[Penjelasan Lengkap]
Pasukan penyusun: M. Shiddiq Al Jawi, Yuana Ryan Tresna dan Abdurrahman al-Khaddami
Hari raya Aidilfitri merupakan salah satu syiar dalam Islam dan simbol persatuan umat Islam. Oleh kerana itu, permulaan awal dan pengakhiran Ramadhan bukan hanya masalah ibadah, tetapi ia juga adalah syiar Islam.
Di satu sisi, penentuan jatuhnya hari raya Aidilfitri merupakan masalah cabang dalam masalah fikih, tetapi di sisi lain kerana ia adalah syiar, maka kesatuan umat Islam di seluruh penjuru dunia menjadi sangat penting.
Dalam konteks ini, seluruh umat Islam wajib menyambut hari raya secara serentak. Dalam sistem Khilafah, semua wajib tunduk pada keputusan Khalifah. “Keputusan Imam akan menghapuskan segala bentuk perbezaan pendapat,” begitulah kaedah fikihnya.
Mengenai dalil paling kuat dalam penentuan awal dan akhir Ramadhan adalah dengan rukyatul hilal (melihat anak bulan) secara global (‘alamiyyah).
Penentuan Permulaan dan Akhir Ramadhan Berdasarkan Rukyatul Hilal
Kami memandang bahawa penentuan awal bulan Qamariyyah (kalendar Hijriah) hanya dilakukan dengan rukyatul hilal (melihat bulan baru) dari suatu tempat di muka bumi secara langsung.
Dengan kata lain, penentuan awal bulan Qamariyyah tidak dapat berdasarkan pada hisab (al-hisab al-falaki). Dalam hal ini, memang ada ikhtilaf di kalangan ulama iaitu antara kaedah rukyatul hilal dengan kaedah hisab.
Di kalangan yang mengadopsi rukyatul hilal sendiri ada perbezaan adakah mereka memperhatikan perbezaan mathla’ (rukyat tempatan) atau tidak memperhatikan perbezaan mathla’ (rukyat global). Ikhtilaf dalam perkara ini merupakan ikhtilaf yang muktabar (diakui/berwibawa).
Mengapa kita berpegang pada rukyatul hilal dan bukan hisab? Kerana, sebab syarie (al-sabab al-syarie) untuk berpuasa dan berhari raya tiada lain adalah “rukyatul hilal bil ‘ain” (melihat bulan sabit dengan mata), sesuai dengan hadis-hadis Nabi saw.
Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah saw bersabda,
صوموا لرؤيته وأفطروا لرؤيته
“Berpuasalah kamu kerana melihat dia (hilal) dan berbukalah kamu kerana melihat dia (hilal).” (HR. al-Bukhari, Muslim, al-Tirmidzi, al-Nasa’i).
Dari Ibnu Umar radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah saw bersabda,
إذا رأيتموه فصوموا، وإذا رأيتموه فأفطروا، فإن غُمَّ عليكم فاقدروا له
“Jika kamu melihat dia (hilal) maka berpuasalah kamu dan jika kamu melihat dia (hilal) maka berbukalah, jika pandangan kamu dihalang kerana mendung maka perkirakanlah (genapkanlah).” (HR al-Bukhari, Muslim, al-Nasai, dan Ahmad).
Hadis-hadis di atas mempunyai pengertian yang jelas, bahawa sebab syarie untuk puasa Ramadhan dan Aidilfitri tiada yang lain hanyalah rukyatul hilal. (Muhammad Husain Abdullah, Mafahim al-Islamiyyah, Juz II, hlm. 157).
Dan rukyatul hilal yang dimaksudkan dalam pandangan kami, bukanlah rukyat tempatan yang berlaku untuk satu mathla’ (seperti dalam mazhab Syafie), melainkan rukyat yang berlaku di seluruh dunia, dalam erti rukyatul hilal di salah satu negara Islam berlaku untuk umat Islam di negara-negara lain di seluruh penjuru dunia (seperti dalam mazhab jumhur, iaitu mazhab Hanafi, Maliki, dan Hambali). (Wahbah al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Juz II, hlm. 605).
