Oleh: Yuana Ryan Tresna
Adakalanya saya melihat banyak perumpamaan yang salah kerana menyamakan dua perkara yang tidak boleh disamakan atau قياس مع الفرق . Qiyas ma’a al-fariq boleh didefinisikan dengan,
فهو فيما جرى فيه القياس ولكن أعل لوجود قادح وهو عدم مساواة الفرع للأصل المقيس عليه، إذ من شروط القياس وجود علة الأصل بتمامها في الفرع.
Mutakhir ini ada yang membuat perumpamaan tentang bagaimana cara kerja fiqh dan sains. Persoalan ini sebenarnya baik, asalkan jawapannya tepat. Sebagai contoh, apabila terkait dengan kebiasaan nisab zakat (bab syariat/fiqh) dan perkiraannya (bab sains), keharaman daging babi (bab syariat/fiqh) dan pembuktian produk yang mengandungi unsur babi (bab sains), dan lain-lain persoalan fiqh dan sains. Jika diumpamakan dengan situasi atau kes terkait rukyatul hilal, maka penyelesaiannya sepatutnya adalah; syariat melakukan rukyatul hilal sebagai asbab puasa (bab syariat/fiqh) dan pengiraan bulan untuk menentukan kedudukan rukyat dan waktu yang tepat (bab sains). Maka, itu adalah perumpamaan yang tepat. Ini kerana hisab atau pengiraan berkait rapat dengan sudut ketinggian, waktu bulan dan matahari terbenam, ketinggian bulan, jarak bulan dengan matahari dan lain-lain. Kesemua ini digunakan dalam memastikan ketepatan aktiviti rukyatul hilal.
Walau bagaimanapun, jika diumpamakan dengan situasi atau kes pembuktian (bayyinat) pada persaksian melihat hilal (anak bulan), maka ini merupakan perumpamaan yang salah. Kenapa salah? Ini kerana dalam kes bayyinat, telah terkandung semua prosedur fiqh.
Bila tarikh melakukan rukyatul hilal? Aktiviti rukyatul hilal dijalankan pada hari ke-29 (mengikut kalendar Hijrah) semasa waktu Maghrib (akan masuk tarikh baru selepas waktu itu). Jadi, inilah bidang syariat atau fiqh. Tanpa mengira lagi bulan dapat dilihat atau mungkin dilihat atau tidak terlihat, secara astronomi. Hadis Rasulullah SAW yang memerintahkan kita melakukan rukyat adalah berkaitan dengan isbath hilal Ramadhan dan Syawal, bukan terkait dengan penafiannya. Bukan pula mengenai penafian berakhirnya bulan Syaaban. Ini adalah dua perkara yang berbeza, dengan kata lain,
إن حديث الرسول عليه السلام فيما يتعلق بهلال رمضان وشوال هو طلب اثبات وليس نفي. ما يعني أن الموضوع هنا هو اثبات دخول الشهر وليس نفي دخوله. فالمسألة هي مسألة اثبات رؤية هلال رمضان، وليس نفي انتهاء شهر شعبان
Ketika ada yang mengaku menyaksikan hilal (anak bulan), maka penyaksian saksi itu perlu disemak dari sisi keadilannya, kemampuannya, dan kesediaannya dalam bersumpah. Ini adalah bidang jarh, ta’dil dan bayyinat. Kesemua ini juga merupakan sebahagian dari bidang syariat atau fiqh.
Bagaimana qadhi membuat keputusan? Qadhi sepatutnya membuat keputusan berdasarkan pembuktian, bukan berdasarkan pengetahuannya. Qadhi juga perlu memutuskan keputusan bukan kerana maklumat lain, seperti, sebagai contoh menurut hisab, hilal tidak mungkin dilihat. Dalam konteks pembuktian ini, begitulah para imam madzhab memahaminya. Jadi, ini dikira sebagai perkara yang masyhur dalam aktiviti rukyatul hilal.
أما مسألة اثبات حصول الرؤيا. فهي متعلقة بالبينة وهي شهادة شاهدين أو شاهد واحد عند البعض. وهنا تأتي أهمية القاعدة التي تقول أن القاضي لا يقضي بعلمه وإنما يقضي بالبينة (وينسب هذا الرأي إلى الإمام مالك والإمام الشافعي، وهو قول مشهور للإمام أحمد، ورأي المتأخرين من الحنفية).
Oleh itu, jika diringkaskan dari hadis tersebut, maka prosedur fiqhnya adalah seperti berikut:
- Pada hari ke-29, disyariatkan kita untuk melakukan rukyatul hilal, tanpa mengira ramalan astronominya.
- Jika hilal tidak kelihatan, maka bilangan hari dalam bulan tersebut digenapkan (menjadi 30 hari) dan jika terlihat hilal, maka kesaksian tersebut perlu disemak dan disahkan.
- Kewajipan adanya saksi yang menyaksikan hilal tersebut terkait dengan penetapan (tsubut) terlihatnya hilal, bukan penafiannya (nafiy).
- Lalu Qadhi akan melakukan pengesahan dari 2 aspek iaitu; (1) jarh wa ta’dil (keadilan dan kemampuan) perukyat (saksi yang melihat hilal) dan (2) pembuktian (kebenaran telah melihat dengan disertai sumpah).
- Qadhi akan memutuskan keputusan berdasarkan pembuktian (bayyinat), bukan berdasarkan pengetahuannya (ilmunya). Jika pembuktian (bayyinat) ini memenuhi semua aspek tersebut, maka kesaksian tersebut boleh diterima.
Oleh itu, berdasarkan 5 peringkat dalam prosedur fiqh di atas, prosedur sains tidak lagi menjadi pertimbangan dalam proses menentukan rukyatul hilal, kecuali pertimbangan sudut teknikal pada peringkat pertama. Masalah ini termasuk dalam kategori ibadah yang wajib tauqifiy. Oleh itu, kita perlu faham cara kerja masing-masing dan jangan sampai terjadi kesalahan dalam membuat perumpamaan.
‘Idukum Mubarak…