Ulama sejati, yang diangkat statusnya menjadi pewaris para Nabi, adalah mereka yang berusaha di dunia ini untuk berjaya dalam dua perkara:
1- Rajin berusaha untuk meneliti, memperoleh dan menyebarkan ilmu-ilmu Islam.
2- Keteguhan pada kebenaran, mencari keredhaan Allah (swt) dalam ilmu mereka.
Imam Bukhari adalah salah seorang ulama sejati. Beliau tidak membatasi dirinya untuk memperoleh pengetahuan yang sangat besar di dalam agama. Pengetahuan-pengetahuan tersebut bukanlah hipotesis mahupun sesuatu yang tak praktikal. Pengetahuan-pengetahuan tersebut diperoleh dan disebarkannya, sehingga bukan hanya berguna untuk generasinya saja. Malah, ia berguna bagi umat ini hingga Hari Kiamat, dengan rahmat Allah swt.
Imam Bukhari juga merupakan sebuah contoh ketulusan yang jelas (ikhlas). Beliau tidak peduli dengan godaan yang fana di dunia ini mahupun demi menyenangkan para penguasa. Sebagai gantinya, beliau hanya mempunyai satu keperihatinan, iaitu menggapai redha Allah (swt) dengan menyerukan dan memelihara agama-Nya, sehingga agama-Nya mendominasi atas semua agama yang lain.
Imam Bukhari dilahirkan pada tahun 194 Hijrah di kota Bukhara, sekarang terletak di Uzbekistan. Namanya Muhammad manakala nama ayahnya adalah Ismail bin Ibrahim. Ayahnya juga seorang ‘alim yang belajar dengan ulama seperti Imam Malik. Namun, Imam Bukhari tidak sempat untuk mengenali ayahnya, dan juga tidak mengetahui apa-apa daripadanya kerana ayahnya meninggal dunia ketika beliau masih kecil.
Menjadi anak yatim tidak menghalangnya daripada mencari ilmu. Pada usia yang muda, beliau telah menghafal al-Quran dan juga hadis. Sebagai seorang anak muda, minatnya telah mendorongnya untuk membangunkan cara membezakan antara hadis sahih dengan hadis yang lemah. Pada usia sekitar lima belas tahun, diriwayatkan bahawa beliau telah mengumpulkan hampir semua pengetahuan tentang hadis yang wujud di Khurasan, sewaktu beliau tinggal di sana. Beliau bahkan menghafal buku-buku ulama seperti Abdullah bin al-Mubarak.
Pada usia enam belas tahun, beliau membuat perjalanan jauh dari Bukhara ke Mekah untuk menunaikan kewajipan haji, bersama dengan ibu dan saudaranya, Ahmad. Namun, setelah menunaikan haji, beliau tidak kembali ke Bukhara bersama keluarganya. Walaupun baru berusia enam belas tahun, beliau percaya bahawa penting baginya untuk tinggal di Hijaz di mana beliau dapat bertemu dan mengenalpasti ulama dan pengetahuan yang tidak ada di Bukhara.
Keputusan untuk meninggalkan keluarganya bagi menuntut ilmu demi kepentingan ummah adalah tanda utama terawal pada keikhlasan dan rasa tanggungjawabnya terhadap ummah. Beliau hidup di era di mana mesin cetak masih belum diciptakan. Sudah jelas baginya bahawa begitu banyak tugas diperlukan di lapangan untuk mengesahkan kesahihan sesebuah hadis Nabi (saw), kerana tidak ada karya lengkap mengenai penyusunan hadis sahih pada masa itu.
Dalam masa dua tahun, yakni pada usia lapan belas tahun, beliau telah menghasilkan karya pertamanya di Madinah al-Munawwarah. Buku ini diberikan judul at-Tareekh al-Kabeer (Sejarah Hebat). Buku ini bukan hanya sebuah buku, sebaliknya merupakan sebuah ringkasan, mengandungi sembilan jilid yang menjadi rujukan utama bagi para ulama hadis (muhadissin), kerana buku ini membahas masalah yang lebih kompleks dalam ilmu hadis, ilmu tentang para perawi (‘ilmu ar-rijal) dan ilmu tentang jarh wa ta’dil (ilmu tentang bagaimana menerima saksi perawi hadis). Buku ini dengan segera menjadi rujukan bagi muhaddisin, dan masih menjadi rujukan sehingga sekarang sebagai buku yang memuat biografi hampir 40,000 perawi lelaki dan wanita.
Dari Madinah, beliau mengembara ke banyak kota besar dunia Islam, mencari ilmu dan menyebarkannya. Tidak lama kemudian, beliau menjadi terkenal dan dianggap sebagai alim yang paling berpengetahuan dalam bidang hadis.