Pandangan ini selaras dengan Imam al-Syaukani dalam persoalan ikhtilaful mathali’ (perbezaan mathla’), di mana Imam Syaukani menguatkan pendapat jumhur dengan mengatakan,
والأمر الوارد في حديث ابن عمر، لا يختص بأهل ناحية على جهة الانفراد، بل هو خطاب لكل من يصلح له من المسلمين، فالاستدلال به على لزوم رؤية أهل بلد لغيرهم من أهل البلاد، أظهر من الاستدلال به على عدم اللزوم؛ لأنه إذا رآه أهل بلد، فقد رآه المسلمون، فيلزم غيرهم ما لزمهم.
“Perintah yang terdapat dalam hadis Ibnu Umar [idza raiytumuuhu…] tidaklah dikhususkan untuk penduduk satu daerah secara terpisah, melainkan merupakan khithab (perintah/seruan) bagi siapa saja yang layak menerima khithab itu dari umat Islam. Maka beristidlal dengan hadis ini untuk mengharuskan proses rukyat kepada penduduk negara yang lain, adalah lebih kuat daripada beristidlal dengan hadis ini untuk tidak mengharuskannya. Sebabnya adalah jika penduduk suatu negara telah melihat hilal, bererti umat Islam telah melihatnya, maka berlakulah rukyat bagi umat Islam seperti yang berlaku pada penduduk suatu negara itu.” (Imam al-Syaukani, Nail al-Authar, 4/195, dikutip oleh Wahbah al-Zuhaili, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, Juz II hlm. 609).
Setelah mengutip tarjih Imam al-Syaukani di atas, Wahbah Al-Zuhaili juga menguatkan pelaksanaan rukyat global (pendapat jumhur) sebagai berikut:
وهذا الرأي (رأي الجمهور) هو الراجح لدي توحيداً للعبادة بين المسلمين، ومنعاً من الاختلاف غير المقبول في عصرنا، ولأن إيجاب الصوم معلق بالرؤية، دون تفرقة بين الأقطار.
“Pendapat ini (iaitu pendapat jumhur) adalah lebih kuat (rajih) menurut saya, kerana akan dapat menyatukan ibadah di antara umat Islam, dan akan dapat mencegah perbezaan yang tidak dapat diterima pada zaman kita sekarang. Dan juga kerana kewajipan puasa berkaitan dengan rukyat, tanpa membezakan negara-negara yang ada.” (Wahbah al-Zuhaili, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, juz II hlm. 609)
Inilah pendapat yang dipegang dari kalangan Hanafiyyah, Imam Malik, al-Laits bin Sa’ad, Imam al-Syafie, sebahagian kecil kalangan Syafieyyah seperti Abu Thayyib, Imam Ahmad, juga pendapat Ibnu Taymiyah dan Imam al-Syaukani dari kalangan ahli tahqiq.
Selain Majma’ al-Buhuts al-Islamiah, di Mesir pada tahun 1966 M, Majlis Fatwa al-A’la di Palestin juga mengeluarkan keputusan yang menguatkan penerimaannya tentang pandangan kesatuan mathla’ tersebut. (Mahmud ‘Abd al-Lathif ‘Uwaidhah, al-Jami’ li Ahkam al-Shiyam, hlm. 40).
Mengenai pendapat muktamad dalam mazhab Syafie, jika terbukti ada rukyat di suatu negara, rukyat ini hanya berlaku untuk daerah-daerah yang terdekat, iaitu yang masih satu mathla, dengan kriteria satu mathla adalah jarak 24 farsakh atau daerah sejauh 133 km. Manakala negara-negara yang jauh (di atas 133 km), tidak terikat dengan rukyat yang terbukti di negara tersebut. (Wahbah al-Zuhaili, Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Juz II hlm. 605).
