Terkait berdoa bagi ornag orang berpuasa, terdapat beberapa dalil menerangkan doa orang yang berpuasa adalah mustajab di sisi Allah swt. Antaranya seperti berikut:
Daripada Abdullah bin ‘Amr RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ لِلصَّائِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ لَدَعْوَةً مَا تُرَدُّ
“Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika dia berbuka doa yang tidak akan ditolak”. [HR Ibn Majah (1753)]
عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- ثَلاَثَةٌ لاَ تُرَدُّ دَعْوَتُهُمُ الإِمَامُ الْعَادِلُ وَالصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ
Dari Abu Hurairah, dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Ada tiga doa yang tidak tertolak: (1) doa pemimpin yang adil, (2) doa orang yang berpuasa sampai dia berbuka, (3) doa orang yang terzalimi.” (HR. Tirmidzi no. 3595, Ibnu Majah no. 1752)
Daripada Abdullah bin ‘Amr RA berkata bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda:
لِلصَّائِمِ عِنْدَ إِفْطَارِهِ دَعْوَةٌ مُسْتَجَابَةٌ
“Bagi orang yang berpuasa ketika dia berbuka doa yang mustajab”. [Lihat: Musnad Abi Daud al-Thoyalisi (2376)]
Rasulullah SAW bersabda,
إِنَّ لِلّهِ فِى كُلِّ يَوْمٍ عِتْقَاءَ مِنَ النَّارِ فِى شَهْرِ رَمَضَانَ ,وَإِنَّ لِكُلِّ مُسْلِمٍ دَعْوَةً يَدْعُوْ بِهَا فَيَسْتَجِيْبُ لَهُ
”Sesungguhnya Allah membebaskan beberapa orang dari api neraka pada setiap hari di bulan Ramadhan,dan setiap muslim apabila dia memanjatkan doa maka pasti dikabulkan.” [HR. Al Bazaar, dari Jabir bin ‘Abdillah]
Justeru jelaslah bahawa orang yang berpuasa memiliki kedudukan yang istimewa yang menjadikan doa mereka mustajab. Apatah lagi berpuasa Ramadhan. Maka, wajarlah kita mengambil kesempatan dibulan penuh berkah ini, untuk berpuasa dengan bersungguh-sungguh sembari memperbanyakkan berdoa, apa pun hajat kita, dengan harapan ia akan dikabulkan. Sudah pasti, inilah detik untuk kita memohon keampunan dari Allah swt dan keselamatan dari neraka. Malah, amat merugikan bagi orang yang mengabaikan sunnah ini untuk meraih waktu paling berkah berdoa, yang disediakan oleh Allah swt Yang Maha Pemurah kepada hamba-Nya.
Wallahu`alam