Allah SWT berfirman,
“Dan berikan kepada keluarga-keluarga terdekat akan haknya, kepada orang miskin dan orang yang berada dalam perjalanan, dan janganlah kamu menghambur-hamburkan harta-hartamu secara boros. Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan.” [TMQ Al Isra’(17): 26—27]
Dan firman Allah,
“Wahai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah setiap kali (memasuki) masjid, makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang berlebih-lebihan. Katakanlah, “Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan siapa pulakah yang mengharamkan rezeki yang baik?” [TMQ Al A’raf(7): 31—32]
“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil, dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah sederhana di antara kedua cara (boros dan bakhil) itu.” [TMQ Al-Furqan(25): 67]
Sebahagian orang menjadikan ayat-ayat di atas sebagai dalil untuk mengharamkan infak dalam kuantiti yang banyak walaupun untuk perkara-perkara yang mubah. Mereka menyatakan bahawa israf (berlebih-lebihan) dan tabzir (menghambur-hambur) dalam semua perkara hukumnya haram. Sehingga apabila seseorang berwuduk dengan air yang berlebihan adalah perbuatan yang haram, kerana ada larangannya.
Kekeliruan pendapat ini telah membawa kepada pengharaman perkara-perkara yang halal kerana tidak dapat membezakan antara perkataan israf dan tabzir mengikut makna bahasa dan makna syarak. Perlu diketahui bahawa dua perkataan, iaitu israf dan tabzir mempunyai makna bahasa dan syarak.
Makna kata saraf dan israf mengikut makna bahasa adalah melampaui batas serta i’tidal, lawan kata qasdu. Sedangkan kata tabzir digunakan dalam kalimat: Bazara Al Mal Tabziran (Menghambur-hamburkan harta), satu akar kata maknanya dengan israfan dan bazratan. Kedua-duanya, kata israf dan tabzir mengikut makna syarak bermaksud menafkahkan harta untuk perkara-perkara yang dilarang oleh Allah. Sedangkan untuk perkara-perkara yang diperintahkan, sama ada sedikit atau banyak, ia tidak termasuk dalam israf dan bukan tabzir. Setiap bentuk nafkah (perbelanjaan) untuk perkara-perkara yang dilarang oleh Allah, sama ada sedikit atau banyak adalah israf dan tabzir (menurut makna syarak).
Imam Az-Zuhri meriwayatkan bahawa ketika beliau menyatakan firman Allah,
“Dan janganlah kamu menjadikan tanganmu terbelenggu di atas lehermu, dan janganlah membukanya lebar-lebar.” [TMQ Al Isra’(17): 29]
Beliau mengulas,
“Janganlah kamu menghalangi tanganmu dari melakukan kebaikan, serta jangan gunakan tanganmu untuk memberikan nafkah untuk kebatilan.”
Kata israf termaktub dalam al-Quran,
“Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta) mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak (pula) kikir, dan adalah (perbelanjaan) itu di tengah-tengah antara yang demikian.” [TMQ Al Furqan(25): 6—7]
Israf yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah semata-mata menafkahkan harta untuk kemaksiatan. Sementara untuk mendekatkan diri kepada Allah, ia tidak digolongkan israf. Ayat tersebut bermaksud, “Janganlah kamu menafkahkan harta-harta kamu untuk kemaksiatan, dan janganlah kamu bakhil terhadap sesuatu yang mubah. Bahkan nafkahkanlah harta tersebut dalam perkara mubah, iaitu ketaatan sebanyak-banyaknya.”
Maka, menafkahkan (harta) untuk selain perkara yang mubah adalah perbuatan yang tercela, dan bakhil (kikir) dalam perkara yang mubah juga tercela. Perbuatan yang terpuji adalah memberikan nafkah untuk perkara yang mubah dan ketaatan. Allah berfirman,
“Dan janganlah kamu berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” [TMQ Al-An’am(6): 141]
Dalam ayat ini Allah mencela perbuatan israf, iaitu infak untuk kemaksiatan. Kata israf dalam ayat-ayat tersebut bermaksud infak (memberikan harta) untuk perkara-perkara maksiat. Perkataan israf dan musrifin disebutkan dalam al-Quran dengan banyak makna. Namun, apabila perkataan israf disebut bersama dengan perkataan infak, maknanya adalah memberikan harta untuk perbuatan maksiat. Al-Quran menyatakan perkataan musrifin dengan makna mu’ridhin ‘an zikrillah (melalaikan zikir kepada Allah). Allah berfirman,
“Begitulah orang-orang yang lalai (kepada Allah) itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan.” [TMQ Yunus (10): 12]
Kata musrifin kadang-kadang bermaksud orang yang keburukannya melebihi kebaikannya. Allah berfirman,
وَاَنَّ الْمُسْرِفِيْنَ هُمْ اَصْحٰبُ النَّارِ
“Dan sesungguhnya orang-orang yang melampaui batas, mereka itulah penghuni neraka.” [TMQ Al-Ghaafir(40): 43]
Perkataan musrifin juga dimaknakan dengan mufsidin (yang membuat kerosakan), sebagaimana firman Allah,
“Dan janganlah kamu perintah orang-orang yang melampaui batas. Iaitu orang-orang yang melakukan kerosakan di bumi dan tidak membuat kebaikan”. [TMQ Asy-Syu’ara(26): 151 -152]
Jadi kata israf dan musrifin mempunyai beberapa makna syarak. Oleh kerana itu, tafsiran mengikut makna bahasa tidak dibenarkan. Malah, ia sepatutnya hanya terhad kepada makna syarak sahaja. Dengan meneliti perkataan musrifin, israf, mubazirin dan tabzir dalam al-Quran yang ada semata-mata hanya satu makna, iaitu menafkahkan harta dalam perkara yang haram.
