[KEMPEN KELUARGA SEJAHTERA] KEBANGKITAN GENERASI MENDEPANI CABARAN COVID-19
Menurut laporan ini, hampir separuh daripada 1000 penerima bantuan masih belum menerima bantuan. Di manakah silapnya? Adakah disebabkan permasalan dari segi sistem pengurusan saluran bantuan itu sendiri? Atau pihak penerima bantuan gagal mengakses info terkait bantuan atau menghadapi masalah untuk membuat permohonan bantuan?
Jadilah pemimpin yang bersegera dalam mengurus hal ehwal kebajikan umat serta mempermudahkan urusan mereka seperti Khalifah Umar Al-Khattab. Beliau keluar di tengah malam memerhati keadaan rakyatnya. Bahkan dalam satu peristiwa yang masyhur, Khalifah Umar Al-Khattab sendiri menyantuni rakyatnya. Tatkala mengetahui ada seorang balu memasak batu bagi meredakan tangisan anaknya yang kelaparan akibat ketiadaan makanan, beliau sendiri datang dengan memikul gandum dan membawanya kepada mereka. Bahkan dikatakan beliau turut memasak kepada mereka.
Pengajaran yang dapat dipelajari dari kisah Khalifah Umar Al-Khattab ini adalah tanggungjawab mencari, mengenalpasti rakyat yang kesusahan dan memerlukan bantuan adalah tanggungjawab pemimpin. Bahkan para pemimpin perlulah bertindak segera mengurus kebajikan rakyatnya, jangan sampai mereka terzalimi akibat kecuaian atau ketidakcekapan sang pemimpin. Apatah lagi melibatkan urusan anak yatim, dan golongan miskin.
Para pemimpin ummah ini sepatutnya memiliki rasa takut akan murka Allah bila mengabaikan kebajikan rakyat sebagaimana yang dirasai Khalifah Umar. Ketakwaan beliau sampai membuatkan beliau sendiri memikul gandum dan tidak mahu ia dilakukan oleh pembantunya kerana khuatir seksaan Allah di akhirat kelak atas kelalaian dalam tanggungjawab sebagai pemimpin. Demikianlah sosok pemimpin berjiwa rakyat yang sebenar. Bukan sekadar merangka polisi, dan hebat berbicara, tapi sangat benar dalam bertindak. Menjadi pemimpin yang menegakkan syariat Allah sebagai asas negara dan memerintah dengan penuh ketakwaan.