Penulis: Siti Nafidah Anshory
Tiada siapa menyangka rumah seorang pengusaha muda berusia sekitar 16 tahun dari Bani Makhzum itu menjadi tempat pembinaan rahsia bagi para pengikut agama baharu yang dibawa oleh Muhammad ﷺ. Rumah itu terletak agak terpencil dan tersembunyi di sebelah Timur Bukit Safa, kira-kira 500 meter dari Kaabah. Itulah rumah Al-Arqam bin Abil Arqam yang Nabi ﷺ pilih sebagai tempat yang selamat untuk bertemu dan mengkaji Islam di masa awal.
Diceritakan bahawa ketika Nabi Muhammad ﷺ mendapat perintah untuk mendakwahkan Islam pada peringkat awal, seorang demi seorang keluarga dan sahabat terdekatnya memeluk Islam. Bermula dari Khadijah isterinya, anak-anaknya, Ali anak saudaranya, Abu Bakar sahabatnya, dan lain-lain.
Al-Arqam sendiri adalah orang ketujuh yang menerima Islam atas dakwah Saidina Abu Bakar Siddiq ra. Nama sebenar beliau adalah Abdu Manaf bin Asad atau Abu Jundab. Beliau masuk Islam bersama tokoh-tokoh yang lain seperti Uthman bin Affan, Zubair bin Awwam, Abdurrahman bin Auf, Sa’ad bin Abi Waqash, Thalhah bin Ubaidillah, Abu Ubaidah dan lain-lain.
Dalam fasa itu, dakwah masih berlaku secara rahsia dan dilaksanakan melalui hubungan peribadi. Ini dilakukan kerana Rasulullah ﷺ sangat memahami, permusuhan bangsa Quraisy terhadap segala sesuatu yang melanggar kekafiran akan menjadi sangat keras.
Oleh itu, mereka yang menerima Islam hanyalah orang-orang yang terpelihara kehanifannya. Baik dari kalangan saudagar dan bangsawan, mahupun dari orang-orang lemah di kalangan mereka. Golongan tua mahupun muda atau golongan lelaki mahupun wanita.
Demikianlah, tahun demi tahun dakwah terus berlangsung sehinggalah ketika Muhammad ﷺ dan dakwahnya menjadi perbualan di kalangan penduduk Mekah. Dakwah Nabi pada ketika itu tidak dianggap membahayakan.
Masyarakat musyrikin Mekah menyangka, kelak semua itu akan hilang dengan sendirinya dan Muhammad beserta pengikutnya akan kembali kepada kepercayaan nenek moyang mereka.
Turunnya Perintah Dakwah secara Terbuka
Sebagaimana yang ditulis oleh Muhammad Husain Haekal dalam buku Sejarah Hidup Muhammad (terj. hal 91) dan dinyatakan juga dalam buku Sirah Nabawiyah karya Ibnu Hisyam (terj. hal 219), pada tahun ketiga bi’tsah kenabian, Allah SWT memerintahkan beliau ﷺ untuk mendakwahkan Islam secara terbuka. Iaitu dengan turunnya ayat ini:
فَٱصْدَعْ بِمَا تُؤْمَرُ وَأَعْرِضْ عَنِ ٱلْمُشْرِكِينَ
“Maka sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala apa yang diperintahkan (kepadamu) dan berpalinglah dari orang-orang yang musyrik.” [TMQ Al-Hijr(15): 94]
Salah satu yang beliau ﷺ lakukan ketika itu adalah mengajak keluarganya untuk makan-makan di bukit Safa dan menggunakan kesempatan itu untuk menyeru mereka agar beriman kepada kenabian baginda, menerima apa yang beliau seru dan meninggalkan kesesatan mereka. Dakwah baginda ditolak mentah-mentah terutama oleh keluarga yang merupakan tokoh bahkan penguasa bagi kaumnya.
Mereka mula menyedari dakwah Muhammad ﷺ ini tidak boleh diabaikan kerana kelak seruan ini akan membahayakan kepercayaan, perniagaan syirik dan kekuasaan mereka. Sejak itu, umat Islam mula merasai halangan untuk berdakwah khususnya ketika dakwah Islam mula menyebut Tuhan mereka dan menunjukkan kebatilan berhala-berhala mereka.
Biarpun demikian, baginda Rasulullah ﷺ dan pengikutnya tidak mundur walaupun tentangan semakin besar. Bahkan, mereka semakin gencar mengajak masyarakat Mekah untuk meninggalkan sembahan dan sistem hidup mereka yang jahiliah.
Pada masa itu keadaan Rasulullah ﷺ dan pengikutnya benar-benar dalam keadaan lemah. Hingga untuk menunaikan solat sahaja, mereka perlu pergi ke syi’b atau celah-celah bukit atau ke tempat-tempat sunyi agar tidak diketahui manusia.