Pendapat mazhab Syafie tersebut berdasarkan pada hadis Kuraib, yang menjelaskan bahawa Ibnu Abbas di Madinah tidak berpegang dengan rukyat Muawiyah di Syam. Hadisnya seperti berikut:
أن أم الفضل بعثته إلى معاوية بالشام، فقال: فقدمتُ الشام، فقضيت حاجتها، واستُهلَّ علي رمضان ُ وأنا بالشام، فرأيت الهلال ليلة الجمعة، ثم قدمتُ المدينة في آخر الشهر، فسألني عبد الله بن عباس، ثم ذكر الهلال، فقال: متى رأيتم الهلال؟ فقلت: رأيناه ليلة الجمعة، فقال: أنت رأيتَه؟ فقلت: نعم، ورآه الناس وصاموا، وصام معاوية، فقال: لكنا رأيناه ليلة السبت، فلا نزال نصوم حتى نُكْمِل ثلاثين أو نراه، فقلت: ألا نكتفي برؤية معاوية وصيامه؟ فقال: لا، هكذا أمَرَنا رسول الله صلّى الله عليه وسلم
Bahawa Ummu Fadhl telah mengutuskan dia (Kuraib) kepada Muawiyah di Syam. Dia berkata, “Maka aku tiba di Syam dan menyesuaikan keperluan Ummu Fadhl. Ramadhan tiba dan saya ada di Syam. Saya melihat hilal pada malam Jumaat. Kemudian saya tiba di Madinah pada akhir bulan Ramadhan, lalu Ibnu Abbas bertanya kepadaku, lalu dia menyebut masalah hilal. Dia bertanya, “Bilakah kamu melihat hilal?” Saya menjawab, “Kami melihatnya pada malam Jumaat.” Dia bertanya, “Kamu melihatnya sendiri?” Saya menjawab,
“Ya. Orang lain juga melihatnya lalu mereka berpuasa dan Muawiyah juga berpuasa.” Ibnu Abbas berkata, “Tetapi kami melihatnya pada malam Sabtu. Maka kami terus berpuasa sehingga kami sempurnakan 30 hari atau sehingga kami melihat hilal.” Saya berkata, “Tidakkah kita mencukupkan diri dengan rukyat dan puasanya Muawiyah?” Ibnu Abbas menjawab, “Tidak, demikianlah Rasulullah saw memerintahkan kita.” (HR Muslim).
Menurut mazhab Syafie, Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu yang mengikuti rukyat Madinah dan tidak mengikuti rukyat Syam, iaitu dengan mengatakan: “Tidak, demikianlah Rasulullah saw memerintahkan kita” menjadi dalil bahawa setiap negara mempunyai rukyat sendiri dan rukyat suatu negara tidak berlaku untuk negara lain, li ikhtilaf mathali (kerana ada perbezaan mathla’).”
Jika diteliti, kata-kata Ibnu Abbas tersebut (“Tidak, demikianlah Rasulullah memerintahkan kita”), bukanlah hadis marfu’ (dari Nabi saw), melainkan ijtihad peribadi dari Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu. (Wahbah al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Juz II hlm. 608-609, ketika memetik pendapat imam al-Syaukani).
Itulah yang dapat kita fahami dari penjelasan kitab Nail al-Authar, ‘Aun al-Ma’bud dan al-Minhaj Syarah Shahih Muslim. Sedangkan ijtihad para sahabat Nabi bukanlah dalil syarie yang muktabar (sumber hukum yang dapat diterima), kerana dalil syarie yang muktabar hanyalah al-Quran, Sunnah, Ijmak Sahabat dan Qiyas.
Jadi kesimpulannya, pendapat yang dipilih dalam penentuan awal bulan Qamariyyah adalah berpegang dengan rukyatul hilal global, bukan hisab dan bukan rukyatul hilal tempatan.
Kedudukan Hadis Kuraib dan Menguji Ketetapan Ukuran Mathla’
Sebenarnya apakah kedudukan Hadis Kuraib dan adakah hadis Kuraib dapat dihukum oleh marfu’ hukman, kerana mengandungi shigat marfu’?
Hadis yang dimaksud adalah seperti berikut:
أن أم الفضل بعثته إلى معاوية بالشام، فقال: فقدمتُ الشام، فقضيت حاجتها، واستُهلَّ علي رمضان ُ وأنا بالشام، فرأيت الهلال ليلة الجمعة، ثم قدمتُ المدينة في آخر الشهر، فسألني عبد الله بن عباس، ثم ذكر الهلال، فقال: متى رأيتم الهلال؟ فقلت: رأيناه ليلة الجمعة، فقال: أنت رأيتَه؟ فقلت: نعم، ورآه الناس وصاموا، وصام معاوية، فقال: لكنا رأيناه ليلة السبت، فلا نزال نصوم حتى نُكْمِل ثلاثين أو نراه، فقلت: ألا نكتفي برؤية معاوية وصيامه؟ فقال: لا، هكذا أمَرَنا رسول الله صلّى الله عليه وسلم
Para ulama berbeza pendapat apakah mauquf atau marfu’ hukman. Benar sighat:
هكذا أمَرَنا رسول الله صلّى الله عليه وسلم
Adalah indikasi itu marfu’ hukman. Tetapi itu bukan satu-satunya indikasi. Perbezaannya dengan dalil-dalil umum berkaitan dengan perintah rukyat membawa kepada kesimpulan daripada sebahagian ulama bahawa itu adalah ijtihad Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu.