Menolak Permintaan Penguasa
Kejadian ini berlaku pada tahun-tahun terakhir hayatnya, mungkin kejadian ini antara yang paling penting. Sebagai orang tua, beliau kembali ke tanah airnya untuk pertama kalinya sejak meninggalkan kampung halamannya ketika usianya masih muda. Ini memberinya peluang untuk menjalani kehidupan yang berprestij. Peluang ini menjadi semakin besar ketika beliau menerima sepucuk surat dari Amir Bukhara, Khalid bin Ahmed al-Dhuhli. Al-Khatib al-Baghdad melaporkan dalam bukunya “Sejarah Baghdad”, bahawa Khalid bin Ahmed al-Dhuhli, Ameer Khalifa Thahiriya dari Bukhara meminta Abu Abdullah (Imam Bukhari) datang ke rumahnya dan mengajar “Sahih Bukhari” dan “Sejarah Hebat” kepada anak-anaknya. Abu Abdullah (Bukhari) enggan menghadapnya. Amir kemudian memintanya untuk mengadakan majlis khusus untuk anak-anaknya, tanpa dihadiri orang lain. Imam Bukhari turut menolaknya dan berkata, “Saya tidak boleh mengkhususkan beberapa orang untuk mendengarkan majlis, sementara membiarkan yang lain”.
Sikap Bukhari yang mengagumkan inilah yang akhirnya meletakkannya sebagai alim dan pewaris para Nabi (as) yang benar. Sebagai orang biasa, apakah ada yang lebih masyhur daripada pergi ke istana penguasa, duduk bersamanya dan keluarganya? Tambahan pula tidak diragui lagi, pada zaman tersebut sememangnya terdapat pampasan kewangan yang besar untuk pendidikan, apatah lagi mendidik anak-anak pemimpin.
Sebilangan ulama hari ini tidak akan teragak-agak, jika mereka mendapat undangan daripada salah seorang penguasa untuk menghadiri majlis korupsi yang mewah di istana mereka. Para pemerintah yang memerintah dengan selain hukum Islam akan mencari ulama untuk memutarbelitkan syariah untuk menghalalkan tindakan mereka yang tidak berdasarkan syariah.
Sebaliknya, Imam Bukhari menolak permintaan penguasa tersebut walaupun dia tidak memerintah dengan kekufuran yang nyata, tetapi memerintah dengan syariah, tidak sepertimana penguasa hari ini. Lebih-lebih lagi, penguasa itu tidak meminta Imam Bukhari memberikan fatwa yang batil. Malah sebaliknya, beliau meminta Imam Bukhari untuk mengajar anak-anaknya, yang jelas bahawa beliau ingin memberi manfaat kepada anak-anaknya tentang ilmu sunnah, sesuatu yang baik dan bukanlah maksiat.
Mengenai respon Imam Bukhari, “Saya tidak boleh mengkhususkan beberapa orang untuk mendengarkan majlis, sementara membiarkan yang lain”, ini menunjukkan rasa tanggungjawabnya sebagai seorang yang alim terhadap agama dan umat. Oleh itu, beliau mengatakan bahawa menyekat pengetahuan Islam atau mengajar hanya individu tertentu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Sebaliknya ilmu hendaklah berada dalam jangkauan seluruh umat Islam.
Dengan kata lain, beliau mengatakan kepada penguasa tersebut, “Jika anda ingin anak-anak anda dididik, maka biarkan mereka menghadiri majlis di masjid seperti orang lain”. Suatu keberanian yang tidak dapat digambarkan! Sungguh terpapar keikhlasan pada sosok ini! Beliau adalah pencari Islam yang tulen. Sikap ini datang dengan mengorbankan kehidupan duniawinya. Oleh kerana itu, beliau kemudiannya diusir dari kota asalnya dan meninggal tanpa penghargaan dan sokongan yang selayaknya. Allah (swt) sahajalah yang mengetahui statusnya di akhirat dan kami memohon Allah (swt) memberinya status tertinggi di sana kelak.
Sumber : mykhilafah
Pengajaran:
1. Imam Bukhari ternyata merupakan Imam sejati, yang begitu mencintai ilmu sejak dari kecil hingga dewasa dan sentiasa berusaha agar ilmu yang beliau miliki disebarkan kepada orang lain tanpa sekatan. Begitulah hakikatnya dalam Islam ke atas ilmu. Imam Bukhari begitu tegas dengan pendiriannya sehingga beliau menolak tawaran Khalifah untuk mengajar anaknya sahaja, kerana dirasakan ada keistimewaan disitu tatkala Khalifah meminta untuk mengajar anak-anaknya sahaja. Ketegasan sikap Imam Bukhari ini sangat dituntut dalam kehidupan kita agar kita dapat menjauhi sentimen kronisme (khususnya dengan pihak penguasa).
2. Mencontohi sikap Imam Bukhari yang mencintai ilmu sehingga sanggup berkorban demi mendapatkan ilmu seterusnya mengabdikan seluruh hidupnya untuk bekerja demi agama Islam. Padahal beliau hidup di zaman yang Islam dan syariat diterapkan. Maka, usaha kita perlu lebih lagi, lebih-lebih lagi saat kita dipimpin oleh undang-undang sivil.
3. Menjadikan Imam Bukhari sebagai role model dalam kita menuntut ilmu, mengemban dakwah dan ikhlas dalam menyampaikan Islam hanya kerana ingin meraih redha Allah semata.