Mereka yang diketahui lantas mendapat kecaman malah diseksa. Sebahagian nyawa pengikut Rasulullah ﷺ ketika itu dalam keadaan terancam. Darah sebahagian mereka sudah ada yang tertumpah, seperti yang berlaku kepada keluarga Yasir dan Sumayyah. Itulah sebabnya pada tahun kelima bi’tsah kenabian, Rasulullah ﷺ mengizinkan sebahagian pengikutnya yang lemah untuk berhijrah ke Habsyah.
Rasulullah Membentuk Kelompok Dakwah di Bawah Tanah
Selaras dengan keadaan ini, baginda Rasulullah ﷺ terus berusaha mengumpulkan orang-orang yang telah memeluk Islam dalam sebuah kutlah (kelompok) rahsia yang diasaskan atas dasar akidah Islam. Beliau ﷺ menetapkan sebuah tempat untuk mengajarkan Islam, sekaligus menjadikannya sebagai tempat membina anggota kutlah agar bersedia melaksanakan amanah tugas dakwah yang semakin berat.
Pilihan itu akhirnya jatuh pada rumah Al-Arqam. Tempatnya yang strategik dan kedudukan Al-Aqram yang merupakan etnik yang sama dengan Abu Jahal yang terkenal sentiasa bersaing dengan suku Bani Hasyim (iaitu Bani Abdul Manaf, kabilah Rasulullah ﷺ), membuatkan sesiapa pun tidak akan menyangka bahawa rumah itulah yang menjadi tempat kelompok dakwah Rasulullah ﷺ.
Rumah yang sebelum ini dikenali sebagai Dar Al-Arqam itu juga akhirnya dikenali sebagai Dar Al-Islam. Di rumah ini, aqliyah pengikut kutlah Nabi dibina dengan ayat-ayat al-Quran yang turun beransur-ansur. Sementara, nafsiyah mereka dilatih sedemikian rupa dengan solat bersama dan tahajud agar mereka bersedia tampil sebagai kader dakwah yang kuat.
Setiap kali ada mualaf baru, mereka terus digabungkan dengan kelompok ini. Sehingga tercatat pada ketika itu, jumlah kader dakwah Nabi yang terbina di rumah Arqam sebanyak 40 orang. Mereka digelar sebagai As-Sabiqun al-Awwalun atau orang-orang yang pertama masuk Islam.
Jumlah mereka dari semasa ke semasa terus bertambah. Ketika itu, mereka boleh keluar masuk Dar Al-Islam secara sembunyi-sembunyi tanpa diketahui oleh kaum musyrikin. Rumah itu betul-betul dipilih untuk dijadikan tempat rahsia kerana ia berada di jalan yang sempit dan pintunya berada di bahagian belakang. Dari dalam rumah itu, keadaan jalan raya dapat diperhatikan agar keselamatannya benar-benar terjaga.
Kerana waktu itu, kaum kafir Mekah hanya dapat merasakan ada pergerakan dakwah yang terus berkembang. Akan tetapi, mereka tidak dapat menghidu di mana pusat pergerakan itu berada. Mereka hanya mampu untuk mengesan keislaman seseorang jika mereka adalah ahli keluarga mereka atau datang dari kalangan hamba yang ada dalam genggaman mereka.
Dari Kelompok Rahsia Menjadi Kelompok Terbuka
Dari rumah ini juga Rasulullah ﷺ menjalankan strategi meluaskan dakwah dan pembinaan secara rahsia. Beliau ﷺ mengutus beberapa sahabatnya untuk mengajarkan Islam di rumah mereka. Salah satunya dapat dilihat dari kisah disebalik keislaman Saidina Umar bin Khathab ra.
Suatu ketika, Umar datang untuk membunuh Rasulullah ﷺ yang sangat dibencinya. Dia mendengar berita dari Nu’aim bahawa adiknya (Zainab) dan suaminya Zainab (Sa’id bin Khabab) telah memeluk agama Muhammad maka Umar segera pergi ke rumah adiknya dalam keadaan sangat marah.
Qadarullah, ketika Umar ra. sampai ke rumah adiknya, beliau mendapati mereka sedang halaqah dengan Khabab bin al-Art yang diutuskan oleh Rasulullah ﷺ sebagai musyrif mereka. Ketika itu mereka sedang membaca dan membincangkan surah Taha daripada al-Quran.
Akhirnya, peristiwa luar biasa itu berlaku. Pendek cerita, Umar yang begitu memusuhi Islam langsung tersentuh dengan bacaan surah al-Quran yang sedang dibaca. Beliau pun tunduk dan segera menghadap Rasulullah ﷺ untuk menyatakan keislamannya.
