Penulis: Nabila Ummu Anas
Setiap Khalifah mendapatkan gaji untuk memenuhi keperluan hidup keluarganya. Begitu pula Umar bin Al-Khattab RA, beliau mendapatkan gaji dan tunjangan dari Baitulmal. Meskipun keperluan hidup keluarga kian hari kian bertambah, tetapi Khalifah Umar tetap mempertahankan hidup dengan kesederhanaan.
Amirul mukminin tidak menambah barang satu dirham pun untuk memenuhi keperluannya dengan menaikkan gaji dan tunjangan. Sebaliknya, Khalifah Umar bin Al-Khattab RA justeru lebih memikirkan, memperhatikan, dan mementingkan terpenuhinya keperluan hidup rakyat.
Mengikuti Jejak Pemimpin Sebelumnya
Mengetahui perhatian Khalifah yang sangat besar terhadap rakyat, para Sahabat memandang perlu untuk memperhatikan kesejahteraan pemimpin mereka. Para Sahabat berkeinginan menambah gaji dan tunjangan Khalifah Umar yang diambil dari Baitulmal.
Suatu hari, para Sahabat berkumpul, iaitu Uthman bin Affan, Ali bin Abi Thalib, Thalhah, dan Zubair. Pertemuan ini berakhir dengan kesepakatan mereka untuk menambah gaji Khalifah Umar bin Al-Khattab RA. Kesepakatan ini perlu disampaikan terus kepada Khalifah Umar.
Akan tetapi, ada ganjalan jika para Sahabat menyampaikan pandangan mereka tersebut secara langsung kepada Khalifah, tentu beliau akan menolaknya kerana yang akan mereka sampaikan berkaitan urusan diri dan keluarga Khalifah.
Para Sahabat ini berusaha mencari cara terbaik untuk melaksanakan niat mereka. Uthman bin Affan mengusulkan agar mereka menggunakan orang ketiga yang dapat menyampaikan maksud mereka kepada Khalifah Umar.
Uthman berkata, “Kalau begitu, kita temui Hafsah, puterinya. Kita minta agar dia yang mengatakan tentang masalah penambahan gaji bagi Khalifah.” Sahabat yang lain menyetujui usulan Uthman bin Affan. Mereka menemui Hafsah, sesuai dengan rencana yang telah disepakati, maka disampaikanlah keputusan Sahabat ini kepada Khalifah Umar bin Al-Khattab RA.
Hafsah pergi menemui ayahnya dan dengan sedikit perasaan takut dia berkata kepada Umar bin Al-Khattab RA, “Wahai Ayah, adakah lebih baik sekiranya ayah menambah gaji untuk memenuhi keperluan keluarga yang semakin bertambah?”
Selesai menyampaikan usulan tersebut, benarlah sangkaan Hafsah, Umar RA bertanya kembali kepada puterinya, “Siapa yang telah menyuruh engkau berkata demikian?” Hafsah tidak menjawab pertanyaan ayahnya itu. Umar berkata, “Nescaya sekiranya aku dapat tahu siapa yang menyuruhmu, pasti aku akan adilinya sekarang juga!”
Umar bin Al-Khattab RA kemudian bertanya kepada Hafsah, “Hafsah, puteriku, berapa helai baju yang dimiliki Rasulullah di rumahmu?” Hafsah menjawab, “Ada dua pasang baju, wahai Ayah.” Umar bertanya kembali, “Lalu, makanan terbaik apa yang pernah dia makan saat bersamamu?” Hafsah menjawab, “Roti gandum segar dengan kuah samin.” Umar bertanya lagi, ”Apakah alas yang paling selesa yang dipakai Rasulullah saat hendak tidur di rumahmu?” Hafsah menjawab, ”Selembar kain tebal yang kami gunakan semuanya bila musim panas, sementara bila musim dingin kami gunakan setengahnya sebagai alas dan setengahnya lagi kami jadikan selimut.”
Khalifah Umar bin Al-Khattab RA berkata kepada Hafsah, ”Hafsah, puteriku, katakan kepada orang yang menyuruhmu bahawa aku, Rasulullah, dan Abu Bakar adalah ibarat orang yang menempuh satu jalur. Orang pertama melintasi dan telah membawa bekal, maka sampailah dirinya di rumah. Lalu orang kedua mengikutinya, ditempuhnya jalur yang sama dan sampai juga di rumah. Kini menyusul aku sebagai orang yang ketiga. Maka ketika orang yang ketiga ini mengikuti jalur kedua orang itu dan rela dengan kedua bekal orang tersebut, ia pun akan sampai kepada keduanya. Tetapi sebaliknya, bila dirinya menempuh jalur yang berbeza dari keduanya, maka dapatkah dia berkumpul dengan pendahulunya?”
Sangat Berhati-hati dengan Harta Umat
Sungguh luar biasa perhatian Amirul mukminin Umar bin Al-Khattab RA terhadap harta negara. Baginya, harta Baitulmal adalah harta umat, amanah dari Allah SWT yang benar-benar harus dijaga. Harta Baitulmal perlu diurus dan diperuntukkan bagi kemaslahatan Islam dan kaum muslimin. Beliau sebagai ketua negara yang memiliki kekuasaan untuk mengelola harta Baitulmal yang akan dipertanggungjawabkannya di hadapan Allah SWT kelak.
Bahkan, Khalifah Umar bin Al-Khattab RA pernah mengatakan bahawa jika salah seekor di antara unta-unta sedekah hilang di tepi Sungai Dajlah atau Furat, sementara beliau berada di Madinah, pasti akan dicarinya unta itu sampai ditemukan. Hal itu kerana takutnya Umar bin Al-Khattab RA jika kelak Allah menyoalnya di yaumulhisab tentang harta yang menjadi tanggung jawab Khalifah dalam pengelolaannya.
Sungguh bagai langit dan bumi, jauhnya contoh perbezaan Khalifah pada masa Islam dengan para pemimpin muslim zaman ini. Mereka pemimpin yang tidak terpesona dan mengejar dunia dalam kekuasaannya. Khalifah memimpin rakyat dengan landasan keimanan dan sentiasa berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah. Dengan pemimpin seperti ini, nescaya rakyat yang dipimpinnya akan merasakan kebijakan yang adil, kemakmuran, dan kesejahteraan. InsyaAllah.
Sumber: Yuwono, Budi. Hikayah Empat Khalifah. Penerbit Khairul Bayaan.