Abdullah Ibnu al-Mubarak rahimahulLaah adalah salah seorang ulama besar yang lahir pada 118 H. Putera dari Al-Mubarak bin Wadhih ini bukan setakat amat luas ilmunya, tetapi juga sangat mulia akhlaknya.
Salah satu akhlak beliau yang menonjol adalah keikhlasannya yang luar biasa. Beliau selalu berusaha menyembunyikan amal kebaikannya dari penglihatan manusia (Ibn ‘Asakir, Târîkh Dimasyqi,38/240).
Contohnya, sebagaimana diceritakan oleh Muhammad bin Isa, suatu hari Ibnu al-Mubarak pernah berjumpa dengan seorang pemuda. Beliau lalu menyampaikan hadis kepada pemuda tersebut. Setelah itu beliau pergi.
Setelah beberapa hari, Ibnu al-Mubarak hendak menjumpai pemuda itu untuk kedua kalinya. Namun, beliau sudah tidak melihat anak muda itu lagi. Ibnu al-Mubarak bertanya perihal anak muda tersebut kepada seseorang. Orang itu berkata kepada beliau bahawa pemuda itu menanggung hutang sebanyak 10 ribu dirham.
Lalu Ibnu al-Mubarak meminta dipertemukan dengan orang yang telah memberi pinjaman kepada pemuda tersebut. Setelah bertemu, Ibnu al-Mubarak segera membayarkan hutang pemuda tersebut sebanyak 10 ribu dirham kepada orang itu. Beliau berpesan agar orang itu tidak perlu bercerita kepada siapapun, termasuk kepada pemuda tersebut, tentang hal ini selama beliau masih hidup.
Setelah beberapa hari Ibnu al-Mubarak menemui anak muda itu dan bertanya kepada dia, “Anak muda, ke mana engkau pergi? Beberapa hari ini aku tidak melihatmu.”
Dia menjawab, “Abu Abdurrahman, saya terbeban hutang. Lalu saya diadukan oleh pemilik hutang itu hingga aku dipenjara. Namun, seseorang telah datang membayarkan hutangku hingga aku bebas dari penjara. Aku tidak tahu siapa orang itu.”
Al-Mubarak berkata, ”Alhamdulillah. Segenap pujian hanya milik Allah.”
Diceritakan, anak muda itu baru mengetahui orang yang telah membayar hutangnya setelah Ibn al-Mubarak meninggal dunia (Ibn’ Asakir, Târikh Dimasyqi, 38/350).
Demikianlah keagungan akhlak Imam Abdullah ibnu al-Mubarak. Salah satunya adalah keikhlasannya yang luar biasa. Semoga kita dapat meneladani beliau. Aamiin.
Wa maa tawfiiqii illaa bilLaah ‘alayhi tawakkaltu wa ilayhi uniib.[]
Hikmah Ramadhan:
قال *النووي* رحمه الله: *يُسْتَحَبُّ لِلصَّائِمِ أَنْ يَدْعُوَ فِي حَالِ صَوْمِهِ بِمُهِمَّاتِ الْآخِرَةِ وَالدُّنْيَا لَهُ وَلِمَنْ يُحِبُّ وَلِلْمُسْلِمِين* (النووي، المجموع، ٦/ ٣٧٥).
Imam an-Nawawi rahimahulLaah berkata: “Disunnahkan orang yang berpuasa untuk banyak berdoa seputar ragam perkara penting dalam urusan akhirat mahupun dunianya; baik untuk dirinya, orang-orang yang dia cintai mahupun kaum Muslim.” (an-Nawawi, Al-Majmuu’, 6/375).