Peristiwa keislaman Saidina Umar berlaku pada tahun keenam dari bi’tsah kenabian (615-616 M). Tiga hari sebelumnya, bapa saudara Nabi ﷺ iaitu Hamzah ibn Abdul Muthalib ra juga telah memeluk Islam dan keislaman dua orang tokoh utama di suku Quraisy ini menjadi tonggak utama kelompok dakwah Nabi ﷺ.
Rupanya Allah SWT telah mengabulkan doa Rasul-Nya, iaitu ketika beliau memohon kepada Allah agar Islam dikuatkan oleh salah satu dari dua Umar: Umar bin Khathab dan Abu Jahl bin Hisyam. Malah selepas itu, Saidina Umar pula yang menggalakkan Rasulullah dan para sahabat untuk menunjukkan kewujudan kutlah dakwah secara lebih terbuka.
Ketika itu Umar berkata, “Mengapa kita menyembunyikan agama kita wahai Rasulullah, padahal kita berada dalam kebenaran, sedangkan mereka berada dalam kesesatan?” Rasulullah ﷺ pun menjawab, “Jumlah kita masih sedikit, engkau sendiri menyaksikan apa yang menimpa kita wahai Umar.”
Umar kemudian berkata, “Tidak layak engkau sembunyikan agama ini, wahai Rasulullah. Tunjukkanlah agamamu. Demi Allah! Allah tidak akan disembah secara sembunyi selepas hari ini. Demi Zat yang mengutus engkau dengan kebenaran. Tidak akan ketinggalan suatu majlis yang aku pernah duduk di dalamnya dengan kekufuran, melainkan aku akan tampakkan di situ dengan Islam. Aku tidak gentar dan takut!”
Rasulullah ﷺ juga menerima sepenuhnya saranan Umar bin Khathab ra. untuk menunjukkan aktiviti kutlahnya secara terbuka. Salah satu cara yang dipilih ialah mengadakan perarakan terbuka di tengah-tengah masyarakat Mekah dan mengelilingi Kaabah.
Perarakan dakwah yang luar biasa dalam sejarah ini berlaku. Bermula dari rumah Al-Arqam, kira-kira 140 orang ahli kutlah Rasulullah berjalan dengan berbaris. Mereka dibahagikan menjadi dua barisan yang masing-masingnya dipimpin oleh Umar dan Hamzah ra..
Kemudian, barisan ini berjalan menyusuri kampung-kampung yang berhampiran dengan Masjidil Haram, iaitu Samiyah, Syughlail, Ziyad, dan lain-lain. Kemudian barisan masuk ke dalam masjid, mengelilingi Kaabah dan selesai di sana, diteruskan dengan membaca al-Quran dan solat.
Penempaan di Dar Al-Arqam juga diuji pada Fasa Kedua
Selepas perarakan tersebut, aktiviti kelompok dakwah Rasulullah tidak lagi dilakukan secara sembunyi di Dar Al-Arqam. Para ahli sirah menyebut momentum itu sebagai tanda peralihan fasa dakwah Rasulullah ﷺ daripada tahap dakwah rahsia (daur al-istikhfa’) kepada tahapan dakwah secara terbuka (daur al-i’lan).
Ia dicirikan oleh interaksi yang lebih terbuka di tengah-tengah masyarakat dan dengan pertambahan perjuangan politik (kiffah siyasi) yang lebih kental sehingga pertembungan dakwah pada tahap ini juga jauh makin keras dan semakin berbahaya kepada kewujudan kelompok dan pengikut ajaran Islam.
Wajar, jika tempoh ini dikenali sebagai tempoh yang paling menakutkan. Hingga hari-hari berikutnya, perjalanan dakwah dipenuhi dengan dugaan dan ujian. Bermula dari propaganda politik, penganiayaan, penjenayah, pemboikotan dan lain-lain.
Pada ketika itu rumah Arqam menjadi saksi bisu perjalanan dakwah Rasulullah dan para sahabatnya. Sehingga kemudian Mekah ditinggalkan pada zaman hijrah dan kembali difutuhat pada tahun ke-8 hijrah.
Pada waktu kemudian, Al-Arqam mewariskan rumahnya kepada anaknya dengan syarat tidak akan dijual. Namun, pada zaman Abu Jaafar al-Mansur, salah seorang cucu Al-Arqam dipujuk untuk menjual bahagiannya di rumah itu dengan harga 17,000 dinar. Begitu juga dengan saudara-saudara yang lain. Setelah bertukar pemilik, rumah ini dinamakan dengan Daru’l-Khayzuran.
Pada masa ini, rumah Arqam sudah tidak ada kesannya lagi. Projek pembesaran Masjidil Haram membuatkan tapak bersejarah ini hilang tanpa jejak. Namun, kisah kewujudannya yang strategik dalam perjalanan dakwah Islam pastinya akan terus dikenang sebagai bahan pembelajaran umat Islam. Wallahualam. [MNews/Has]
Sumber:https://muslimahnews.net/2022/05/01/5695/