Dalam beberapa tahun terakhir, setiap kali memasuki bulan Disember, muncul kembali perbezaan pendapat tentang ucapan Selamat Hari Natal kepada kaum Kristian. Ada yang menyatakan boleh. Yang lain mengatakan tidak boleh/haram. Pendapat yang râjih (benar) menurut al-Kitab, as-Sunnah dan qawl para ulama adalah tidak boleh alias haram.
Makna Ucapan Selamat
Dalam bahasa Arab, ucapan selamat adalah tahniah. Berasal dari kata hanna’a. Lawan dari kata ta’ziyah (takziah). Hani’a bihi ertinya suka/bahagia atau gembira. Hanna’a ertinya as’ada (membahagiakan).
Makna tahniah secara istilah tidak keluar dari makna bahasanya. Dalam istilah penggunaannya, tahniah juga mengandungi makna at-tabrîk (memohonkan keberkahan) (Al-Mawsû’ah al-Fiqhiyah). Maksud dari at-tahni’ah adalah at-tawaddud wa izhhâr as-surûr (menunjukkan kasih sayang dan menampakkan kegembiraan) dengan apa yang diperoleh oleh orang lain (Syeikh Shalih Fauzan, Al-Mulakhash al-Fiqhiy, 1/280).
Dengan demikian ucapan selamat kepada seseorang maknanya adalah ikut serta dengan dia dalam kegembiraannya dan menampakkan kegembiraannya itu.
Makna Perayaan Natal
Makna Hari Raya Natal sudah pasti perlu dirujuk pada tuntunan agama Kristian dan kaum Kristian. Di dalam Pesan Natal Bersama Persekutuan Gereja-Gereja Indonesia (PGI) dan Konferens Waligereja Indonesia (KWI) tahun 2019 dinyatakan, “Dengan penuh sukacita, kita merayakan pesta kelahiran Tuhan kita Jesus Kristus, Raja Damai, yang datang untuk ‘merobohkan tembok pemisah, yakni perseteruan (EF 2:14)’ yang memecah-belah umat manusia…”
Begitu juga di dalam Pesan Natal Bersama PGI dan KWI tahun 2020 dinyatakan, “Natal adalah berita sukacita dan pewartaan cinta kerana Juruselamat, Sang Raja Damai, Allah beserta kita, lahir di dunia…”
Dengan demikian makna Perayaan Natal adalah perayaan atas kelahiran Tuhan Jesus Kristus di dunia. Tidak ada makna lain dari Perayaan Natal selain ini.
Haram Ucapan Selamat Hari Natal
Dengan demikian ucapan Selamat Natal mengandungi makna iaitu: harapan kesejahteraan dan keberuntungan untuk kaum Kristian dengan kelahiran Tuhan Jesus Kristus; ikut bergembira dan suka atas kelahiran Tuhan Jesus Kristus; juga pengakuan dan keredhaan terhadap kelahiran Tuhan Jesus Kristus.
Sedangkan Allah SWT telah berfirman:
وَقَالُوا اتَّخَذَ الرَّحْمَٰنُ وَلَدًا . لَّقَدْ جِئْتُمْ شَيْئًا إِدًّا
Mereka berkata, “Tuhan Yang Maha Pemurah mempunyai anak.” Sungguh kalian telah mendatangkan sesuatu perkara yang sangat mungkar”. [TMQ Maryam (19): 88-89]
Kerana itu Allah SWT menegaskan kekafiran kaum Nasrani:
لَقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ هُوَ الْمَسِيحُ ابْنُ مَرْيَمَ
“Sungguh telah kafirlah orang-orang yang berkata, “Sungguh Allah itu adalah Al-Masih putera Maryam.” [TMQ al-Maidah (5): 72].
لَّقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ ثَالِثُ ثَلَاثَةٍ ۘ وَمَا مِنْ إِلَٰهٍ إِلَّا إِلَٰهٌ وَاحِدٌ ۚ وَإِن لَّمْ يَنتَهُوا عَمَّا يَقُولُونَ لَيَمَسَّنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ . أَفَلَا يَتُوبُونَ إِلَى اللَّهِ وَيَسْتَغْفِرُونَهُ ۚ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
“Sungguh kafirlah orang-orang yang mengatakan bahawa Allah adalah salah seorang daripada yang tiga. Padahal sekali-kali tidak ada Tuhan selain dari Tuhan Yang Esa. Jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, pasti orang-orang kafir di antara mereka akan ditimpa seksaan yang pedih. Lalu mengapa mereka tidak bertaubat kepada Allah dan memohon ampunan kepada-Nya? Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [TMQ al-Maidah (5): 73-74].
