Penulis: Dedeh Wahidah Achmad
Alhamdulillah, sudah genap sebulan kita melepasi bulan Ramadhan dengan memperbanyakkan amalan sama ada wajib mahupun sunat dengan niat untuk meraih nilai takwa. Ramadhan adalah bulan penyucian diri dan momentum untuk menempa kualiti ketakwaan kita. Lalu, adakah setelah Ramadhan berlalu, semangat membina diri semakin pudar? Bagaimana supaya kita boleh istiqamah memelihara semangat itu? Apa pula yang perlu dilakukan dalam keluarga?
Semangat Ramadhan
Ramadhan memang hanya datang setahun sekali. Tempohnya pun hanya sebulan dan berakhir apabila tibanya satu Syawal. Namun, semestinya amal-amal baik yang sudah biasa dilakukan pada bulan Ramadhan tidak boleh terhenti.
Ibarat fasa kepompong dalam perkembangan seekor ulat menjadi rama-rama, apa yang dialami ulat apabila menjadi kepompong kadangkala tidak selesa dan tidak menarik. Hasilnya hanya dapat dilihat apabila ia menjadi rama-rama. Begitu juga aktiviti Ramadhan, mungkin terasa berat dan banyak godaan. Namun hakikatnya, di sebalik semua yang terasa berat itu ada keberkatan dan pahala yang tidak ternilai.
Sepatutnya, mereka yang berjaya melepasi Ramadhan akan merasai hasilnya sampai bila-bila. Mereka akan mendapat tenaga baru untuk menjalani hari-hari selama 11 bulan akan datang. Tenaga ini adalah hasil penempaan amaliah Ramadhan yang dijalankan selama sebulan penuh. Dengan kata lain, hasil amalan Ramadhan akan dilihat hasilnya selepas Ramadhan sebagai wujudnya ketakwaan.
Wujud Takwa
Hikmah besar yang akan diraih oleh mereka yang melaksanakan puasa Ramadhan di atas dasar iman ialah memperoleh darjat ketakwaan [lihat Surah Al-Baqarah (2): 183].
Banyak definisi takwa yang telah disebutkan oleh para ulama. Antaranya ialah perkataan takwa mengandungi maksud:
Pertama, al-khawf min al-Jalil; rasa takut yang besar terhadap kemahakuasaan Allah. Orang yang berpuasa dilatih kesedarannya tentang sifat-sifat Allah dan diuji konsistensinya dalam ketaatan kepada peraturan Allah SWT. Dia akan menjaga dari perkara-perkara yang boleh membatalkan puasanya. Dia juga tidak berani makan dan minum walaupun azan Maghrib hanya tinggal beberapa saat sahaja lagi. Mengapa? Kerana dia sedar perkara itu boleh membatalkan puasanya dan dia juga percaya bahawa Allah Maha Melihat apa sahaja yang hambaNya lakukan.
Kedua, al-amal bi at-tanzil; melaksanakan ketentuan-ketentuan hukum yang terkandung dalam wahyu Allah yang telah diturunkan baik di dalam al-Quran mahupun di dalam hadis Rasulullah SAW.
Ramadhan adalah bulan diturunkannya al-Quran [lihat Surah Al-Baqarah (2): 185]. Firman Allah SWT dalam ayat ini jelas sekali menyatakan bahawa al-Quran adalah petunjuk. Oleh itu, bulan ini adalah saat yang tepat untuk membaca, mempelajari, mendalami kandungannya, melaksanakan seruannya, dan mengajar serta mendakwahkannya. Dengan cara ini, fungsi al-Quran sebagai petunjuk dan pedoman hidup manusia benar-benar direalisasikan dalam kehidupan sebenar dan tidak terhenti di peringkat pengetahuan.
Di bulan ini kita dididik untuk sentiasa berpegangteguh kepada syariat Allah SWT. Puasa, solat fardhu, solat tarawih, infaq dan zakat, serta amalan-amalan lain sentiasa disesuaikan dengan peraturanNya agara amalan tersebut diterima oleh Allah dan mendapat balasan pahala. Keterikatan dengan al-Quran dan sunnah hendaklah terus dipelihara selepas Ramadhan.
Ketiga, al-istidad li ar-rahil; persiapan menghadapi timbangan amal di Hari Kiamat. Orang yang bertakwa mestilah ada kesedaran bahawa dia akan kembali kepada Allah SWT untuk mempertanggungjawabkan semua yang telah dia lakukan di dunia. Seterusnya, dia akan sentiasa menjaga perbuatannya supaya mengikut syariatNya, berusaha untuk tidak melakukan maksiat sedikit pun, dan tidak akan mengabaikan sebarang kewajipan walaupun berat.
