Pakaiannya compang-camping, lusuh, kusam. Dia berjalan dengan bantuan tongkat dan berpura-pura lemah. Rambut dan janggutnya dijadikan tidak terurus. Dengan pandangan yang meyakinkan, tiada siapa yang akan tahu bahawa dia adalah pengemis palsu. Benar, tidak ada seorang pun warga setempat yang mengetahui identiti asalnya. Dia merupakan seorang ulama dari Andalusia (sekarang ini Sepanyol dan negara sekitar), Imam Baqi bin Mikhlad.
Saat itu dia ingin sekali belajar dengan salah seorang imam yang empat,iaitu Imam Ahmad. Dia pun berangkat dari Eropah, menyeberangi Laut Tengah menuju Afrika, kemudian melanjutkan perjalanan panjang ke Baghdad, Irak, tempat tinggal Imam Ahmad. Tanpa kenderaan, Baqi yang saat itu masih berstatus penuntut ilmu menempuh perjalanan panjang dengan berjalan kaki. Hanya satu tujuannya, berguru dengan sang imam.
Namun, Baqi mendengar khabar mengejutkan apabila tiba di Baghdad. Khalifah yang berkuasa saat itu jauh dari jalan Islam yang hanif. Imam Ahmad yang lantang menyerukan kebenaran pun memberi reaksi menasihati khalifah. Namun, sang imam yang sangat mengagungkan Al-Quran dan as-Sunnah sebaliknya difitnah dan dipulaukan.
Beliau juga dilarang mengajar ataupun mengumpulkan para penuntut ilmu. Imam Ahmad dianggap bertentangan dengan fahaman khilafah. Sayu hati Baqi mendengar keadaan Imam Ahmad, guru yang diharapkannya akan memberinya satu ayat ilmu.
Tidak Lelah Mencari sang Guru
Walaupun demikian, Baqi tetap mencari rumah Imam Ahmad. Tekadnya untuk berguru telah tersesat. Dia pun melangkahkan kaki ke rumah sang imam. Saat mengetuk pintu, ternyata Imam Ahmadlah yang membukakan pintu. “Wahai Abu Abdullah, saya seorang yang datang dari jauh, pencari hadis dan penulis sunnah. Saya datang ke sini pun untuk melakukan aktiviti tersebut,” ujar Baqi dengan penuh semangat.
“Anda dari mana?” tanya Imam Ahmad. “Dari Maghrib al-Aqsa,” jawab Baqi. Imam Ahmad pun meneka, “Dari Afrika?”
“Lebih jauh dari Afrika. Untuk menuju Afrika saya melalui laut dari negeri saya,” jawab Baqi.
Imam pun terkejut mendengarnya, “Negeri asalmu begitu jauh. Aku sangat senang jika dapat memenuhi keinginanmu dan mengajar apa yang kamu inginkan. Akan tetapi, saat ini saya sedang difitnah dan dilarang mengajar,” jawab Imam Ahmad.
Keteguhan Menuntut Ilmu
Tidak putus asa mendengarnya, keinginan Baqi untuk berguru dengan Imam Ahmad tidak mampu dibendung. Dia pun menawarkan diri berpura-pura menjadi pengemis. “Saya tahu Anda sedang difitnah dan dilarang mengajar wahai Abu Abdillah, akan tetapi tidak ada yang mengenali saya di sini, saya sangat asing di tempat ini. Jika anda mengizinkan, saya akan mendatangi rumah anda setiap hari dengan mengenakan pakaian pengemis. Saya akan berpura-pura meminta sedekah dan bantuan anda setiap hari. Maka Wahai Abu Abdillah, bawa saya masuk ke dalam rumah dan ajar saya walaupun hanya satu hadis,” rayu Baqi dengan penuh semangat.
Melihat tekadnya yang begitu bulat dan amat giat menuntut ilmu, Imam Ahmad pun menyanggupi. Namun, beliau meminta syarat agar Baqi tidak mendatangi tempat kajian hadis ulama selain Imam Ahmad. Hal tersebut dimaksudkan agar Baqi tidak dikenali sebagai penuntut ilmu. Statusnya sebagai penuntut ilmu dirahsiakan buat sementara.
Mendengar kesanggupan sang Imam, Baqi pun merasa bahagia. Dia segera menyanggupi syarat itu. Hati Baqi saat itu benar-benar dipenuhi bunga-bunga mekar nan indah. Keesokan hari, Baqi pun mulai ‘beraksi’. Dia mengambil sebuah tongkat, membalut kepala dengan kain, dan kelihatan seperti pengemis lain. Sementara itu, sebuah buku dan alat tulis berada di sebalik baju samarannya itu.
Ketika berada di depan pintu rumah Imam Ahmad, Baqi dengan nada sayu akan berkata, “Bersedekahlah kepada orang miskin agar mendapat balasan pahala dari Allah,” ujarnya. Jika mendengarnya, Imam Ahmad segera membukakan pintu dan memasukkan Baqi ke dalam rumahnya. Di dalam rumah, dimulailah proses pengajaran ilmu yang amat diberkahi Allah itu. Begitulah aktiviti tersebut dilakukan setiap hari oleh Baqi dan sang guru. Dari proses belajar diam-diam itu, Baqi mampu mengumpulkan 300 hadis dari Imam Ahmad.
Hingga kemudian jabatan kekhalifahan berganti. Seorang Sunni yang fakih beragama, al-Mutawakkil, naik menjawat jawatan sebagai khalifah. Imam Ahmad pun kembali menjadi ulama muslimin. Kajiannya dibuka, para penuntut ilmu berbondong-bondong datang.
Sejak itu, kedudukan Imam Ahmad makin tinggi dan terkenal. Jumlah muridnya sangat banyak. Jika dia membuka majlis kemudian melihat Baqi, maka Imam Ahmad segera memanggil Baqi dengan gembira. Imam Ahmad akan meminta Baqi untuk duduk di samping beliau. “Inilah orang yang benar-benar menyandang gelaran penuntut ilmu,” ujar Imam Ahmad kepada para muridnya. Sang Imam pun mengisahkan pengalaman Baqi yang menyamar menjadi pengemis demi mendengar satu hadis. Baqi pun kemudian menjadi murid yang rapat dengan Imam Ahmad. Dia kemudiannya menjadi seorang ulama terkenal dari kawasan Andalusia.
Kisah tersebut adalah benar-benar terjadi dan tercatat dalam biografi Imam Baqi bin Mikhlad al-Andalusi. Dari kisah tersebut, nampak jelas kegigihan beliau dalam menuntut ilmu. Kegigihan inilah yang patut diteladani kaum muslimin, terutama para pemuda. Apatah lagi menuntut ilmu dalam Islam itu hukumnya wajib. Rasulullah juga pernah bersabda, “Barang siapa berjalan dalam rangka menuntut ilmu maka akan dimudahkan jalannya menuju syurga.” (HR Muslim).
Sumber: https://www.muslimahnews.com/2021/11/05/imam-baqi-bin-mikhlad-berpura-pura-jadi-pengemis-demi-mendapat-riwayat-hadis/