Aisyah ra adalah anak dari Abu Bakar As-Siddiq, hasil pernikahannya dengan Ummu Ruman binti Amir bin Uwaimir Al-Kinaniyah. Di rumah yang dinaungi dengan kebenaran, kejujuran, dan iman inilah Aisyah dilahirkan, tepatnya di Mekah, tujuh tahun sebelum hijrah. Aisyah termasuk orang yang dilahirkan semasa Islam. Dari keluarga yang baik inilah, Allah menempatkan Aisyah sebagai individu yang baik juga, hingga akhirnya memiliki kedudukan besar di antara perempuan Islam. Aisyah diberi julukan Ash-Shiddiqah binti Ash Shiddiq (Perempuan yang sangat jujur, puteri dari orang yang sangat jujur).
Rasulullah membangun rumah tangga bersama Aisyah binti Abu Bakar pada bulan Syawal, dua tahun setelah terjadinya Perang Badar. Aisyah merupakan seorang wanita paling fakih pada zamannya. Beliau seorang yang cerdas pemikirannya, baik akhlaknya, juga seorang yang dermawan. Beliau merupakan sosok istimewa yang diciptakan oleh Allah swt dan disatukan dengan Nabi Muhammad saw dengan 1001 hikmah buat perjalanan hidup Nabi dan Islam. Dia adalah isteri Nabi ketika di dunia dan akhirat kelak.
Aisyah ra dipilih Allah sebagai isteri Nabi Muhammad saw. Diriwayatkan dari Aisyah ra, dia berkata bahawa Rasulullah saw bersabda, “Saya bermimpi melihatmu dua kali atau tiga kali, malaikat datang membawamu pada sehelai kain sutera, lalu malaikat itu berkata kepadaku, ‘Ini adalah isterimu’. Maka saya membuka kain penutup mukamu dan ternyata engkaulah orangnya. Maka saya berkata, ‘Kalau hal ini dari Allah, maka Dia pasti akan meluluskannya.’” (HR Bukhari dan Muslim).
Begitu banyak sekali kisah dan perjalanan hidup rumah tangga Nabi dengan Aisyah serta isteri-isterinya yang lain. Kisah cemburunya Aisyah dengan isteri-isteri nabi yang lain, kisah bagaimana keadilan nabi dalam mendidik Aisyah ra walaupun Aisyah merupakan isteri yang paling dicintai nabi. Nabi tetap berlaku adil terutamanya dalam mendidik para isterinya termasuk Aisyah ra.
Pengajaran:
1. Aisyah ra menjadi rujukan umat Islam setelah kewafatan Nabi Muhammad saw hingga ke hari ini (merujuk hadis-hadis yang diriwayatkannya) kerana ketinggian ilmunya – Abu Salamah bin Abdurrahman mengatakan, “Aku tidak mengetahui seorang pun yang lebih memahami tentang sunnah Rasul yang lebih tepat pendapatnya, lebih tahu tentang ayat Al-Quran yang turun, serta lebih mengerti tentang hal-hal fardhu, selain Aisyah.” Ibnu Abdil Bar mengatakan, “Aisyah memiliki pengetahuan yang tinggi dalam bidang tafsir, hadis, fikih, juga dalam bidang perubatan, syair, dan silsilah”. Abu Bard bin Abu Musa mengisahkan dari ayahnya, “Kami para sahabat Rasul tidaklah menghadapi suatu kesulitan lantas kami tanyakan kepada Aisyah, melainkan kami mendapatkan penyelesaian yang baik darinya.” “Aku melihat guru-guru para sahabat besar bertanya kepada Aisyah tentang faraidh.” Sahabat Urwah bin Zubair berkata, “Aku tidak pernah mengetahui seorang pun yang lebih memahami tentang Al-Quran dan ketetapan-ketetapannya, tentang halal-haram, tentang syair, tentang pembicaraan dan nasab bangsa Arab selain Aisyah.” Abu Umar berkata, “Pada zamannya tidak ada seorang pun yang dapat menandingi Aisyah dalam bidang ilmu fikih, ilmu pengetahuan, dan ilmu syair.” Demikianlah Aisyah, perempuan yang paling mendalam ilmunya, sehinggakan Umar bin Khattab dan Uthman bin Affan pun biasa menghantar utusan kepadanya untuk menanyakan As-Sunnah.
2. Perkahwinan Nabi saw. dan Aisyah ra menjadi rujukan – sebagai umat Islam, adalah sesuatu yang wajar dan menjadi tuntutan ke atas kita untuk menjadikan Nabi sebagai uswatun hasanah dalam apa jua perkara termasuk perkahwinan. Menjadikan Nabi sebagai contoh lelaki/suami terbaik dalam mendidik dan menyantuni isteri. Juga menjadikan Aisyah sebagai contoh dari segi keilmuannya, kezuhudannya, kedermawanannya serta keteguhannya dalam mendakwahkan Islam dengan menyampaikan hadis-hadis Rasulullah saw kepada umat Islam.