Takwa Selamanya
Rasulullah SAW menyuruh kita semua sentiasa bertakwa walau di mana jua kita berada, “Bertakwalah kepada Allah di manapun/bila-bila/dalam apa jua keadaan engkau berada; ikutilah keburukan dengan kebaikan sehingga (kebaikan itu) akan menghapuskannya; dan berbuat baiklah kepada manusia dengan akhlak yang baik” [HR at-Thabrani dari Abi Zarr RA].
Berdasarkan perintah Rasulullah SAW dalam hadis di atas, tidak sepatutnya ada fahaman bahawa takwa hanya wujud pada masa dan tempat tertentu. Takwa bukan sahaja wujud ketika solat atau di masjid. Takwa juga bukan sekadar dikejar ketika Ramadhan sahaja. Takwa mesti ada selama-lamanya dan sentiasa bersama kita walau di mana kita berada. Bahkan kita diperintahkan untuk terus menjaga ketakwaan hingga ajal tiba [lihat Surah Ali Imran (3): 102].
Menjaga Amaliah Ramadhan
Orang yang memahami keberkatan Ramadhan akan berlumba-lumba mengisinya dengan pelbagai aktiviti ibadah di mana sahaja. Semangat beramal di bulan Ramadhan memang sangat tinggi. Penentunya ialah dorongan iman dan keyakinan terhadap besarnya pahala; juga situasi amal jamai yang sangat menyokong. Beberapa aktiviti Ramadhan sering dilakukan bersama sama ada dengan ahli keluarga mahupun bersama rakan dan jiran tetangga. Bersahur dan berbuka bersama, solat fardhu serta solat tarawih dilaksanakan secara berjamaah di masjid. Pondok pesantren kilat atau kajian Islam sebelum zohor dan sejurus sebelum berbuka biasanya juga diadakan bersama.
Apabila Ramadhan telah berlalu, tidak bermakna semangat beramal juga menurun. Oleh itu, adalah sangat penting untuk memelihara semangat Ramadhan agar tetap menyala dan kita istiqamah dalam ketaatan sebagaimana di bulan Ramadhan.
Peranan keluarga amat penting agar Ramadhan terus hadir. Antara peranan tersebut ialah,
Pertama, sentiasa menjaga kesedaran bahawa kita mesti menjadi orang yang bertakwa sepanjang hayat. Kesedaran ini terus dipupuk dengan sentiasa mengaitkan dengan sifat-sifat Allah, seperti Allah Maha Pembalas amal, Allah Maha Pemberi rezeki, Allahlah Yang menghidupkan dan mematikan serta hanya kepada Allah jualah kita akan kembali untuk mempertanggungjawabkan amalan kita di dunia. Dengan adanya pengaitan ini, diharapkan akan muncul sikap takut, harap, dan taat kepada Allah.
Kedua, terus memberi maklumat tentang peraturan-peraturan Allah yang mesti ditaati. Semangat mempelajari tsaqafah Islam tidak hanya dilakukan di pondok pesantren kilat Ramadhan sahaja. Tadarus dan tadabbur al-Quran juga akan terus didawamkan.
Ketiga, memudahkan supaya ahli keluarga senang dan mudah untuk taat. Contohnya, menyediakan buku-buku agama, menjaga solat berjamaah, saling melakukan amar makruf, membiasakan infaq, saling tolong-menolong, membiasakan berpuasa sunat, membiasakan solat malam, dan lain-lain lagi. Yang penting, usaha tersebut harus perlu diprogramkan dan terancang supaya ia tidak hanya menjadi rutin yang kosong dari kesedaran hubungan mereka dengan Allah, apatah lagi kerana terpaksa. Semuanya benar-benar dilakukan kerana mereka hanya mengharapkan keredhaan Allah SWT.
Keempat, memahami bahawa untuk meraih ketakwaan yang sempurna tidak boleh dilakukan secara bersendirian, tetapi perlu juga disokong oleh ketakwaan kolektif. Individu yang berjuang untuk sentiasa bertakwa akan menghadapi kesukaran ketika masyarakat dan persekitarannya tidak produktif dengan semua yang diusahakannya. Semangat ketaatan individu mungkin akan dilemahkan oleh godaan kemaksiatan yang ada di mana-mana. Sebaliknya, dorongan ketakwaan individu akan tetap terpelihara sekiranya dipadukan dengan semangat masyarakat untuk sentiasa mentaati peraturan Allah dan rasa takut dan cemas hidup di bawah sistem selain Islam yang akhirnya menimbulkan kesedaran masyarakat untuk sentiasa memperjuangkan tegaknya segala peraturan Allah dalam naungan Khilafah. Sebab, hanya dengan Khilafah kita akan mampu melakukan ketaatan yang kaffah.
Wallahua’lam.