Penulis: Ustaz Hafidz Abdurrahman
Dalam Al-Quran, Allah SWT menceritakan bagaimana persahabatan di dunia, walaupun sangat akrab dan dekat, tetapi menjadi musuh di akhirat. Mengapa begitu?
Allah SWT menceritakan ihwal mereka kelak di akhirat,
ٱلۡأَخِلَّاۤءُ یَوۡمَئذِۭ بَعۡضُهُمۡ لِبَعۡضٍ عَدُوٌّ إِلَّا ٱلۡمُتَّقِینَ
“Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh).” [TMQ Az-Zukhruf (43): 67]
Akhilla’ adalah teman rapat, tetapi tidak semua teman rapat adalah orang yang soleh dan bertakwa. Ada juga teman rapat yang tidak soleh dan fasik.
Oleh kerana itu, mereka yang di dunia saling bersahabat, kelak di akhirat akan saling mencela, saling menyalahkan ketika mereka di hadapan Mahkamah Allah.
Ketika yang satu ditanya, “Mengapa kamu tidak solat, puasa, zakat, tidak berdakwah dan tidak taat?” Ia akan menjawab, “Aku mahu solat, tetapi si Fulan mengajak aku untuk melepak. Mahu puasa, tetapi diajak si Fulan untuk makan. Mahu berdakwah, dihalangi….”
Maka, mereka saling menimpakan kesalahannya di hadapan Allah. Mereka akhirnya sama-sama diseret ke neraka. Hal itu diceritakan dalam surah al-Baqarah,
إِذۡ تَبَرَّأَ ٱلَّذِینَ ٱتُّبِعُوا۟ مِنَ ٱلَّذِینَ ٱتَّبَعُوا۟ وَرَأَوُا۟ ٱلۡعَذَابَ وَتَقَطَّعَتۡ بِهِمُ ٱلۡأَسۡبَابُ
“(Iaitu) ketika ketua-ketua yang menjadi ikutan itu berlepas diri dari orang-orang yang mengikutnya, sedang kedua-dua pihak melihat betapa ngerinya azab seksa itu, dan (ketika) terputusnya segala hubungan di antara mereka.” [TMQ Al-Baqarah (2): 166]
Sebaliknya, persahabatan dengan orang yang soleh dan bertakwa kerana Allah dan akhirat, akan abadi. Di dunia saling membantu, menjaga dan melindungi. Di akhirat juga sama. Mereka saling memberi syafaat antara satu sama lain.
Ketika kita bersahabat dalam taat di dunia, saat nanti di syurga, kita akan mencari sahabat kita, “Di manakah dia? Aku tidak melihatnya di syurga?” Maka, dia cari. Ketika sahabatnya ada di neraka, dia akan memohon kepada Allah agar dia dikeluarkan kerana mereka dahulunya sama-sama di jalan ketaatan.
Begitulah sahabat sejati dunia akhirat. Semoga kita semuanya menjadi sahabat sejati, saling mencintai kerana Allah.