangguan pembelajaran atau ‘interrupted learning’ yang dicanangkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai kesan yang merugikan kepada negara”. (Berita Harian, 2021)
Seterusnya Dr Maszlee Malik dipetik dalam pendapat beliau menerusi Sinar Harian berkata: “Di Malaysia pula, menurut kajian KPM yang telah dijalankan pada 18 April 2020, data menunjukkan bahawa 36.9% murid-murid tidak mempunyai peranti langsung, sekaligus menyukarkan mereka untuk mengikuti kelas dalam talian. Jumlah ini bersamaan dengan 1.85 juta murid-murid di seluruh negara. Manakala 90% pula murid-murid tidak mempunyai peranti peribadi, untuk mereka gunakan sendiri. Mereka sama ada berkongsi menggunakan peranti milik ibu bapa ataupun berkongsi dengan adik-beradik yang lain secara bergilir”. (Sinar Harian, 2021)
Berdasarkan realiti di atas dapat kita lihat relatif antara metod pembelajaran dan perubahan dasar pendidikan negara sangat mempengaruhi pendidikan kanak-kanak, termasuklah dalam era pendidikan digital. Masalah peranti dan capaian (akses) internet yang rendah serta kelajuan internet yang lemah telah menjadi masalah utama yang menghambat komitmen sebahagian dari anak-anak ini kepada sesi pembelajaran sepanjang PdPR dijalankan. Bukan sahaja kanak-kanak, malah tenaga pengajar sendiri terkesan dalam melaksanakan sesi pembelajaran terbaik kepada anak murid.
Sumber:
(1) https://www.msn.com/en-my/news/berita/covid-19-antara-punca-utama-kemahiran-3m-murid-terjejas/ar-BB1emKaxca
(2) https://www.sinarharian.com.my/article/149178/KHAS/Pendapat/PdPR-Perlu-alternatif-baharu