Jadi bagaimana jika terdapat keraguan antara mauquf dan marfu’ hukman? Maka menurut pendapat yang lebih kuat, yang dimenangkan adalah mauquf. Itulah minhaj Imam Malik yang diikuti Imam Syafie.
Penjelasan berikut dalam kitab Ma’rifatus Sunan wal Atsar, Jilid 1, hlm. 287:
قال محمد بن إسحاق في غير هذه الرواية : ويشبه أن يكون مالك قد كان يحدث به مرفوعا ثم شك في رفعه ، يعني فيقفه ، كما قال الشافعي : كان مالك إذا شك في الشيئ انخفض ، والناس إذا شكوا في الشيئ ارتفعوا
Jika itu marfu’ kemudian meragui akan kemarfua’annya, apalagi yang secara zahir mauquf yang kemudiannya meragui apakah marfu’ hukman atau tidak.
Itulah di antara sebab mengapa kami menguatkan pendapat bahawa hadis Kuraib adalah mauquf dan tidak boleh dihukum oleh marfu’.
Menurut Imam al-Baihaqi dalam Ma’rifah aa-Sunan wa al-Atsar (juz 6, hlm. 303-304), hadis Kuraib dapat di-jama’ dengan Hadis Amir Mekah bahawa penolakan Ibnu Abbas radhiyallahu anhuma terjadi kerana bersifat tafarrud (menyendiri), sedangkan hilal al-fithr disyaratkan ada 2 (dua) orang saksi yang adil, bergantung pada hadis Amir Mekah.
Jadi yang apa yang dimaksudkan oleh Imam al-Baihaqi (وقد روينا عن النبي صلى الله عليه وسلم: أنه عهد إليهم إذا لم يروا الهلال وشهد شاهدا عدل أن ينسكوا) ialah hadis Amir Mekah yang disebutkan sebelum pembahasan Hadis Kuraib.
Demikian juga Imam al-Khaththabi, seperti yang dikutip dalam Ma’alim as-Sunan (juz II, hlm.101), beliau menjelaskan hadis Kuraib dengan memetik penukilan Imam Ibn Mundzir, rujukan mengenai ijmak dan ikhtilaf, kemudian melanjutkannya dengan pembahasan hadis yaum al-syakk dan hadis amir Mekah yang memfokuskan pada mekanisme penerimaan hilal al-fithr.
Pada dasarnya Imam al-Khaththabi setuju dengan syarat 2 (dua) orang saksi untuk penerimaan hilal al-fithr, yang bermaksud berdasarkan corak pemikiran tersebut, Imam al-Khaththabi bersetuju dengan pemahaman Imam Abu al-Thayyib terhadap Hadis Kuraib.
Dengan memetik pendapat Imam Ibnu Mundzir, seolah-olah mengisyaratkan bahawa beliau “setuju” bahawa Imam al-Syafie sepakat dengan pendapat sebahagian besar ulama, yakni (إذا ثبت بخبر الناس أن أهل بلد من البلدان قد رأوه قبلهم فعليهم قضاء ما أفطروه).
Ukuran jarak mathla’ adalah 24 farsakh atau sekitar 133 KM. Ukuran yang ditetapkan oleh ulama fikih ini tidak konsisten dijalankan pada masa sekarang.
Perbezaan mathla’ dalam hadis Kuraib itu konteksnya adalah dalam satu negara (internal negara khilafah antara Madinah dan Syam pada masa itu). Tetapi mengapa sekarang diterapkan dalam bentuk bahawa satu negara adalah satu mathla’? Contohnya Aceh dan Papua dianggap satu mathla’, walaupun jaraknya lebih jauh dari jarak antara Madinah dan Syam.
Pada masa itu, status sahabat Muawiyah adalah sebagai pemerintah. Hari ini, setelah konsep negara bangsa yang “dirasmikan” di dunia Islam dengan Syikes-Picot Agreement, ukuran jarak mathla’ sudah jauh menyimpang dari ukuran yang dibincangkan oleh ulama fikih dalam mazhab Syafie.
