Penulis: Ruruh Anjar
Beliau merupakan peribadi yang dianggap mempunyai banyak “dosa” oleh pihak pemerintah Belanda yang menjajah. Militansi beliau dalam membangkitkan semangat Pan-Islamisme yang dicanangkan oleh Khalifah Abdul Hamid II di Nusantara sangat menjengkelkan Belanda. Malah, beliau juga dianggap sebagai penentang kuat Snouck Hurgronje, penasihat Belanda yang menyusup masuk sebagai seorang muslim di Nusantara.
Mehmet Kamil Bey merupakan Konsul Jeneral ke-6 Khilafah Uthmaniyah di Batavia sejak 15 Julai 1897. Pada usia yang masih cukup muda, 24 tahun, Kamil Bey melakukan banyak manuver yang dianggap Belanda ‘memancing di air yang keruh’ kerana telah memupuk perasaan anti-Belanda dalam kalangan umat Islam.
Sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang diterbitkan di Singapura (29/12/1898) merangkum aktiviti penentangannya. “Dia dengan jelas tidak hadir dalam upacara pertabalan Ratu (Belanda), seolah-olah dia ingin menunjukkan kepada penduduk peribumi bahawa dia boleh bertindak merendahkan pemerintah Belanda,” tulisnya.
Kamil Bey juga menggoyahkan kesetiaan dua raja peribumi tertinggi di Jawa Tengah dan menghantar surat kepada seorang raja di bawah kekuasaan Belanda di Borneo atau Sumatera untuk cuba mempengaruhi raja agar mengurangkan kesetiaannya (kepada Belanda).
Di samping itu, Kamil Bey pernah melaporkan kepada Kementerian Luar Negeri Uthmaniyah mengenai tindakan penjajah Belanda yang telah menutup semua akses kepada pembelajaran ilmu dunia dan agama bagi umat Islam, serta mengabaikan hak pendidikan untuk semua rakyat.
Beliau menulis, “Penduduk tempatan hanya dianggap sebagai tawanan dan hamba di sisi undang-undang, kecuali mereka yang bekerja dalam birokrasi pemerintahan Belanda dengan menghabiskan hidup mereka menyediakan makanan mereka. Kira-kira 35 juta orang Islam kemudian terjerumus ke dalam kegelapan kejahilan dan kehampaan sehingga mereka menjadi bodoh dan tidak tahu apa-apa. Umat Islam yang tinggal di kepulauan India secara umumnya bermazhab Syafie, tetapi ilmu agama mereka terus lenyap sehingga masjid dan tempat-tempat ibadat mereka musnah. Bahkan, mereka hanya tahu nama Allah dan Nabi Muhammad. Pemerintah Belanda juga menugaskan Doktor Snouck, seorang orientalis Protestan sebagai Mufti Umum, dan menugaskan Sayyid Usman, seorang “hadrami”, sebagai pembantunya hanya untuk menyesatkan rakyat. Melihat keadaan seperti ini, Khalifah perlu membuat dasar untuk memberi pencerahan kepada masyarakat Islam di kawasan ini melalui penyebaran karya dalam bidang agama dan memperbanyakkan pelbagai aktiviti positif.”
Sabotaj
Sultan Aceh yang berada di medan gerila ketika itu, Sultan Muhammad Dawud Syah, banyak mendengar kebaikan Kamil Bey. Oleh itu, Sultan Aceh dan pembesar-pembesarnya seperti Tuanku Hasyim Bangta Muda beriat menghantar surat ke Istanbul melalui Kamil Bey, dengan tarikh surat 25 Muharram 1315 H (26/6/1897).
Mereka mengutus seorang Arab untuk menyampaikan surat itu kepada Kamil Bey. Tanpa diduga, orang Arab ini mengambil jalan yang berpusing-pusing antara Madura, Maluku, dan Borneo hingga berbulan-bulan lamanya dan tiba di Batavia pada 29 Disember 1897.
Orang Arab ini pun mengetuk pintu pejabat konsulat Khilafah Uthmaniyah di daerah Pegangsaan, Menteng, pada pukul tiga pagi sambil menjerit meminta simpati. Selepas memastikan yang dijumpainya itu benar-benar konsul yang ditugaskan oleh Khalifah Abdul Hamid II, orang Arab ini menyerahkan surat dari Sultan Aceh itu kepada Kamil Bey.
