Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Bukhari di dalam sahihnya telah meriwayatkan bahawa: Pada saat pasukan Syam bersama pasukan Iraq berperang membela dakwah agama Islam di Armenia dan Azerbaijan, Hudzaifah al-Yamani datang menghadap Khalifah Uthman bin Affan. Hudzaifah menyatakan kerisauannya mengenai perbezaan bacaan Al-Quran dalam kalangan kaum muslim. Kepada Uthman, Hudzaifah al-Yaman berkata, “Ya Amirul Mukminin, persatukanlah segera umat ini sebelum mereka berselisih mengenai Kitabullah sebagaimana yang terjadi dalam kalangan Yahudi dan Nasrani.”
Khalifah Uthman kemudian mengirimkan sepucuk surat kepada Hafsah dan di dalamnya menyatakan, “Kirimkanlah kepada kami mushaf agar kami dapat menyalinnya ke dalam mushaf, setelah itu kami akan kembalikan lagi kepadamu.” Hafsah pun mengirimkan mushaf yang disimpannya kepada Uthman. Beliau RA kemudian melantik Zaid bin Tsabit, Abdullah bin Zubair, Sa’id bin al ‘Ash, dan Abdurrahman bin al-Harith bin Hisyam. Mereka bertiga kemudian menyalin mushaf tersebut menjadi beberapa naskhah. Uthman berpesan kepada ketiga-tiga orang Quraisy tersebut, ”Apabila kalian berbeza pendapat mengenai sesuatu tentang Al-Quran, maka tulislah menurut dialek orang Quraisy, sebab Al-Quran itu diturunkan dengan dialek mereka.” Mereka pun segera melaksanakan tugas itu hingga berjaya menyalin mushaf menjadi beberapa naskhah. Kemudian Uthman mengembalikan mushaf yang asli kepada Hafsah, manakala mushaf yang telah mereka salin dikirimkan ke seluruh wilayah. Kemudian Khalifah memerintahkan untuk membakar setiap lembaran-lembaran atau mushaf lama yang mempunyai kandungan al-Quran [lihat Sahih al-Bukhari Bab “Fadhail al-Quran”].
Sebahagian besar ulama mengatakan bahawa tatkala Uthman menyalin mushaf, maka beliau menjadikannya empat naskhah, kemudian dikirimkan ke setiap penjuru satu salinan, iaitu Kuffah, Bashrah, dan Syam. Sedangkan satu naskhah lagi dibiarkan berada di Madinah. Namun ada juga yang mengatakan bahawa beliau menyalinnya menjadi tujuh naskhah, lalu masing-masing dikirimkan ke Mekah, Yaman, dan Bahrain. Pendapat pertama ialah pendapat yang paling kuat. Adapun mushaf Hafsah, telah dibakar oleh Marwan bin al-Hakam setelah kematian Hafsah. Saat itu, mushaf Uthmani masih belum memiliki tanda baca dan titik. Penambahbaikan penulisan al-Quran sendiri tidaklah sempurna sekaligus, melainkan berlangsung secara bertahap dari satu generasi ke generasi hingga sampai pada puncaknya ketika akhir abad 13 hijrah.