Sebenarnya para fukaha al-Syafieyyah sendiri berbeza pendapat dalam penentuan permulaan kalendar bulan Qamariyyah, terutama Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah seperti berikut:
- Ditentukan berdasarkan “hisab al-manazil” (kiraan astronomi) bagi mereka yang mempunyai kepakaran mengenainya, dipetik dari Imam al-Qadhi Abu al-‘Abbas Ahmad ibn Umar ibn Suraij al-Baghdadi murid Imam Abu al-Qasim al-Anmathi (murid dari Imam al-Muzanni dan Imam al-Rabi’), sebagaimana disebutkan oleh Imam an-Nawawi dalam al-Majmu dan Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Barî;
- Ditentukan berdasarkan “rukyatul hilal al-mahaliyyah” (pemerhatian hilal setempat), dipetik dari jumhur al-Syafieyyah dan merupakan pilihan Imam al-Rafi’i dan Imam an-Nawawi sehingga menjadi “qaul muktamad”, tetapi terdapat perbezaan pendapat mengenai ukuran jarak jauh dan dekat yang berkaitan dengan terikat atau tidak sebuah negara dengan negara yang lain, seperti berikut:
- Menurut fukaha ‘Iraqiyyun (di antaranya Imam Abu Ishaq al-Syairazi), Imam ash-Shaidalani, dan yang lain, disesuaikan dengan mathla’, yakni tempat munculnya hilal, sehingga Hijaz dan Irak dianggap berbeza sedangkan Kufah dan Baghdad dianggap sama; pendapat ini dipilih oleh Imam Yahya ibn Syaraf an-Nawawi;
- Menurut fukaha Khurasaniyyun, di antaranya Imam al-Faurani, Imam al-Haramain, Imam al-Ghazzali, dan Imam al-Baghawi, disesuaikan dengan ukuran jarak yang diperbolehkan qasar. Pendapat ini dipilih oleh Imam Abdul Karim ibn Muhammad al-Rafi’i;
- Menurut Imam ash-Shaimari, disesuaikan dengan ukuran unit iklim (pulau),
- Ditentukan berdasarkan rukyatul hilal al-‘alamiyyah (pemerhatian hilal secara global), dipetik dari Imam al-Qadhi Abu al-Thayyib Thahir ibn Abdullah al-Thabari (guru dari Imam Abu Ishaq al-Syairazi), Imam Abu ‘Ali al-Sinji, dan lain-lain.
Perbezaan pendapat mengenai hasil pengamatan hilal adakah berlaku secara tempatan atau global, merupakan ikhtilaf yang muktabar di kalangan ulama al-Syafieyyah.
Seperti yang disebutkan oleh Imam al-Haramain dalam Nihayah al-Mathlab, Imam al-Mawardi dalam al-Hawi al-Kabir, Imam al-Rafi’i dalam Fath al-‘Aziz syarh al-Wajiz, Imam an-Nawawi dalam al-Majmu’ syarh al-Muhadzdzab, dan Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari syarh Sahih al-Bukhari.
Saya katakan: bahawa perbezaan pendapat mengenai masalah ini di dalaman mazhab Syafie adalah perkara yang faktual terjadi. Sebahagian ulama yang tidak berpegang pada pendapat muktamad bukan tanpa alasan, mereka melihat ada fakta yang berkembang atau dalil yang lebih kuat. Seperti ukuran/jarak mathla’ juga menjadi perkara yang diperselisihkan.
Tanggapan terhadap Kaedah Hisab
Kami menganggap bahawa hisab tidak dapat digunakan untuk menetapkan awal bulan Qamariyyah, terutama dalam masalah ibadah puasa Ramadhan, hari raya Aidilfitri, dan Aidiladha.
Allah telah menuntut kita untuk berpuasa dan berbuka (berhari raya) berdasarkan rukyatul hilal dan Allah subhanahu wa taala telah menjadikan rukyatul hilal sebagai sebab syarie bagi pelaksanaan puasa dan hari raya.
Rasulullah saw bersabda:
صوموا لرؤيته وأفطروا لرؤيته
“Berpuasalah kamu kerana melihat dia (hilal) dan berbukalah kamu kerana melihat dia (hilal).” (HR Bukhari; Muslim; al-Tirmidzi; dan al-Nasa`i).
Contohnya jika kita tidak dapat melihat hilal Syawal kerana ditutup dengan awan, maka kita akan menyempurnakan puasa sehingga 30 hari, walaupun kata hilal sebenarnya sudah berbentuk secara faktanya.