Pemberian ucapan Selamat Hari Natal jelas bertentangan dengan ayat-ayat di atas. Yang seharusnya diserukan kepada mereka, sebagaimana dalam surah al-Maidah ayat 73-74 di atas, adalah agar mereka bertaubat dan memohon ampunan kepada Allah SWT. Sudah pasti dengan meninggalkan kekufuran mereka dan masuk ke dalam agama Islam. Bukan malah memberikan ucapan selamat yang di dalamnya terkandung makna ikut bergembira serta pengakuan dan keredhaan terhadap kekufuran mereka.
Allah SWT telah memberitahukan (yang ertinya): Dia tidak meredhai kekafiran bagi hamba-Nya [TMQ az-Zumar: 7]. Jika Allah murka dan tidak meredhai kekafiran seorang pun, maka kita pun sudah pasti tidak boleh meredhai kekafiran mereka. Hal ini kerana, meredhai kekafiran orang lain bererti meredhai apa yang Allah tidak redhai. Ini tidak boleh/haram.
Hari Raya Natal, sesuai ayat di atas, jelas merupakan hari raya keyakinan kufur dan perayaan kekafiran. Lalu bagaimana mungkin seorang Muslim yang berkeyakinan tauhid memberikan ucapan selamat atas perayaan kekafiran dan kesyirikan? Dari sini jelas bahawa ucapan Selamat Hari Natal adalah haram dilakukan oleh seorang Muslim.
Di dalam ucapan Selamat Hari Natal (termasuk ucapan Selamat Hari Raya kaum kafir lainnya) juga terdapat unsur tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan yang dilarang oleh Allah SWT (Lihat: TMQ al-Maidah [5]: 2). Tentu saja ini dilarang dalam Islam dan haram hukumnya.
Allah SWT juga berfirman:
وَالَّذِينَ لاَ يَشْهَدُونَ الزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا
“Orang-orang yang tidak memberikan persaksian palsu dan jika mereka bertemu dengan (orang-orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka lalu (begitu saja) dengan menjaga kehormatan diri mereka.” [TMQ al-Furqan (25): 72].
Az-Zûr itu meliputi semua bentuk kebatilan. Yang terbesar adalah syirik dan mengagungkan sekutu Allah. Kerana itu Imam Ibnu Katsir —mengutip Abu al-‘Aliyah, Thawus, Muhammad bin Sirrin, adh-Dhahhak, ar-Rabi’ bin Anas dan lainnya—menyatakan bahawa az-zûr adalah hari raya kaum musyrik (Tafsir Ibnu Katsîr, III/1346).
Ibnu ‘Abbas ra., menjelaskan, makna yasyhadûna az-zûra adalah menyaksikan hari raya kaum musyrik, termasuk dalam konteks larangan ayat ini adalah mengikuti hari raya mereka.
Ayat ini melarang keterlibatan dalam hari raya orang kafir; baik dorongan, persetujuan dan sokongan secara langsung ataupun tidak langsung. Di dalam ucapan selamat Hari Raya Natal jelas mengandungi semua unsur itu. Dari sini pun jelas bahawa ucapan selamat Hari Raya Natal adalah haram.
Ucapan Selamat Natal juga termasuk syiar agama mereka. Jika kita turut mengucapkannya, bererti kita menyerupai mereka. Padahal Rasul saw. tegas melarang yang demikian:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
“Siapa saja yang menyerupai suatu kaum maka dia sebahagian dari mereka.” (HR Abu Dawud dan Ahmad).
Ijmak Ulama
Keharaman mengucapkan Selamat Natal telah menjadi ijmak (disepakati) para ulama. Bahkan para ulama menyatakan, orang yang mengucapkan selamat hari raya kepada orang kafir layak dijatuhi hukuman ta’zîr. Imam Kamaluddin ad-Damiri (w. 808 H) di An-Najmu al-Wahhâj fî Syarhi al-Minhâj mengatakan, “Dijatuhi hukuman ta’zîr orang yang menyerupai kaum kafir dalam hari raya mereka…dan orang yang berkata kepada kafir zimmi, ‘Ya Haj,’ juga orang yang memberikan selamat hari raya.”
