[KHILAFAH DAN ANAK YATIM]
Tokoh Anak Yatim Cemerlang dalam Islam
Uwais al-Qarni atau nama penuhnya Uwais bin `Amir bin Juz’in bin Malik al-Qarni al-Muradi al-Yamani, merupakan golongan tabi’in yang hidup semasa zaman Nabi saw semasa beliau masuk Islam, namun tidak berkesempatan bertemu Rasulullah saw sepanjang hayatnya. Bapanya meninggal dunia ketika beliau masih kecil. Justeru, sang ibu membesarkan dan menjaga Uwais yang menghidap penyakit sopak dari lahirnya. Walaupun keduanya hidup dalam kemiskinan, namun Uwais tetap tumbuh sebagai anak yang soleh dan berjasa pada ibunya. Beliau sentiasa mengutamakan kebajikan ibunya yang uzur berbanding hal lain.
Hal ini tergambar dalam persitiwa di mana ibu Uwais memohon untuk mengerjakan haji. Sang ibu berkata kepada anaknya, “Wahai anakku, mungkin sudah tidak akan lama lagi aku bersama kamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji”. Namun dek kerana kemiskinan, Uwais tidak mampu menyiapkan kenderaan berupa unta pada masa itu untuk mereka berangkat menunaikan haji. Tapi Uwais tetap tidak berputus asa. Beliau mendapat ikhtiar untuk membuat persediaan bagi membawa ibunya menunaikan haji. Persediaan tersebut adalah dengan membina dirinya (memantapkan fizikal badannya) agar mampu mengendong ibunya ke Mekah dari Yaman.
Apa yang beliau lakukan adalah dengan membeli anak lembu dan membuat kandang kecil anak lembu itu di atas bukit. Setiap harinya beliau memikul anak lembu tersebut turun bukit diwaktu pagi untuk diberi makan, dan dipikul naik bukit pada petang harinya. Selepas enam bulan, akhirnya otot-otot membentuk pada fizikal Uwais hasil dari mendukung anak lembu yang juga tumbuh semakin membesar. Hasil usaha dari latihan ini, akhirnya Uwais berjaya membawa ibu yang dikasihinya menunaikan haji dengan mendukung ibunya, dan memikul keperluan mereka. Berkat dari usaha memantapkan fizikalnya itu, beliau dan ibunya melakukan ibadah haji, tawaf, saie, ke Padang Arafah, dan akhirnya pulang semula ke Yaman dengan mudah, atas izin Allah swt. Kecintaan Uwais sang pemuda yatim lagi miskin ini pada ibunya tak hanya terhenti di situ. Uwais juga dipetik mengutamakan ibunya dalam doa-doa beliau. Apabila pulang dari Mekah, ibunya bertanya kepada Uwais apa yang dia doakan sepanjang di Mekah. Jawab Uwais: “Saya meminta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa ibu”. “Bagaimana dengan dosa mu” tanya si ibu. Jawab Uwais: “Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga. Cukuplah redha ibu terhadap saya, maka saya juga akan masuk syurga”. Bila ditanyakan kenapa dia tidak berdoa memohon kesembuhan bagi penyakit sopaknya, Uwais menyatakan beliau merasa berat kerana penyakit itu merupakan penyakit kurniaan Allah swt kepadanya. Dia merasakan jika tidak redha dengan kejadian Allah, sama seperti tidak bersyukur pada Allah Ta’ala. MasyaAllah tingginya ketakwaan Uwais kepada Allah swt. Namun ibunya tetap memerintahkan dia berdoa memohon pada Allah agar diberikan kesembuhan penyakitnya. Lalu Uwais berdoa, “Tolonglah Ya Allah, kerana ibuku, aku berdoa hilangkanlah putih pada badanku ini melainkan tinggalkanlah sedikit.” Allah swt pun menyembuhkan penyakit sopaknya serta merta melainkan yang tinggal hanya sebesar duit syiling di tengkuknya. Itulah yang menjadi tanda pengenalan yang disebut oleh Rasulullah saw.
Inilah sosok anak yatim soleh yang redha dengan Allah sebagai Tuhannya dan sangat mencintai ibunya. Dia tidak mencari-cari dan meminta kekayaan dunia. Sebaliknya dunialah yang mencarinya. Sungguh, walaupun miskin, dengan adanya kefahaman terhadap Islam dan ketakwaan yang benar, pastilah anak yatim sekalipun tetap boleh berjaya menjadi pendakwah dan pejuang agama Allah yang terbilang.