Pendapat bahawa hisab tidak dapat dijadikan syarat penentuan awal bulan Qamariyyah ini adalah pendapat jumhur ulama, yakni jumhur ulama Hanafiyah, Malikiyah, Syafiiyah, dan Hanabilah.
Lihat pandangan ulama mazhab Hanafi dalam al-Mabsuth, 3/85; Hasyiyah Ibnu Abidin, 3/316-7; pandangan ulama mazhab Maliki dalam Al-Isyraf, 1/425; Al-Istidzkar, 3/287, Mawahib Al-Jalil, 3/289; pandangan ulama mazhab Syafie dalam al-Majmu’, 6/289-290; Raudhah al-Thalibin, 2/210-211; pandangan ulama mazhab Hanbali dalam al-Mughni, 4/338. (Dipetik dari Abdul Majid bin Abdullah bin Ibrahim Al-Yahya, Atsar al-Qamarain fi al-Ahkam al-Syar’iyyah, hlm. 154).
Memang ada pendapat dari sebahagian ulama yang membenarkan hisab sebagai penentu awal bulan Qamariyyah, seperti pendapat Muthrif bin Abdullah al-Syakhir (tabi’in), juga pendapat Ibnu Suraij (ulama mazhab Syafie), Ibnu Qutaibah, Syeikh Muhyiddin Ibnul Arabiy, dan lain-lain. (Lihat al-Baghdadi, Abdurrahman, Umatku Saatnya Bersatu Kembali: Telaah Kritis Perbezaan Awal dan Akhir Ramadhan, (Jakarta: Insan Citra Media Utama), 2007, hlm. 60-61).
Dalil untuk pendapat ini antara lain ialah sabda Nabi saw: “faqduru lahu” (perkirakanlah hilal ketika tidak terlihat), maksudnya adalah “perkiraan dengan ilmu hisab.”
Kerana menurut Ibnu Suraij seperti yang dikutip oleh Ibnu Aal-rabi, khithab tersebut adalah khusus untuk orang yang menguasai ilmu ini (hisab).
Sementara sabda Nabi “fa-akmilu al-iddah” (sempurnakanlah bilangan) adalah khithab umum bagi orang awam. (Lihat Yusuf al-Qaradhawi, Fiqh Ash-Shiyam, (Kairo : Dar Ash-Shahwah), 1992, hlm. 26.)
Pada pendapat kami adalah tidak tepat. Alasannya, sabda Nabi “perkirakanlah” (faqdurulah), maksudnya yang tepat bukan “hitunglah dengan ilmu hisab”, tetapi “sempurnakan bilangannya sehingga 30 hari.”
Memang hadis ini mujmal (bermaksud global), sehingga dapat ditafsirkan seperti itu. Namun terdapat hadis lain yang mubayyan (mufassar), yang bermaksud bahawa terang/jelas sehingga dapat menjelaskan maksud hadis yang mujmal.
Maka yang mujmal (faqdurulah), mesti dimaksudkan berdasarkan hadis yang mubayyan. Akibatnya, hadis faqdurulah adalah bermaksud fa-akmilu al-iddah (sempurnakanlah bilangan bulan), bukan fahsubuu (hisab).
Walaupun tidak menggunakan perhitungan (hisab) untuk penentuan awal bulan Qamariyyah, namun kami berpendapat bahawa perhitungan dapat dipergunakan untuk tujuan ibadah yang lain, seperti penentuan waktu solat. Ini kerana terdapat perbezaan antara puasa dengan solat.
Jika puasa dikaitkan dengan rukyatul hilal sebagai penyebab, maka solat dikaitkan dengan “masuknya waktu” sebagai sebab, di mana “masuknya waktu” itu dapat dilaksanakan dengan pelbagai cara, seperti melihat bayangan benda atau dengan cara memperhitungkan.
Perlu ditambahkan juga, bahawa kami tidak bersetuju dengan pemahaman yang menyatakan bahawa hisab dapat digunakan secara terbatas, yakni hanya untuk menafikan kesaksian adanya rukyatul hilal.
Maksudnya, menurut pengertian ini, jika ada laporan kesaksian rukyatul hilal yang bertentangan perhitungan hisab, maka yang dipakai adalah hisab bukan laporan rukyat. Kerana, menurut pengertian ini, hisab adalah qathie (pasti) sedangkan kesaksian adalah zhanni (dugaan). Inilah pendapat al-Qaradhawi, yang berasal dari al-Subki dalam Fatawa al-Subki, 1/219/220.