Imam Syihab Ahmad ar-Ramli asy-Syafie (w. 957 H), di dalam Hâsyiyah ar-Ramli ‘ala Asna al-Mathâlib, mengatakan, “Dijatuhi hukuman ta’zîr orang yang menyerupai kaum kafir dalam hari raya mereka…juga orang yang memberikan selamat hari raya kepada mereka.”
Hal yang sama juga dikatakan oleh al-Khathib asy-Syarbini (w/ 977 H) di dalam Mughni al-Muhtâj, Imam al-Qalyubi (w.1069 H) di dalam Hasyiyah al-Qalyûbî ‘alâ Syarhi al-Jalâl ‘alâ al-Minhâj, Syeikh Sulaiman al-Jamal (w. 1204 H) di dalam Hasyiyah al-Jamal ‘alâ Syarhi al-Minhâj, Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani di dalam Hasyiyah at-Tuhfah, al-‘allamah ‘Alawi bin Ahmad as-Saqaf (w. 1335 H) di dalam Tarsyîh al-Mustafîdin Hasyiyah Fathu al-Mu’în dan Syaikh Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi di dalam Hasyiyah I’ânah ath-Thâlibîn ‘alâ Fathi al-Mu’în.
Menolak Syubhat
Memang ada sebahagian yang membolehkan ucapan Selamat Natal kepada orang Nasrani yang tidak memerangi kaum Muslim. Mereka berdalil dengan surah al-Mumtahanah ayat 8, dengan menganggap itu bahagian dari al-birr (kebaikan) yang disyariatkan di dalam ayat tersebut. Ini jelas keliru. Sebab, meski al-birr (kebaikan) bersifat umum dan dapat mencakup ucapan selamat, keumuman ini di-takhshîsh dengan larangan tasyabbuh bi al-kuffâr.
Begitu juga hujah yang dikaitkan dengan riwayat Anas bin Malik ra. yang berkata: Ada anak Yahudi yang sering melayani Nabi saw., lalu dia sakit. Nabi saw. pun menjenguk dia. Beliau duduk berhampiran anak itu, lalu berkata, “Masuklah ke dalam Islam.” Anak itu melihat ke arah ayahnya. Ayahnya berkata, “Taatilah Abul Qasim (Nabi saw). Anak itu pun masuk Islam. Lalu Nabi saw keluar dan berkata, “Segala pujian milik Allah yang telah menyelamatkan dia dari neraka.” (HR al-Bukhari).
Dalam hadis di atas, Nabi saw. mencontohkan untuk berbuat baik kepada non-Muslim. Oleh kerana itu, menurut mereka, mengucapkan Selamat Hari Natal merupakan sebahagian perbuatan baik kepada kaum Nasrani, yang hukumnya juga boleh, selagi tidak mengganggu akidah dan tidak mendukung keyakinan mereka tentang kebenaran peristiwa Natal.
Berhujah dengan hadis di atas jelas tidak kena pada tempatnya. Justeru di situ contoh perbuatan baik Nabi saw. adalah mengajak non-Muslim masuk Islam. Ini sejalan dengan apa yang dinyatakan di dalam surah al-Maidah ayat 73-74. Bukan malah mengucapkan Selamat Hari Raya Natal.
Namun demikian, kita tetap wajib berbuat baik dan berlaku adil kepada non-Muslim, dalam muamalah, bertetangga dan interaksi lainnya yang memang dibenarkan syariah. WalLâh a’lam wa ahkam.
—*—
Hikmah:
Saidina Umar bin al-Khaththab ra. berkata:
اِجْتَنِبُوْا اَعْدَاءَ اللهِ الْيَهُوْدَ وَ النَّصَارَى يَوْمَ جَمْعِهِمْ فِي عِيْدِهِمْ، فَإِنَّ السُّخْطَ يَنْزِلُ عَلَيْهِمْ فَأَخْشَى أَنْ يُصِيْبَكُمْ
“Jauhilah oleh kalian musuh-musuh Allah dari kalangan Yahudi dan Nasrani saat mereka berkumpul pada Hari Raya mereka. Sungguh saat itu murka (Allah SWT) turun kepada mereka dan aku takut hal itu juga akan menimpa kalian.” (HR al-Baihaqi).