Penulis: Ustaz M. Shiddiq Al Jawi
Soalan:
Izinkan saya bertanya Ustaz, saya bekerja di sebuah syarikat yang bergerak dalam bidang perkhidmatan (keselamatan) dan kebetulan saya ditugaskan di sebuah bank di Kaltim. Apakah hukumnya, Ustaz? (Sugondo, Balikpapan).
Jawapan:
Hukum bagi seseorang yang bekerja di bank konvensional yang melakukan transaksi ribawi, menurut Imam Taqiyuddin an-Nabhani dapat diperincikan menjadi dua hukum seperti berikut:
Pertama, jika pekerjaannya berkaitan dengan transaksi riba, samada terkait langsung mahupun tidak langsung, maka pekerjaan itu hukumnya haram. Dengan kata lain, jika pekerjaan yang dilakukan merupakan bahagian integral dari transaksi riba (juz’un min a’maal ar ribaa), baik pekerjaan itu sendiri dapat menghasilkan riba, mahupun pekerjaan itu dapat menghasilkan riba hanya jika digabungkan dengan pekerjaan lain, maka pekerjaan itu hukumnya haram. [Taqiyuddin an-Nabhani. An-Nizham al-Iqtishadi fi al-Islam. Hlm. 92]. Contoh pekerjaan yang terlibat langsung dengan transaksi riba ialah:
(1) Bahagian Teller, iaitu jawatan pekerja di bank yang fungsinya ialah melayani pelanggan bank dalam melakukan transaksi di bank, seperti membuka akaun, menerima deposit (deposit), membayar pengeluaran tunai, dan sebagainya;
(2) Bahagian Analis Kredit, iaitu jawatan pekerja di bank yang menganalisis penerima pinjaman, adakah penerima pinjaman itu layak diberi pinjaman oleh bank atau tidak.
(3) Bahagian Account Officer (AO), iaitu jawatan pekerja di bank yang melakukan analisis kelayakan pemberian kredit dan melakukan pemantauan terhadap kelancaran pembayaran kredit oleh pelanggan.
(4) Bahagian Collector, iaitu jawatan pekerja di bank yang bertugas mengutip pinjaman atau kredit dari para pelanggan.
Adapun contoh pekerjaan yang tidak terlibat langsung dengan transaksi riba, iaitu yang akan menghasilkan riba hanya jika digabungkan dengan pekerjaan lain ialah pekerjaan sebagai pimpinan bank, akauntan bank, dan auditor bank [Taqiyuddin An Nabhani, An Nizham Al Iqtishadi fi Al Islam, hlm. 92].
Contoh lainnya ialah bahagian marketing yang bertugas memasarkan produk perbankan dengan mencari pelanggan; bahagian back office yang bertugas melakukan penyemakan dan memastikan bahawa transaksi yang dilakukan oleh teller sudah sesuai dan sudah tepat; serta bahagian admin kredit yang bertugas membuat surat, inventori data pelanggan, sehinggalah mengemaskini data jaminan pelanggan.
Dalil keharaman bagi pekerjaan yang berkaitan dengan transaksi riba di atas, baik berkaitan secara langsung mahupun tidak langsung, ialah hadis dari Ibnu Mas’ud RA bahawasanya Rasulullah SAW telah melaknat pemakan riba (yang memungut riba), pemberi riba (pembayar riba), pencatat riba, dan dua orang saksinya. [HR Muslim]
Kedua, jika pekerjaannya tidak berkaitan dengan transaksi riba, iaitu tidak terkait langsung mahupun tidak langsung, seperti keselamatan bank (security), pegawai cleaning service (tukang sapu dan lain-lain), dan office boy (pesuruh), hukumnya boleh. Mengapa? Ada dua sebab:
(1) Ini kerana pekerjaan-pekerjaan itu merupakan manfaat (perkhidmatan) yang mubah. Sebagai contoh, perkhidmatan keselamatan merupakan perkhidmatan yang mubah, yang sebenarnya dapat diberikan secara umum kepada institusi apa pun seperti universiti, sekolah, masjid, dan sebagainya.
(2) Ini kerana pekerjaan-pekerjaan tersebut tidak boleh ditetapkan hukum dengan hadis Ibnu Mas’ud RA yang mengharamkan pekerjaan yang berkaitan dengan transaksi riba seperti pencatat riba dan dua orang saksi riba. Kerana pekerjaan-pekerjaan tersebut bukanlah bahagian integral dari transaksi riba (juz’un min a’maal ar ribaa) yang bersifat khas. [Taqiyuddin An Nabhani, An Nizham Al Iqtishadi fi Al Islam, hlm. 93].
Berdasarkan penjelasan di atas, hukum bekerja sebagai pegawai keselamatan di bank konvensional ialah mubah (boleh). Namun begitu, pegawai keselamatan bank yang kami lihat sekarang ini sering digunakan bukan untuk perkhidmatan keselamatan sepenuhnya, tapi juga melayani pelanggan, sama seperti customer service. Jika demikian keadaannya, maka menjadi pegawai keselamatan bank hukumnya syubhat, iaitu sebaiknya pekerjaan ini tidak dilakukan. Wallahu’alam.