Penulis: Arief B. Iskandar
Solat malam (solat terawih) adalah salah satu ibadah yang dilakukan oleh umat Islam di bulan Ramadhan di samping berpuasa, membaca Al-Quran, berzikir dan sebagainya. Sebenarnya, selain di bulan Ramadhan, solat malam (solat tahajud) juga biasa dilakukan oleh setiap muslim, apatahlagi aktivis dakwah. Betapa pentingnya solat malam bagi seorang muslim dan aktivis dakwah sehingga Allah memerintahkannya secara langsung dalam Al-Quran [TMQ Al-Isra’ (17): 79 dan TMQ Al-Muzammil (73): 1-4]
Mengapa adanya perintah seperti ini? Allah menjawabnya secara langsung, “…sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).” [TMQ Al-Muzzammil (73):5]
Maksudnya, Allah akan memberikan amanah yang sulit, beban yang berat serta perintah-perintah yang memerlukan tekad kuat dan semangat yang tinggi. Itulah amanah yang ditolak oleh langit dan bumi kerana kedua-duanya tidak mampu untuk membawanya. Kemudian amanah itu diletakkan pada bahu manusia. Amanah itu adalah dakwah, amar makruf nahi munkar dan jihad fi Sabilillah.
Dalan pandangan Dr. Najih Ibrahim, solat malam adalah “madrasah” paling agung, tempat seorang muslim men-tarbiyah dirinya, berkenalan dengan Tuhannya serta memahami seluruh makna nama-nama Allah dan sifat-sifat-Nya. Solat malam adalah “madrasah” untuk belajar khusyuk, tunduk, merendah diri serta bertaubat kepada Allah.
Menurut beliau, ketundukan kita pada malam hari adalah kunci kebesaran kita pada siang hari. Sujud kita pada malam hari adalah jalan kemuliaan kita pada siang hari. Kekhusyukkan kita pada malam hari adalah rahsia senjata kemenangan kita atas musuh serta rahsia kejayaan kita di jalan dakwah, amar makruf nahi mungkar serta jihad fi sabilillah.
Sulaiman al-Halbi mengerjakan solat malam sebulan penuh di Masjid al-Azhar sebelum membunuh Cliber. Ketika mengerjakan solat, beliau berdoa kepada Allah dengan khusyuk agar Allah memberinya kemudahan untuk membunuh musuh-Nya. Waktu itu, Sulaiman al-Halbi hanya memiliki sebilah pisau, tidak lebih. Allah SWT memberikannya kemudahan dan akhirnya beliau berjaya membunuh Cliber, Komandan Perang Perang Perancis terkenal yang kedudukannya sedikit di bawah Napoleon.
Solahuddin Al-Ayyubi, kerana pemahamannya yang mendalam tentang Islam, beliau menyedari bahawa solat malam adalah salah satu kunci kemenangan kaum muslim atas musuh. Kerana itu, jika beliau berjalan melalui khemah anak buahnya pada malam hari dan tidak menjumpai seorang pun yang mengerjakan solat malam, beliau akan segera membangunkan dan memarahi mereka seraya berkata, “Saya risau jika kita diserang musuh malam ini, dari khemah ini!”
Begitulah pendirian Salahuddin Al-Ayyubi. Beliau menganggap tidak adanya solat malam adalah celah yang lebih berbahaya daripada daripada celah pada benteng sehingga musuh boleh menyerang dari celah-celah tersebut.
Sejak permulaan jihad, sehinggalah tiba masanya berjumpa dengan Allah, Khalid bin Walid dan sahabat-sahabatnya mengerjakan solat malam selama berjam-jam dan membaca Al-Quran sehingga beliau teresak-esak menangis dan menyebabkan yang lain juga turut menangis. Siapa pun yang pernah berinteraksi dengan mereka saat itu akan berkata, “Khalid dan rakan-rakannya seperti para malaikat dalam wujud manusia.” Mungkin saja, di samping sebab-sebab lain, inilah salah satu kunci kejayaan jihad Khalid bin Walid.
Ada seorang ulama aktivis Islam yang tidak pernah meninggalkan solat malam walau satu malam pun. Setiap malam beliau mengerjakan solat malam sebanyak sebelah rakaat dan mengkhatamkan Al-Quran. Beliau meningkatkan frekuensi ibadahnya apabila tiba bulan Ramadhan. Walaupun telah lanjut usia serta mengidap kencing manis dan beberapa penyakit lain, tetapi orang-orang yang lebih muda kelihatan lebih penat jika mereka solat di belakangnya. Bahkan ada di antara mereka yang tidak mahu lagi solat di belakangnya dan itu adalah realiti yang terjadi.
Seorang generasi salaf berkata, “Aku gembira jika malam menjelma. Hidupku terasa nikmat kerananya dan mataku terhibur dengannya, kerana aku dapat bermunajat kepada Zat yang aku sangat suka mengabdikan diri dan tunduk di hadapan-Nya.”
Setiap aktivis Islam perlu menyedari bahawa kekhusyukkan dan ketundukannya kepada Allah pada malam hari akan membuka pintu kejayaan di jalan dakwah. Solat malam akan memberi kita semangat baru untuk beramal demi Islam dan bekalan yang agung iaitu tawakal kepada-Nya. Ia jua memberikan kita keberanian untuk melawan musuh-musuh Islam. Solat malam akan membuatkan hati kita kuat dan iman kita subur.
Sebahagian orang mungkin berkata, “Saya sibuk menangani banyak agenda dakwah dan tidak ada waktu lagi untuk solat malam.”
Untuk mereka, Dr. Najih Ibrahim memberikan nasihat, “Solat malam adalah salah satu amal demi Islam. Ia adalah salah satu sarana efektif dalam mewujudkan kejayaan gerakan dakwah dan tegaknya Daulah Islam.”
Jika seluruh kader dakwah mengerjakan solat malam secara rutin dalam keadaan apa pun, saat senang ataupun susah, saat lapang mahupun sibuk, insya Allah gerakan dakwah akan meraih kejayaan besar.
Setiap aktivis Islam perlu sentiasa ingat kata-kata Khalifah Umar al-Khattab ra, “Jika aku banyak tidur pada malam hari, bererti aku mensia-siakan diriku. Jika aku tidur pada siang hari, bermaksud aku menelantarkan rakyatky.”
Khalifah Umar al-Khattab memang terkenal sebagai seorang yang rajin mengerjakan solat malam sedangkan sebagai pemimpin negara, kesibukan beliau pastinya luar biasa. Begitu besarnya perhatian beliau terhadap solat malam sehingga banyak Sahabat yang mencontohinya.
Penerusnya, Khalifah Uthman bin Affan ra. pula biasa mengkhatamkan Al-Quran dalam tempoh satu malam dan perkara itu beliau lakukan saat mengerjakan solat malam! Kisah beliau juga banyak disebutkan dalam hadis-hadis sahih.
Rasulullah SAW sendiri yang sangat sibuk menguruskan urusan umat, berdakwah dan berjihad melawan musuh-musuh Islam sepanjang hidupnya, mendidik para Sahabat dan umat Islam, tetap mengerjakan solat malam sebelas rakaat setiap malam. Wajarlah jika Baginda, para Sahabat dan generasi salafussoleh setelah mereka meraih kedudukan terpuji di dunia dan juga sudah pasti di akhirat. Itu adalah janji Allah kepada mereka yang rajin menunaikan solat malam [TMQ Al-Isra’ (17): 79]
Sumber : https://muslimahnews.net/2022/04/07/3973/