Dalam suratnya, Sultan Dawud Syah menulis tentang hubungan yang telah lama terjalin dengan Kekhalifahan Islam sejak zaman nenek moyangnya. Sultan Aceh turut menceritakan usaha bantuan ketenteraan ke Istanbul yang sebelum ini selalu gagal. Oleh itu, beliau memberi kata dua kepada Khalifah Abdul Hamid II sekiranya bantuan dari Istanbul tidak kunjung datang, maka Sultan Aceh bebas daripada tanggung jawab kerana sebenarnya mereka berada di bawah panji kekuasaan Khilafah Uthmaniyah.
Kemudian Sultan Aceh menyatakan bahawa Khalifah akan diminta pertanggungjawaban pada hari kiamat kerana telah mengabaikan kepentingan umat Islam yang telah berada di bawah tekanan para penindas dan melalaikan syariat Allah dan Rasul-Nya.
Di akhir suratnya, Sultan Dawud Syah menggambarkan pula betapa kejamnya Belanda dan pada masa yang sama meminta bantuan Khalifah untuk membantu mereka dari siksaan pedih yang datang dari musuh Allah, yang terlaknat, iaitu kafir Belanda.
Selepas membaca surat tersebut, Kamil Bey segera menulis surat balasan dan menyerahkannya kepada orang Arab tadi yang hendak pulang melalui Singapura. Malangnya, orang Arab ini ternyata sangat mengenali Abd al-Gaffar atau Snouck Hurgronje, tanpa mengetahui bahawa Snouck sebenarnya merupakan orang Belanda yang mengabdi kepada penjajah Belanda.
Orang Arab ini sebaliknya memberikan dokumen-dokumen daripada Kamil Bey tersebut kepada Snouck sambil meminta Snouck agar tidak menceritakannya kepada sesiapa. Sudah tentu Snouck tidak berbuat demikian dan memaklumkan isi surat Kamil Bey kepada Gabenor Jeneral Van der Wijck (13/3/1898).
Akibat sabotaj Snouck ini, Sultan Dawud Syah yang menunggu di Aceh masih tidak mendapat balasan sebagaimana yang diharapkannya. Walaupun beberapa lama kemudian, Kamil Bey sering mendapat surat yang berulang darpadai Sultan Dawud Syah dan Kamil Bey berjaya memajukannya ke Istanbul, usaha tersebut tidak membuahkan hasil. Pihak berkuasa Belanda berusaha keras menghalang sebarang campur tangan Khilafah Uthmaniyah dalam Perang Aceh yang berlarutan.
Mengetahui sabotaj Snouck, Kamil Bey menjadi murka. Beliau melaporkan tindakan dan kempen hitam Snouck kepada Kementerian Luar Negeri Uthmaniyah. Konsul Jeneral Khilafah Uthmaniyah ini berpendapat bahawa penjajah Belanda telah secara licik menyesatkan umat Islam di Hindia-Belanda dengan menambah bilangan orang Belanda yang berpura-pura masuk Islam.
Beliau menulis, “Seorang munafik Belanda bernama Snouck, yang sebelum ini tinggal di Mekah sehingga diusir oleh pemerintahan Uthmaniyah di Wilayah Hijaz, telah dihantar oleh pemerintah Belanda dengan dipakaikan pakaian muslim ke tempat yang telah dikatakan (Aceh) dalam misi rahsia khas. Misinya adalah untuk menipu rakyat dengan berpura-pura menjadi utusan khas pemerintahan Uthmaniyah dan mengajak (dalam samarannya itu) untuk tunduk kepada negara yang telah disebutkan (Belanda).”
“Menggempur” Belanda
Selang beberapa waktu, pemerintah Belanda “digempur” oleh siri artikel dalam akhbar berbahasa Arab dan Turki yang mendedahkan ketidakadilan Belanda terhadap umat Islam, terutamanya dari kalangan Arab di Hindia-Belanda.
Contohnya, Sayyid Muhammad Aqil bin Yahya dengan nama pena Sayf al-Din al-Yamani dalam akhbar terbitan Mesir, al-Muayyid (25/3/1896) yang mengisahkan tentang pelbagai ketakadilan peraturan Belanda dalam artikel “Kekejaman Belanda di Jazirah Jawa (Mazalim Hulandah fi Jazirah Jawah)”.
Dalam edisi berikutnya (26/2/1898) dia juga menulis tentang pelecehan dan perlakuan tidak adil terhadap orang Arab dan orang Cina. Maka tidak hairanlah jika umat Islam mencintai Khalifahnya, satu-satunya yang menjamin hak-hak umat Islam.
