Penulis: Nabila Ummu Anas
Ketika Umar bin Khattab ra. ditikam, kaum muslimin memintanya untuk menunjuk penggantinya, tetapi Umar menolak. Setelah mereka terus mendesak dalam penentuan khalifah penggantinya, Umar pun berkata kepada mereka, “Jika aku mengangkat pengganti, maka sesungguhnya orang yang lebih baik dariku, iaitu Abu Bakar sudah melakukannya. Bila aku tidak mengangkat pengganti, maka sungguh orang yang lebih baik dariku, iaitu Rasulullah saw. sudah melakukannya.” Umar bin Khattab ra. lalu menyerahkan urusan kekhilafahan kepada enam sahabat pilihan, iaitu Ali bin Abi Thalib ra., Abdurrahman bin Auf ra., Sa’ad bin Abi Waqqash ra., Uthman bin Affan ra., Zubair bin Awwam ra., dan Thalhah bin Ubaidillah ra..
Pencalonan Khalifah
Kemudian Umar menunjuk Shuhaib bin Sinan ar-Rumi untuk mengimami masyarakat dan memimpin enam orang yang telah beliau calonkan itu hingga terpilih seorang khalifah dari mereka dalam tempoh waktu tiga hari. Imam ath-Thabari dalam Tarikh ath-Thabari menceritakan, Umar bin Khattab ra. berkata kepada Shuhaib, “Jika lima orang telah bersepakat dan meredhai seseorang, sementara yang menolak satu orang, maka penggallah orang yang menolak itu dengan pedang.”
Usai pemakaman Umar bin Khattab ra. dan orang-orang yang disebutkan Umar berkumpul, Abdurrahman bin Auf ra. berkata, ”Siapa di antara kalian yang bersedia mengundurkan diri dari urusan ini? Dan kita akan menyerahkan urusan ini kepadanya. Allah akan menjadi Pengawasnya dalam menentukan siapa yang lebih utama.” Semuanya diam. Abdurrahman bin Auf ra. berkata lagi, “Aku mengundurkan diri.” Lalu beliau mulai meminta pendapat mereka satu persatu, menanyai mereka bahawa seandainya perkara itu diserahkan kepada masing-masing, siapa saja di antara mereka yang lebih berhak. Akhirnya, jawapan terbatas pada dua orang, iaitu Ali bin Abi Thalib ra. dan Uthman bin Affan ra..
Tidak Tidur hingga Dibaiat Seorang Khalifah
Setelah itu, Abdurrahman bin Auf ra. mula bertanya kepada kaum muslimin siapa di antara dua orang, iaitu Ali dan Uthman yang mereka kehendaki sebagai khalifah. Beliau bertanya kepada para lelaki dan perempuan dalam rangka menggali pendapat masyarakat. Abdurrahman bin Auf ra. melakukannya siang hingga malam hari. Berdasarkan peristiwa ini, para sahabat memahami bahawa kaum muslimin harus dipimpin oleh seorang ketua negara yang disebut dengan khalifah. Boleh saja ada proses penentuan calon khalifah sebelum terpilih satu orang untuk diangkat dan dibaiat oleh kaum muslimin.
Imam Bukhari mengeluarkan riwayat dari jalur Miswar bin Makhramah yang berkata, “Abdurrahman mengetuk pintu rumahku pada tengah malam. Dia mengetuk pintu hingga aku terbangun. Dia berkata, ‘Aku melihat engkau tidur. Demi Allah, janganlah engkau habiskan tiga hari ini dengan banyak tidur. Panggilkan Zubair dan Sa’ad.’ Miswar pun memanggil keduanya. Lalu mereka bertiga bermusyawarah, Abdurrahman bin Auf berkata lagi kepada Miswar, ‘Panggilkan Ali!’ Miswar bin Makhramah kemudian memanggil Ali bin Abi Thalib ra.. Abdurrahman bin Auf berbicara dengan Ali hingga larut malam. Tidak lama kemudian, Ali berganjak pergi. Abdurrahman lalu berkata lagi kepada Miswar, ‘Panggilkan Uthman!’ Abdurrahman bin Auf ra. dan Uthman bin Affan ra. lalu terlibat pembicaraan serius hingga azan Subuh berkumandang. Usai solat Subuh berjemaah, kaum Muhajirin, Ansar, dan para komandan tentera berkumpul.”
Pembaiatan Uthman bin Affan ra.
Setelah berbicara dengan masing-masing, Ali dan Uthman pada waktu yang berbeza, Abdurrahman bin Auf ra. telah mengetahui bahawa khalifah yang akan dibaiat adalah Uthman bin Affan ra.. Ali bin Abi Thalib ra. berkata kepada Uthman, “Aku membaiatmu untuk mengikuti Kitabullah dan Sunah Rasul-Nya, serta jalan kedua khalifah sepeninggal beliau.” Orang-orang yang hadir dari kaum Muhajirin, Ansar, para komandan tentera, serta seluruh kaum muslimin juga mengikuti membaiat Uthman bin Affan ra..
Para sahabat berdesak-desakan untuk membaiat Uthman hingga setelah tengah hari menjelang solat Asar. Kemudian, Uthman memimpin solat Asar dalam kapasitinya sebagai khalifah kaum muslimin. Pembaiatan ini terjadi dalam masa tiga hari setelah wafatnya Umar bin Khattab ra.. Baiat merupakan metod syarie yang menunjukkan sahnya seseorang sebagai khalifah atau ketua negara, yakni seluruh kaum muslimin akan mentaati kebijakannya selama berlandaskan pada Kitabullah dan Sunah Rasulullah saw.. Dari Nafi’, dia berkata, “Abdullah bin Umar telah berkata kepadaku,’Aku mendengar Rasulullah saw. pernah bersabda, ‘Siapa saja yang melepaskan tangan dari ketaatan, dia akan menjumpai Allah pada hari kiamat kelak tanpa memiliki hujah. Dan siapa saja yang mati sedangkan di pundaknya tidak terdapat baiat (kepada khalifah), maka dia mati seperti mati jahiliyah.’“‘ (HR Muslim)
Sumber: Prof. Dr. Ibrahim al-Quraibi. Tarikh Khulafa. Penerbit Qisthi Press.