Israf dalam amalan berwudhu’ bermakna melebihi tiga kali (siraman air), kerana ini telah melebihi apa yang diperintahkan oleh syarak. Amalan ini jelas-jelas digolongkan sebagai israf, maka maknanya bukan israf (berlebih-lebihan) dalam penggunaan air. Seperti halnya menjadikan solat sunat subuh lebih dari dua rakaat, padahal sunatnya dua rakaat. Sama halnya menjadikan bacaan tasbih sebanyak tiga puluh lima kali, padahal sunatnya tiga puluh tiga kali.
Berdasarkan hal ini, sebenarnya seorang muslim boleh sahaja menafkahkan hartanya untuk perkara yang mubah dan ketaatan sesuka hatinya, tanpa apa jua syarat yang mengikat. Sama ada kerana dia memerlukannya, atau kerana ia hanya pemberian, semuanya adalah mubah. Dan tidak dianggap israf. Penyataan bahawa ia digolongkan sebagai israf yang diharamkan adalah tidak benar, kerana ia bermaksud mengharamkan sesuatu yang dimubahkan. Sedangkan menyatakan sesuatu yang tidak dinyatakan oleh syarak termasuk berdusta atas nama Allah.
Ayat-ayat yang menyatakan tentang israf dan tabzir amat jelas. Bahawa kesemuanya mempunyai makna membelanjakan harta untuk perbuatan (perkara) yang haram. Padahal, di samping itu, Allah juga tidak mengharamkan idha’atul mal (melenyapkan harta kekayaan) tanpa sebab. Lalu bagaimana mungkin infak dalam kuantiti yang banyak untuk perkara yang tergolong mubah diharamkan?
Rasulullah SAW bersabda,
“Kamu diharamkan menderhakai ibu-ibu kamu, menguburkan anak-anak perempuanmu hidup-hidup, dan dilarang menghimpit (di tanah), serta makruh bagi kamu berkata ‘begini’ dan ‘begitu’ serta banyak bertanya dan melenyapkan harta.”
Idha’atul mal adalah makruh dan bukan haram. Makruh di sini bermaksud, tiada dosa di hadapan. Di samping itu, makna perkataan israf mengikut makna bahasa adalah melampaui batas. Jadi, apabila seseorang ingin menafsirkan ayat-ayat tersebut dengan makna demikian, soalannya adalah apa batasannya sehingga hal itu dianggap melampaui batas? Adakah mengikut batas keperluan hidup penduduk Yaman, atau penduduk Syam, atau orang fakir, atau orang kaya atau orang yang sederhana hidupnya?
Jadi, melampaui batas mesti mempunyai batasan tertentu. Sedangkan yang boleh menentukan batasan tersebut adalah syarak, bukan akal, adat, kebiasaan, serta bukan kesederhanaan yang menjadi standard hidup. Syarak sebenarnya telah menjelaskan bahawa batasannya adalah sesuatu yang dihalalkan oleh Allah. Maka, disebut melampaui batas jika dia melakukan sesuatu yang tidak dihalalkan oleh Allah atau yang diharamkannya.
Jika seseorang ingin mengatakan dan menetapkan batas-batas (ukuran) tersebut, maka untuk menafsirkan perkataan israf mengikut makna bahasa tadi dalam ayat-ayat al-Quran, jelas hal-hal tersebut tidak mungkin, kerana mesti kembali kepada makna syarak. Oleh yang demikian, tafsiran makna israf dan tabzir, mengikut makna bahasa tidak dapat dibenarkan. Dan haram bagi sesiapa pun untuk menafsirkan dalam konteks tersebut. Sebab, hal itu tidak termaktub di dalamnya. Bahkan ia mesti ditafsirkan berdasarkan makna syarak yang ada dalam nas-nas al-Quran.