Sebagaimana bulan-bulan lain, kita sangat dianjurkan untuk melakukan qiyamullail (menghidupkan malam), yakni dengan melaksanakan ibadah di malam hari, walau hanya sebentar. Baik dengan berselawat, berzikir, solat sunat, membaca Al-Quran atau ibadah lainnya.
Malah, kita juga boleh mengambil kesempatan qiyam dengan melakukan solat sunat tahajjud, yang merupakan solat malam khas, yang dikerjakan setelah bangun tidur.
Allah swt. berfirman:
وَمِنَ ٱلَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِۦ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰٓ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا
“Dan pada sebahagian malam hari bersembahyang tahajjudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu; mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.” [TMQ al-Isra’ (17): 79]
Menurut Imam al-Qurtubhi, yang dimaksud tahajjud di sini ada kaitannya dengan kata hajada yang bermaksud tidur malam.
Selain solat Tahajjud, umat Islam juga boleh memperbanyakkan solat sunat lainnya di malam-malam Ramadhan, hal ini kerana solat malam merupakan sunnah yang sangat dianjurkan. Bahkan mengamalkannya adalah termasuk ciri-ciri orang-orang yang bertakwa.
Hal ini sebagaimana yang dijelaskan dalam firman Allah SWT:
إِنَّ الْمُتَّقِينَ فِي جَنَّاتٍ وَعُيُونٍآخِذِينَ مَا آتَاهُمْ رَبُّهُمْ ۚ إِنَّهُمْ كَانُوا قَبْلَ ذَٰلِكَ مُحْسِنِينَ كَانُوا قَلِيلًا مِّنَ اللَّيْلِ مَا يَهْجَعُونَ وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ وَفِي أَمْوَالِهِمْ حَقٌّ لِّلسَّائِلِ وَالْمَحْرُومِ
“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada di dalam taman-taman (Syurga) dan di mata air-mata air, sambil mengambil apa yang diberikan kepada mereka oleh Rabb mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik; Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam; Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun (kepada Allah). Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian.” [TMQ Adz-Dzaariyaat (51): 15-19]
Bahkan solat malam juga lebih dianjurkan pada bulan Ramadhan sebagaimana yang disampaikan dalam hadis berikut:
Dari Abu Hurairah r.anhu dia berkata, “Rasulullah SAW menganjurkan solat malam pada bulan Ramadhan tanpa memberi perintah yang mewajibkan. Lalu beliau bersabda: مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيْمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ. “Barangsiapa solat malam pada bulan Ramadhan dengan keimanan dan mengharapkan pahala dari Allah, nescaya diampunilah dosa-dosanya yang telah lampau.” [Muttafaq ‘alaihi].
Justeru itu, marilah kita ambil kesempatan di bulan Ramadhan yang telah dijanjikan pahala berganda ini, dengan menghidupkan setiap malamnya dengan pelbagai ibadah dan amalan kebaikan. Baik solat sunat mahupun berzikir, membaca dan mentadabbur al-Quran, menuntut ilmu dan sebagainya. Mudah-mudahan usaha kita menghidupkan malam-malam Ramadhan ini mendapat keredhaan Allah swt, mengukuhkan keimanan kita pada Allah swt, sekaligus mendidik diri kita agar istiqamah dalam ketaatan, serta bertambah ketakwaan pada Allah SWT.