Penulis: Najmah Saiidah
Bagaimana Islam menuntun kita agar selalu menjaga kemuliaan dan kehormatan rumahtangga kita dan juga menjaga kemuliaan pasangan kita?
- Melihat kembali tujuan pernikahan dan bersabar
Keluarga yang tegak di atas syariat Islam, sesungguhnya akan mampu menciptakan ketenangan, ketenteraman, keadilan dan rasa aman. Suami isteri hidup berdampingan saling mengasihi serta menjalankan bahtera keluarga layaknya dua orang sahabat sejati yang selalu berbagi suka dan duka. Hanya saja ketika muncul permasalahan dalam rumahtangga, hidup merasa tidak bahagia, batin juga terasa kerana. Bercerai memang tidak mengapa, namun jika kita ingat kembali tujuan awal berkahwin adalah untuk menjalankan perintah Allah dan ingin meraih redha-Nya, kita perlulah bersabar dan selalu berusaha untuk memperbaiki keadaan yang masih boleh diperbaiki dan itu tentunya lebih baik. Kesabaran merupakan langkah utama ketika mula muncul perselisihan antara pasangan. Kebaikannya tidak selalu terletak pada apa yang boleh dilihat oleh mata, tetapi kebaikannya boleh berupa ganjaran dari Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).” [TMQ An-Nisaa’ (4): 19]
- Saling percaya dan saling memahami
Kita mengetahui bersama bahawa perkahwinan adalah menyatukan dua orang yang berasal dari latar belakang yang berbeza dan dua keluarga yang berbeza. Kerana itu, suami isteri perlu saling memahami kelebihan dan kekurangan masing-masing, serta menerimanya dengan lapang dada tanpa ada penyesalan yang berpanjangan. Selanjutnya, yang ada adalah saling menjaga kemuliaan dan kehormatan pasangan, serta saling beramar makruf nahi mungkar jika ada perkara-perkara atau kesalahan yang melanggar syariat. Saling memahami dan saling percaya satu sama lain akan menjadikan suami isteri ada sifat empati terhadap pasangannya sehingga tidak mudah berburuk sangka. Namun, ia tidak bermaksud akan bertoleransi terhadap kesalahan atau kelemahan pasangannya. Sikap ini memudahkan suami isteri untuk berfikir lebih jernih sebelum memberikan pendapat dan menilai pasangannya.
- Saling menasihati dan mengingatkan
Manusia memang tidak lari dari melakukan kesilapan. Persahabatan antara suami dan isteri akan menjadikan mereka tidak rela jika pasangannya melakukan kesalahan, baik yang disengajakan ataupun tidak. Saling memberi nasihat merupakan wujud satu hubungan yang saling mencintai kerana Allah SWT. Kerana tujuannya adalah dalam rangka menjaga ketaatan kepada Allah SWT dan menjauhkan pasangannya dari melakukan kemaksiatan kepada-Nya. Nasihat yang disertai dengan komunikasi, waktu dan cara yang tepat (lemah lembut dan tidak menjustifikasikan kesalahan) akan membuatkan pasangan yang dinasihati merasa tenteram dan mudah menerima. Saling menasihati dengan cara yang makruf akan menjadikan masing-masing menjaga kemuliaan pasangannya. Ketika terjadi salah faham, mereka tidak akan “mengadukan” perkara tersebut ke luar tetapi melakukan penyelesaian bersama.
- Menerima kekurangan pasangan selama dalam koridor syarak
Jika kita melihat ada sikap atau perilaku pasangan yang tidak sepatutnya, alangkah baiknya jika kita redha terhadap akhlak yang lainnya dengan terus saling menasihati. Hal ini kerana, memang tidak ada manusia yang sempurna. Dia memiliki kesalahan, keburukan atau kekurangan di satu sisi, namun dia juga memiliki (banyak) kebaikan di sisi yang lain. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Janganlah seseorang mukmin membenci mukminah. Jika dia membenci salah satu perangainya, nescaya dia akan redha dengan perangainya yang lain.” (HR Muslim)
Seorang isteri tidak boleh memanggil suami dengan keburukan atau mencaci-makinya kerana perkara itu akan menyakiti hati suami. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tidaklah seorang isteri menyakiti suaminya di dunia melainkan isterinya dari para bidadari syurga akan berkata, “Jangan engkau menyakitinya, celakalah dirimu! Kerana ia hanya sejenak berkumpul denganmu, yang kemudian meninggalkanmu untuk kembali kepada kami.” (HR Tirmidzi)
- Menjalin komunikasi yang baik dengan pasangan
Komunikasi sangat penting dalam kehidupan rumahtangga, kerana dengan komunikasi, akan meningkatkan sikap saling cinta kepada pasangan. Komunikasi juga untuk menghindari terjadinya kesalahfahaman dengan pasangannya. Ia juga menjadi faktor penting untuk menentukan kejayaan suami isteri dalam menyelesaikan masalah rumahtangga. Tanpa komunikasi yang baik, ketenteraman dalam keluarga bakal susah untuk diraih. Boleh dikatakan, komunikasi menjadi salah satu kunci utama dalam sebuah perkahwinan. Ia merupakan jambatan untuk membentuk kepercayaan yang akan membebaskan pasangan dari rasa curiga, fikiran negatif dan kecemasan lainnya. Suami dan isteri memang perlu bekerjasama dalam menjaga keutuhan dan keharmonian rumahtangga. Sikap saling menghargai, menyayangi, saling memahami, saling memaafkan, mahu belajar, serta saling menjaga kemuliaan perlu dimiliki oleh suami dan isteri. Insya Allah perkara ini dapat diwujudkan dengan komunikasi yang makruf di antara keduanya. Alangkah indahnya perkataan Abu Darda ra pada isterinya, “Jika aku marah, maka buatlah aku redha kepadamu dan jika engkau marah aku juga akan membuatkan dirimu redha kepadaku. Kalau tidak demikian, tidaklah kita bersahabat.”
Khatimah
Begitulah, pasangan suami isteri yang cintanya kerana Allah, tidak mungkin menempatkan pasangan pada posisi tersakiti kerana ucapan atau perbuatannya. Ia juga selalu menjaga kemuliaan dan kehormatan pasangannya di mana pun ia berada. Dia selalu melindungi rahsia rumahtangga dari siapapun. Dia sentiasa mengikatkan hati, lisan dan perbuatannya untuk terikat dengan aturan Allah. Ia tidak pernah setitik pun untuk berani membantah apa pun firman Allah dan sabda Nabi-Nya. Tidak pernah memilih untuk berada pada titik tidak peduli dengan dosa. Dia faham bahawa menjaga kemuliaan pasangan sama ertinya dengan melindungi kehormatan sendiri, menutup aib pasangan bererti menutupi aib diri sendiri. Semoga, menjaga kemuliaan pasangan adalah sebuah langkah indah yang dipilih oleh setiap pasangan suami isteri. Sungguh, menampakkan aib pasangan bahkan menyebarkan dan membicarakannya dengan sengaja adalah perbuatan terlarang dan hina. Nauzubillahi min Zalik. Wallahualam.