Bulan Rejab telah menyaksikan peristiwa tragis kejatuhan Khilafah yang sudah lebih 100 tahun berlalu mengikut kalendar Hijrah. Negara besar yang diperintah mengikut sistem Islam ini sentiasa berdiri sebagai perisai untuk menjaga martabat, keselamatan serta hak-hak yang diberikan syarak kepada kaum wanita. Selepas kejatuhannya, para wanita di segenap penjuru dunia dan muslimah khususnya telah ditekan dengan segala bentuk penindasan, ketidakadilan, penganiayaan dan kemiskinan di bawah sistem rosak -dari demokrasi ke kediktatoran- buatan manusia. Sistem ini telah mencabul kehormatan para wanita, gagal memberikan perlindungan serta tidak memberikan wanita, hak-hak yang telah ditetapkan oleh syarak untuk mereka. Rasa terdesak dan putus asa telah menjadi sebahagian dari kisah hidup wanita zaman kini kerana tiadanya perlindungan seperti dahulu yang disediakan oleh undang-undang syariah dan sistem Allah SWT (Islam).
Sebenarnya ada cahaya dari kegelapan mimpi ngeri yang dialami oleh para wanita di seluruh dunia saat ini, iaitu dengan tegaknya kembali sistem Khilafah mengikut manhaj kenabian. Sistem yang disifatkan oleh Baginda Rasulullah sebagai pelindung dan perisai buat kaum muslimin. Sayangnya, masih terdapat ketakutan, keraguan serta persoalan yang bermain di fikiran mereka tentang bagaimana sepatutnya status dan hak-hak sebagai seorang wanita. Sangat wajar ketakutan dan rasa was-was ini dialami oleh para wanita kerana berkurun lamanya, mereka telah dimomokkan dengan tipu daya, pembohongan dan kekeliruan yang dilakukan oleh Barat, media massa dan fahaman-fahaman seperti feminisme tentang bagaimana Daulah Khilafah memperlakukan para wanita, dan perkara itu terus-menerus diputarbelitkan sehingga ke hari ini. Kepalsuan dan tipu-helah itu sengaja mereka lakukan agar idea untuk mengembalikan semula pemerintahan Islam itu dihancurkan dengan tujuan untuk mengekalkan pengaruh dan kawalan kolonial mereka ke atas politik dan sumber-sumber tanah milik umat Islam.
Maka, pada bulan Rejab ini, Bahagian Wanita di Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir telah melancarkan kempen antarabangsa untuk menjawab dan menjelaskan segala ketakutan, keraguan dan persoalan tentang status wanita di bawah pemerintahan Islam. Kempen yang mengangkat tajuk, “Khilafah : Menjamin Martabat, Keamanan dan Hak-Hak Syarie Wanita” bertujuan untuk memberikan pemahaman dan bayangan tentang bagaimana sebenarnya kehidupan dan status wanita di bawah pemerintahan Islam terkait hak, peranan dan layanan terhadap mereka sebagaimana yang telah dibuktikan dan ditunjukkan oleh dalil-dalil syarak dan pemerintahan Islam yang lepas serta membuktikan kebohongan dan tipu-helah yang dilakukan oleh para orientalis dan kolonial Barat.
Lebih penting lagi, kami akan menjelaskan tentang bagaimana prinsip-prinsip, hukum-hukum, institusi, struktur serta sistem Khilafah menyelesaikan berbagai persoalan dan permasalahan politik, ekonomi, peradilan, pendidikan, kesihatan serta masalah-masalah sosial yang dialami oleh para wanita saat ini di bawah sistem rosak buatan manusia yang telah gagal menyelesaikan berbagai masalah yang ada di seluruh dunia.
Kami sangat berharap agar Anda mengikuti dan memberi sokongan terhadap kempen ini yang bertujuan untuk membongkar kebohongan, menghilangkan ketakutan dan mempersembahkan hanya kebenaran terkait posisi wanita di bawah pemerintahan Islam agar kita dapat menukarkan rasa putus asa menjadi sebuah harapan untuk menegakkan sistem yang akan mengakhiri kisah buruk yang dialami oleh para wanita masa kini serta membina masa depan yang cerah, aman dan bermartabat buat puteri-puteri umat Islam.
﴿وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُم فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ﴾
“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” [TMQ An-Nuur (24): 55].
Dr. Nazreen Nawaz
Pengarah Bahagian Wanita di Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir