Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Rukun-rukun akidah yang dibuktikan dengan dalil ‘aqli terdapat tiga, iaitu iman terhadap kewujudan Allah, beriman bahawa al-Quran berasal dari Allah, dan beriman bahawa Muhammad ialah utusan Allah.
Dengan al-Quran, Allah telah membimbing manusia kepada jalan yang dapat menjadikan manusia memahami atau menyedari keberadaan Allah SWT. Allah telah memerintahkan manusia untuk memperhatikan, dengan berfirman,
فَلْيَنْظُرِ الْاِنْسَانُ مِمَّ خُلِق
“Maka hendaklah manusia memperhatikan dari apa dia diciptakan.” [TMQ at Taariq (86): 5]
Firman Allah,
اَفَلَا يَنْظُرُوْنَ اِلَى الْاِبِلِ كَيْفَ خُلِقَتْۗ – ١٧
وَاِلَى السَّمَاۤءِ كَيْفَ رُفِعَتْۗ – ١٨
وَاِلَى الْجِبَالِ كَيْفَ نُصِبَتْۗ – ١٩
“Maka apakah mereka tidak memperhatikan unta bagaimana ia diciptakan, dan langit bagaimana ia ditinggikan, dan gunung bagaimana ia ditegakkan?” [TMQ al-Ghaasyiyah (88): 17-19]
Allah SWT juga memerintahkan Rasulullah ﷺ agar baginda mengajak manusia memperhatikan perkara tersebut dengan firman-Nya,
فَذَكِّرْۗ اِنَّمَآ اَنْتَ مُذَكِّرٌۙ
“Maka berikanlah peringatan kerana sesungguhnya kamu hanyalah orang yang memberi peringatan.” [TMQ al Ghaasyiyah (88): 21]
Baginda SAW juga diminta untuk mendorong manusia agar melakukan ekspedisi penelitian dan memperhatikan apa yang berada di sekitarnya, dengan firman Allah SWT,
قُلْ سِيْرُوْا فِى الْاَرْضِ فَانْظُرُوْا كَيْفَ بَدَاَ الْخَلْقَ…
“Katakanlah, “Berjalanlah di (muka) bumi dan perhatikanlah bagaimana Allah menciptakan manusia dari permulaannya…’” [TMQ al-Ankabut (29): 20]
Dengan cara meneliti dan memerhatikan, maka dengan akalnya, manusia akan sampai kepada kesimpulan bahawa segala sesuatu yang ada (maujud), pasti ada Pencipta yang menciptakan sesuatu yang ada tersebut. Sebab, tatkala manusia memerhatikan alam semesta, dia akan membuat kesimpulan bahawa alam semesta itu terbatas (al-mahdud). Dia juga akan membuat kesimpulan bahawa alam semesta ini berjalan teratur dengan sebuah aturan yang kompleks. Sedangkan sesuatu yang terbatas (mahdud) dan teratur (munadzam) pasti memerlukan pihak yang “membataskan” dan mengaturnya. Oleh yang demikian, alam semesta ini diciptakan oleh Allah SWT.
Demikian pula jika dia mengamati manusia dan kehidupan, dia akan membuat kesimpulan bahawa kedua-duanya memiliki keterbatasan pula. Manusia—sebagai makhluk yang paling tinggi darjatnya menurut jangkauan pancaindera—hakikatnya bersifat terbatas, lemah, dan memerlukan kepada yang lain.
Umur dan tubuhnya terbatas. Sehinggakan agar tetap boleh mempertahankan hidupnya, dia memerlukan unsur yang lain. Misalnya, dia perlu kepada makanan, air, dan udara. Dengan demikian, manusia pun diciptakan oleh Allah SWT.
Iman kepada Allah akan tercapai melalui jalan akal. Sedangkan keimanan kepada sifat-sifat Allah dan asmaul husna dapat dicapai melalui jalan naqli, iaitu wahyu Allah SWT. Sifat-sifat Allah dan asmaul husna telah dijelaskan di dalam al-Quran. Firman Allah SWT,
هُوَ اللّٰهُ الَّذِيْ لَآ اِلٰهَ اِلَّا هُوَۚ اَلْمَلِكُ الْقُدُّوْسُ السَّلٰمُ الْمُؤْمِنُ الْمُهَيْمِنُ الْعَزِيْزُ الْجَبَّارُ الْمُتَكَبِّرُۗ سُبْحٰنَ اللّٰهِ عَمَّا يُشْرِكُوْنَ – ٢٣
هُوَ اللهُ الْخَالِقُ الْبَارِئُ الْمُصَوِّرُ لَهُ الْاَسْمَاۤءُ الْحُسْنٰىۗ يُسَبِّحُ لَهٗ مَا فِى السَّمٰوٰتِ وَالْاَرْضِۚ وَهُوَ الْعَزِيْزُ الْحَكِيْمُ- ٢٤
“Dialah Allah yang tiada Tuhan selain Dia, Penguasa, Yang Maha suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Maha Pemberi Keamanan, Maha Memelihara, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuasa, yang memiliki segala keagungan, Maha suci Allah dari apa yang mereka persekutukan. Dialah Allah yang menciptakan, yang mengadakan, yang membentuk rupa, yang mempunyai nama-nama yang paling baik (asmaul husna). Bertasbihlah kepada-Nya apa yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan Dialah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” [TMQ al-Hasyr (59): 23-24]
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Studi Dasar-Dasar Pemikiran Islam