Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Pemikiran sering dikaitkan dengan orang yang menyebarkan dan mengamalkannya sehingga dinyatakan seperti “pemikiran Eropah” atau “pemikiran Rusia”. Kadangkala ia juga dikaitkan dengan pengasas pemikiran tersebut, contohnya “pemikiran Marxis”, “pemikiran Plato” dan “pemikiran Hegel”.
Sesuatu pemikiran itu juga selalunya berlandaskan kepada kaedah dasar (al-qa’idah al-asasiyyah) yang menjadi landasan berfikir sehingga dinyatakan seperti “pemikiran Islam”. Disebut seperti itu kerana kaedah dasar yang membina pemikiran ini adalah aqidah Islam.
Aqidah Islam bukan berasal dari orang Arab ataupun dari manusia lainnya. Aqidah Islam datangnya dari Allah SWT. Dialah yang telah memberi nama untuk ideologi (mabda’) dan agama ini dengan nama Islam. Allah SWT berfirman,
اِنَّ الدِّيْنَ عِنْدَ اللّٰهِ الْاِسْلَامُ
“Sesungguhnya agama yang diredhai di sisi Allah hanyalah Islam.” [TMQ Ali Imran (3): 19]
Pemikiran Islam sama ada dipetik dari orang Arab atau dari selain orang Arab, masih saja dipandang sebagai pemikiran Islam. Oleh itu, tidak ada perbezaan antara pemikiran yang dipetik daripada Imam Syafie, Imam Bukhari, Muhammad Asad an-Namsawi ataupun Abul A’la al-Maududi. Kesemuanya adalah pemikiran Islam walaupun terdapat kepelbagaian kaum atau bahasa pada individu yang berijtihad atau yang menukilnya.
Namun, pemikiran orang Arab sebelum kedatangan Islam, bukanlah pemikiran Islam. Oleh itu, “pemikiran Islam” merupakan sebuah sebutan pemikiran dengan sebutan yang sempurna tanpa ada penambahan ataupun pengurangan. Justeru, semua pemikiran yang bersumberkan Islam dinamakan “pemikiran Islam”.
Saya berkata demikian kerana saya telah melihat hubungan yang kuat antara orang Arab dan Islam serta antara Bahasa Arab dan Islam. Allah SWT telah berfirman,
هُوَ الَّذِيْ بَعَثَ فِى الْاُمِّيّٖنَ رَسُوْلًا مِّنْهُمْ
“Dialah yang telah mengutus kepada kaum yang ummi (buta huruf) seorang rasul di antara mereka.” [TMQ Al-Jumu‘ah (62): 2]
Mengenai Al-Quran, Allah SWT telah berfirman,
وَّهٰذَا لِسَانٌ عَرَبِيٌّ مُّبِيْنٌ
“Ini (al-Quran) adalah dalam bahasa Arab yang terang.” [TMQ An-Nahl (16): 103]
فَاِنَّمَا يَسَّرْنٰهُ بِلِسَانِكَ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُوْنَ
“Sesungguhnya Kami telah memudahkan Al-Quran itu dengan bahasamu (Muhammad) agar mereka mendapatkan pelajaran.” [TMQ Ad-Dukhan (44): 58]
Saya sedar bahawa nas-nas Al-Quran dan Sunnah adalah mustahil untuk difahami dengan kefahaman yang benar dan mendalam, kecuali dalam Bahasa Arab dan mustahil juga untuk berijtihad iaitu mengeluarkan (istinbath) hukum-hukum syariat kecuali dalam bahasa Arab. Atas dasar inilah potensi Arab (orang Arab dan bahasanya) dan Islam adalah seperti kembar yang tidak dapat dipisahkan. Apabila potensi Arab dipisahkan dari Islam, Daulah Islamiyah menjadi lemah dan runtuh.
Definisi Pemikiran Islam
Pemikiran Islam terbahagi kepada dua. Pertama, pemikiran yang berkaitan dengan aqidah seperti keimanan kepada Allah, Rasul, kitab dan hari akhirat. Kedua, pemikiran yang berkaitan dengan hukum syarak yang bersifat praktikal seperti jihad dan solat.
Definisi yang betul mesti memenuhi dua perkara, “menyeluruh” (jami’an) serta “mencegah” (mani’an). Yang dimaksudkan dengan menyeluruh (jami’an) ialah meliputi seluruh bahagian dan sifat sesuatu yang didefinisikan. Dan yang dimaksudkan dengan mencegah (mani’an) ialah mencegah masuknya makna asing ke dalam sesuatu yang didefinisikan.
Berdasarkan alasan di atas, saya mendefinisikan pemikiran Islam sebagai upaya menilai fakta dari sudut pandang Islam. Maka, pemikiran Islam mengandungi tiga perkara iaitu:
- Fakta (al-wâqi‘);
- Hukum (justifikasi);
- Keterkaitan fakta dengan hukum.
Fakta boleh menjadi benda ataupun perbuatan. Fakta yang berupa benda hanya mempunyai dua jenis hukumnya iaitu mubah (halal) dan haram. Contoh buah anggur, hukumnya mubah tetapi khamar hukumnya haram.
Dalam konteks benda ini, terdapat peraturan syariat yang diambil dari nas-nas Al-Quran dan hadis, “Hukum asal setiap benda adalah mubah, kecuali ada dalil yang mengharamkannya.”
Sedangkan jika hakikatnya perbuatan, maka hukumnya ada lima iaitu fardu (wajib), mandub (sunah), mubah, makruh dan haram. Sebagai contoh, puasa Ramadhan hukumnya wajib, sedekah hukumnya sunah (mandub), makan roti mubah, bercakap di dalam tandas adalah makruh dan riba itu haram.
Hukum syarak yang disandarkan kepada perbuatan itu ialah “Hukum asal setiap perbuatan adalah terikat (dengan hukum syarak).”
Hukum fakta hendaklah diambil dari dalil-dalil syarak iaitu Al-Quran dan Sunnah dan apa-apa yang ditunjukkan oleh Al-Quran dan Sunnah iaitu Ijmak Sahabat dan Qiyas.