Begitu juga dengan akhbar lain seperti Al-Watan di Kaherah, Samarat al-Funun di Beirut, Al-Ma’lumat dan Servet di Istanbul, serta Ittila’ di Iran yang menikam para pegawai pemerintah Belanda dengan artikel mereka.
Para pegawai Belanda yang “wajahnya terconteng” ini mengesyaki pelbagai serangan daripada media Timur Tengah tersebut berpunca daripada “konspirasi Pan-Islamisme” di bawah pimpinan Mehmet Kamil Bey. Bahkan, Snouck turur serta dalam cemuhan itu,
“Mereka merupakan para perantara dalam hubungan-hubungan, yang misalnya wujud di antara orang-orang Arab, Melayu, Aceh di Hindia-Belanda dengan ‘Sang Panatagama di Turki’ (maksudnya Sultan Abdul Hamid II, pen.), dan mereka cuba memastikan bahawa akhbar-akhbar yang mendapat perlindungan dari Istana selalu memburuk-burukkan Pemerintah Kolonial dan Ratu Belanda.” (Snouck Hurgronje, 1996: 58).
Menghantar Anak-Anak Hindia-Belanda Bersekolah ke Istanbul
Dalam tempoh perkhidmatannya, Kemal Bey berjaya menghantar beberapa anak Hindia-Belanda ke sekolah-sekolah di Istanbul. Pemerintahan Uthmaniyah berharap selepas tamat pengajian mereka dapat menyebarkan ilmu pengetahuan dan pendidikan sains moden di Hindia Belanda.
Menurut Kees van Dijk, umat Islam yang berangkat ke Mekah dan Al-Azhar di Mesir saja sudah dicurigai oleh Belanda, apatah lagi ke Istanbul yang merupakan graviti politik Khilafah Uthmaniyah, sudah tentu akan dianggap sebagai dosa yang lebih berat.
Bagi Snouck yang sangat menentang Pan-Islamisme, anak-anak yang bersekolah di Istanbul ini akan menjadi “mualim bagi kemuliaan Sultan”.
Belanda Geram
Belanda semakin geram melihat Kamil Bey secara terang-terangan dan terbuka tidak menghadiri pertabalan Ratu Wilhelmina di Istana Gabenor Jeneral di Buitenzorg. Menurut Belanda, Kamil Bey ingin menunjukkan kepada penduduk peribumi bahawa dia boleh bertindak merendahkan pemerintah Belanda. Mereka menganggap Konsul Jeneral Khilafah Uthmaniyah ini sebagai seorang yang berbahaya yang selalu merancang tipu daya untuk “menghasut” umat Islam yang “kurang pengetahuan” untuk melawan kaum kafir.
Kerana tidak tahan, mereka akhirnya mendesak Khalifah Abdul Hamid II untuk memecat Kamil Bey yang digelar “tetamu berbahaya” oleh akhbar Belanda Batavia’sch Niewsblad dan De Locomotief. Dengan berat hati, Khalifah Abdul Hamid II pun memberhentikan Kamil Bey pada 16 Julai 1898.
Walaupun begitu, Snouck tetap tidak berasa gembira dan menganggap pemerintah Uthmaniyah hanya berbasa-basi atas desakan Belanda. Kenyataannya, daripada menghukum Kamil Bey mengikut permintaan Den Haag, pemerintah Uthmaniyah malah melantiknya sebagai Konsul Jeneral Uthmaniyah di Liverpool, England hingga 1902, dan tahun berikutnya di Corfu, Yunani. Bukan itu sahaja, Kamil Bey turut dianugerahkan pingat Mediciye.
Dapat dilihat betapa besarnya peranan dan pengaruh Kekhalifahan untuk kebaikan Nusantara. Konsul-konsul jeneralnya, seperti Mehmet Kamil Bey, mengusahakan perjuangan menentang pemerintah kolonial Belanda demi menyelamatkan Nusantara. Ini semua semata-mata kerana ikatan akidah dan ukhuwwah Islamiyyah yang kuat, tanpa mengenal sempadan nasionalisme mahupun kepentingan dunia. Wallahu a’lam bissawwab.
Rujukan:
Nicko Pandawa. Khilafah & Ketakutan Penjajah Belanda, Riwayat Pan-Islamisme dari Istanbul sampai Batavia, 1882—1928. Buletin Dakwah Kaffah Edisi 154. “Nusantara Berhutang kepada Khilafah”.