Pendapat ini tidak diterima dengan beberapa hujah:
Pertama, kesaksian rukyatul hilal memang dapat ditolak, tetapi bukan ditolak kerana bertentangan dengan hisab, melainkan kerana saksinya tidak memenuhi syarat-syarat sebagai saksi, contohnya saksi adalah orang kafir, atau saksi itu tidak mempunyai sifat ‘adalah (alias orang fasik). Jadi, penentuan (itsbat) kefasikan saksi dilakukan hanya berdasarkan bukti-bukti syarie (al-bayyinat al-syar’iyyah), bukan berdasarkan perhitungan hisab.
Kedua, syarak telah menetapkan bahawa penentuan awal bulan Qamariyyah adalah dengan rukyatul hilal (melihat hi
lal oleh manusia di muka bumi), bukan dengan wiladatul hilal (lahirnya hilal di langit).
Pandangan di atas, yakni penggunaan hisab untuk menafikan kesaksian laporan rukyatul hilal, berpunca dari salah faham, iaitu menganggap wiladatul hilal (lahirnya hilal di langit) sebagai petunjuk bulan baru (al-syahr al-jadid).
Sedangkan, bulan baru secara syarie (bukan secara waqi’i/fakta) hanya ditetapkan berdasarkan rukyatul hilal saja, bukan berdasarkan wiladatul hilal.
Keperluan Umat terhadap Institusi Penyatuan
Kami berpendapat bahawa perbezaan dalam penentuan awal bulan Qamariyyah, seperti dalam memulai puasa dan berhari raya, tidak lain adalah salah satu masalah dari timbunan masalah yang dihadapi oleh umat Islam akibat ketiadaan negara Khilafah, sebagai institusi penyatuan umat Islam.
Dengan ketiadaan Khilafah, umat Islam berpecah belah menjadi lebih dari 50 negara bangsa (nation-state) yang masing-masing merasa berhak menentukan bila berpuasa dan bila berhari raya.
Jika Khilafah wujud kembali (dalam waktu dekat Insya-Allah), maka Khalifah yang diberi amanat untuk menjalankan hukum-hukum Allah akan dapat mengatasi perbezaan umat dalam menentukan awal bulan Qamariyyah.
Kerana jika Khalifah mengadopsi satu ijtihad dari semua ijtihad syarie yang ada, maka hanya pendapat itulah yang wajib diamalkan oleh seluruh umat Islam. Dengan demikian akan hilanglah perbezaan pendapat dan dapat mewujudkan kesatuan.
Kaedah fikih menyatakan:
أمر الإمام يرفع الخلاف في المسائل الإجتهادية
“Perintah Imam (Khalifah) menghilangkan perbezaan pendapat dalam masalah-masalah ijtihadiyah (khilafiyah).” (Muhammad Khair Haikal, al-Jihad wa al-Qital fi al-Siyasah al-Syar`iyyah, 1/105 dan 2/904)
Kesimpulan
Isu khilafiyah dalam menentukan hari raya Aidilfitri memang cukup rumit, kerana di dalamnya melibatkan sekurang-kurangnya 3 (tiga) masalah, iaitu:
(1) Masalah fikih, seperti penentuan dengan rukyat atau hisab, jika menggunakan rukyat apakah rukyat tempatan atau rukyat global, dan seterusnya; (2) Masalah ilmiah (saintifik), seperti ilmu astronomi yang berkaitan dengan rukyatul hilal; dan (3) Masalah politik, iaitu berkaitan dengan siapa pihak yang harus dipatuhi oleh umat dalam menentukan awal bulan qamariyyah.
Prinsip kita dalam beramal adalah memilih dalil yang paling kuat dan tetap berlapang dada dalam perbezaan yang masih memiliki pegangan dalil syariat, kerana hakikatnya itu adalah ikhtilaf yang muktabar.
Namun demikian, tidak kira betapa rumitnya permasalahan yang ada, usaha untuk menyatukan umat Islam dalam penentuan awal bulan Qamariyyah tidak akan berhenti dan harus dilakukan secara berterusan.
Pelbagai solusi yang ditawarkan untuk penyatuan umat, sama ada solusi jangka pendek mahupun jangka panjang, mestilah dipertimbangkan dan dikaji dengan penuh kebijaksanaan, keinsafan dan sikap berlapang dada. Semoga Allah Azza wa Jalla memudahkan urusan ini bagi umat Islam. Aamiin. Wallahu a’lam.