Oleh: Salim A. Fillah
Dia dipanggil Julaibib, si kerdil dan hina. Tak berampun dalam pergaulan di Yathrib kerana tak diketahui siapa bapa ibunya. Wajahnya yang jelik menimbulkan rasa takut. Pendek. Bongkok. Hitam. Fakir. Kainnya usang. Pakaiannya lusuh. Kakinya pecah-pecah. Tak ada rumah untuk berteduh. Tidur sembarangan berbantalkan tangan, berselimutkan pasir dan kerikil. Tak ada perabot. Minum hanya dari kolam umum yang dicedok dengan tekupan telapak.
Tapi hidayah menyapanya, maka Rasulullah ﷺ mengakrabinya, sering menghiburkannya, dan bahkan menikahkannya dengan seorang sahabiyah Ansar yang jelita. Tak berapa lama, panggilan jihad berkumandang dan Julaibib pun menyambutnya.
“Apakah kalian kehilangan seseorang?”, tanya beliau ﷺ di akhir pertempuran hari itu.
“Tidak Ya Rasulallah!”, serentak. Sepertinya Julaibib memang tiada beza, antara ada dan tiadanya dia di kalangan mereka.
“Apakah kalian kehilangan seseorang?”, beliau ﷺ bertanya lagi. Kali ini wajah beliau memerah.
“Tidak Ya Rasullallah!” Kali ini sebahagian menjawab dengan was-was dan tak seyakin tadi. Beberapa orang menoleh ke kanan dan ke kiri.
Rasulullah ﷺ menghela nafasnya. “Tetapi aku kehilangan Julaibib”, kata beliau.
Para sahabat tersedar.
“Carilah Julaibib!”
Maka ditemuilah dia, Julaibib yang mulia. Terbunuh dengan kecederaan, semua dari arah muka. Di sekeliling tujuh jasad musuh yang telah dia bunuh.
Sang Rasul, dengan tangannya sendiri mengkafankan Sang Syahid. Beliau ﷺ mensolatkannya secara peribadi. Ketika kuburnya digali, Rasulullah duduk dan memangku jasad Julaibib, mengalaskannya dengan kedua lengan beliau yang mulia. Bahkan beliau turut turun ke lahadnya untuk membaringkan Julaibib. Saat itulah, kalimat Sang Nabi untuk si mayyit akan membuatkan semua makhluk iri hati hingga hari dibangkitkan.
“Ya Allah, dia adalah sebahagian dari diriku. Dan aku adalah sebahagian dari dirinya.”
Pada kalimat itu, tidakkah kita cemburu?